Baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari, menurut laporan Berita Harian. Total lockdown telah berkuatkuasa mulai 1 Jun sehingga 14 Jun di seluruh Malaysia.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, menerusi total lockdown itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan yang telah mendapat surat kebenaran daripada MITI.
Pandemik Covid-19 telah membuktikan betapa ‘kejamnya’ ia terhadap semua individu, terutama sekali golongan B40, golongan rentan, dan juga mereka yang:
● Mempunyai sedikit atau tiada sebarang aset atau simpanan untuk digunakan ketika kecemasan,
● Pekerja tidak rasmi yang tiada perlindungan sosial (merangkumi jaringan keselamatan sosial, insurans sosial, dan dasar pasaran pekerja aktif); dan
● Mereka yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji, atau mengalami pemotongan gaji kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam Laporan Kemiskinan dan Kemakmuran Bersama Global 2020, Bank Dunia menganggarkan bahawa 88 juta hingga 115 juta orang akan terjerumus ke dalam kemiskinan tegar jika pandemik tidak segera dibendung.
Selain itu, berdasarkan suatu statistik tidak rasmi oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pekerja tidak formal dan mereka yang bekerja sendiri adalah golongan yang paling terkesan kerana mereka tidak berpendapatan tetap.
Semasa PKP yang pertama tahun lalu, sebilangan besar responden tinjauan oleh DOSM melaporkan mereka hanya mempunyai simpanan yang cukup untuk bertahan selama 1-2 bulan; manakala bagi kebanyakan orang yang bekerja sendiri pula adalah kurang daripada satu bulan.
M40 berisiko beralih kepada B40
Selain golongan B40 dan rentan yang mengalami kesukaran akibat pandemik, apa yang turut membimbangkan ialah golongan M40 kini berisiko beralih kepada B40.
Dalam sebuah laporan Berita Harian, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia, Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman, berkata peralihan golongan M40 kepada B40 boleh berlaku, namun ia disifatkan sebagai kesan jangka pendek.
Beliau berkata, perkara ini kebiasaannya berlaku ketika krisis ekonomi apabila golongan terjejas akan mengubah gaya hidup dan corak perbelanjaan mereka.
Justeru, kata beliau, golongan M40 boleh mengatasi masalah ini dengan pembelian barangan yang memberi nilai yang kompetitif berbanding barangan berjenama dan ditawarkan pada harga yang lebih rendah.
“Tidak dinafikan terdapat perubahan corak perbelanjaan isi rumah disebabkan oleh tekanan ekonomi semasa, terutama kepada individu yang terkesan akibat pandemik ini. Pengurangan pendapatan dan aktiviti ekonomi yang dihadkan akan memberi impak kepada pendapatan isi rumah.
“Namun, apabila ekonomi kembali pulih, corak perbelanjaan isi rumah juga akan bertambah baik selari dengan pendapatan mereka,” jelas beliau lagi.
Senarai bantuan agar golongan B40 mampu bertahan sepanjang PKP 3.0
Meskipun dengan penutupan penuh apabila PKP 3.0 dilaksanakan, masih ada harapan untuk anda bertahan hidup sepanjang ia berlangsung.
Selain Bantuan Sara Hidup (BSH), antara bantuan yang anda boleh dapatkan segera ialah:
1. Program iTEKAD
Program iTEKAD menggabungkan instrumen kewangan sosial seperti zakat, sedekah dan wakaf dengan pemberian pembiayaan mikro, latihan secara berstruktur dan bimbingan untuk memperkasa usahawan mikro daripada segmen B40 supaya dapat menjana pendapatan yang berterusan dan membina daya tahan kewangan.
2. Perlindungan Tenang untuk B40
Bantuan kewangan akan disediakan oleh Kerajaan untuk golongan B40 dalam bentuk baucar bagi pembelian perlindungan insurans dan takaful di bawah skim Perlindungan Tenang daripada syarikat insurans dan pengendali takaful berlesen.
Baucar bantuan kewangan sebanyak RM50 akan diberikan kepada golongan B40 yang layak bagi membantu mereka membeli produk Perlindungan Tenang bermula 1 April 2021.
Produk Perlindungan Tenang merupakan produk yang diluluskan oleh BNM bagi memenuhi keperluan segmen masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan.
Produk ini mesti memenuhi kriteria yang ketat terhadap kemampuan dan nilai pelanggan, dengan pengecualian yang minimum bagi memudahkan tuntutan dan memastikan perlindungan yang bermakna, terutamanya untuk golongan berpendapatan rendah. Produk tersebut merangkumi perlindungan takaful hayat dan kemalangan diri.
3. Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40)
PeKa B40 ialah inisiatif Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah, dengan memberi fokus terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD).
PeKa B40 ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang berada dalam kumpulan B40. Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangan mereka, yang berumur 50 tahun dan ke atas, secara automatik layak menyertai PeKa B40.
Tiada pendaftaran khusus diperlukan untuk menyertai PeKa B40, namun anda boleh menyemak sama ada anda telah pun menerimanya atau belum.
4. Skim i-SURI
Pelaksanaan Skim KWSP Untuk Suri Rumah (i-SURI) diperkenalkan bagi mewujudkan jaringan sosial dan seterusnya memperkasa hak wanita dan mengiktiraf kepentingan peranan kaum hawa.
Kumpulan sasar yang akan mendapat manfaat di bawah skim ini adalah semua yang merupakan suri rumah kepada Ketua Isi Rumah, dan juga Ketua Isi Rumah dalam kalangan ibu tunggal, balu dan wanita belum berkahwin yang berdaftar dalam Sistem e Kasih kendalian Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
5. Bantuan Awal Persekolahan (BAP)
BAP bertujuan untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan anak-anak yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga terutamanya pada awal tahun. Bantuan ini diberikan kepada murid-murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau yang setaraf dengannya dari kalangan keluarga yang berpendapatan Isi Rumah Kasar RM3,000.00 dan ke bawah.
6. Program Rebat Bil Elektrik RM40
Program Rebat Bil Elektrik RM40 adalah program bantuan Kerajaan secara bersasar untuk membiayai bil elektrik bulanan sehingga RM40 kepada keluarga miskin tegar dan miskin yang berdaftar dan disahkan dalam Sistem eKasih. Pengguna yang layak akan menerima bil elektrik percuma sehingga RM40 setiap bulan.
7. Skim mySalam
Skim perlindungan kesihatan nasional mySalam adalah inisiatif Kerajaan yang bertujuan menyediakan perlindungan kesihatan takaful percuma kepada individu B40 yang berumur 18 hingga 55 tahun serta pasangan mereka. Pada tahun 2020, skim ini juga telah diperluas kepada individu berkategori M40 iaitu mereka yang mempunyai pendapatan kasar tahunan di bawah RM100,000.00.
8. Program Jaringan Prihatin
Program Jaringan Prihatin bertujuan agar lebih ramai rakyat Malaysia menerima akses internet, merapatkan jurang digital dan menyokong agenda pendigitalan negara. Melalui program Jaringan Prihatin yang dinyatakan dalam Belanjawan 2021, golongan yang layak berhak menerima bantuan RM180 untuk pembelian telefon atau kredit telco. Baru-baru ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan skim ini ditambahbaik kepada RM300 khusus untuk isi rumah yang mempunyai anak bersekolah. Subsidi ini dapat meringankan beban rakyat Malaysia terutamanya keluarga dengan anak bersekolah yang memerlukan peranti dan sambungan internet untuk sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Anda boleh hubungi syarikat telco anda untuk maklumat lanjut.
Permohonan Pembiayaan Peribadi Islamik Mungkin Dapat Membantu Selain senarai bantuan di atas, jika anda masih mengalami masalah kesempitan kewangan dan tercari-cari penyelesaian, memohon pembiayaan peribadi Islamik mungkin dapat membantu.
Pembiayaan peribadi boleh membantu anda membayar kos sara hidup seperti bil utiliti, sewa rumah, pembiayaan sedia ada yang mempunyai kadar keuntungan yang tinggi, dan bil-bil lain sementara anda menstabilkan kewangan anda. Jangan risau, pembiayaan peribadi masih sesuai untuk dimohon ketika norma baharu.
Pembiayaan Peribadi-i Yayasan Dewan Perniagaan Melayu Perlis dan Yayasan Ihsan Rakyat merupakan antara pembiayaan peribadi yang boleh didapati di platfrom As-Sidq. Jika anda memerlukan pembiayaan peribadi pada masa kini, untuk digunakan menjana pendapatan sampingan ataupun mengukuhkan keadaan ekonomi anda, dua pilihan ini mungkin antara yang terbaik untuk dimohon.
As-Sidq bertanggungjawab untuk menghubungkan anda dengan produk-produk kewangan yang patuh syariah, yang dikeluarkan oleh rakan niaga strategik yang mengamalkan perbankan Islam. As-Sidq direka sebagai platform sepenuh digital, dengan proses pemadanan dan permohonan yang mudah dan teratur. Ini memastikan proses permohonan anda telus dan tidak rumit.