Dunia perniagaan, kewangan, dan perbankan yang berlandaskan prinsip syariah Islam telah mendapat pengiktirafan dunia sebagai urusniaga yang mengutamakan keadilan. Lantaran itu, populariti bidang ini semakin mendapat tempat di hati pengguna serata dunia; tidak kira sama ada mereka adalah orang Islam atau bukan Islam.
Berbeza dengan sistem kewangan dan perbankan konvensional, urusniaga yang berlandaskan Islam adalah bebas daripada unsur-unsur yang tidak beretika seperti riba, gharar, maysir, dan zulm. Ini adalah selaras dengan ketetapan dan hukum-hukum syariah.
Umum sudah mengetahui bahawa riba adalah haram hukumnya di sisi Islam. Bagaimanapun, masih ramai yang belum cukup memahami definisi dan ciri-ciri yang menjadikan sesuatu urus niaga itu sebagai riba.
Apa sebenarnya riba?
Dalam bahasa Arab, riba merujuk kepada lebihan, pertambahan, dan perkembangan. Ia boleh berupa penambahan nilai ke atas sesuatu pinjaman yang disyaratkan oleh pemberi pinjaman atau dijanjikan oleh penerima pinjaman.
Manakala dalam pertukaran sesetengah barangan dan matawang, ia bermaksud perbezaan nilai akibat kuantiti yang berbeza ataupun perbezaan waktu pertukaran.
Sebagai contoh, di dalam pinjaman kewangan konvensional, pemberi pinjaman akan memberi pinjaman kepada peminjam dan memperoleh keuntungan daripada caj faedah yang dikenakan ke atas jumlah prinsipal. Caj faedah ini adalah riba.
Ini berbeza dengan perbankan Islam dimana konsep “pinjaman” adalah tidak betul. Sebaliknya, istilah dan terma tepat yang digunakan adalah “pembiayaan”.
Ini kerana pihak pembiaya akan “membeli” barangan untuk pelanggan dan kemudian menjualnya kepada mereka pada harga yang telah dipersetujui. Mengikut konsep ini, tidak ada wang yang sebenarnya dipinjamkan kepada pelanggan. Ini menjadikan pembiayaan Islam bebas dari unsur riba (faedah).
Urus niaga popular yang sebenarnya adalah riba
Kita sebenarnya beruntung kerana Malaysia merupakan di antara pelopor utama perbankan Islam. Lantaran itu, produk kewangan yang popular seperti pinjaman, insurans, dan kad kredit sudahpun disediakan altenatif bercirikan Islam.
Malahan platform seperti Assidq.com menawarkan pemadanan pembiayaan dan kad kredit Islam yang mudah dan pantas untuk anda gunakan.
Bagaimanapun, terdapat banyak urus niaga lain yang masih ramai belum sedar adalah termasuk dalam kategori riba. Di antaranya adalah:
1.Pertukaran mata wang asing individu (individual spot Forex) melalui platform elektronik
Hukum pertukaran mata wang asing individu (individual spot Forex) melalui platform elektronik telah dibincangkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012. Muzakarah tersebut telah memutuskan bahawa urusniaga tersebut adalah haram. Ini kerana:
- ia mempunyai unsur-unsur seperti riba melalui pengenaan ‘rollover interest’
- pensyaratan jual beli dalam pemberian hutang melalui ‘leverage’
- qabd (mengambil sesuatu secara langsung) yang tidak jelas ketika transaksi pertukaran
- penjualan mata wang yang tiada dalam pegangan
- spekulasi yang melibatkan perjudian
Bagaimanapun, hukum ini tidak terpakai kepada urus niaga pertukaran mata wang asing melalui kaunter pengurup wang berlesen dan urus niaga pertukaran mata wang asing yang dikendalikan oleh institusi-institusi kewangan yang dilesenkan di bawah undang-undang Malaysia.
2. Multilevel marketing (MLM)
Hukum asal MLM adalah harus dan tidak bercanggah dengan konsep perniagaan Islam. Bagaimanapun, hukum ini akan bertukar menjadi haram sekiranya dimasuki unsur-unsur riba, perjudian, skim piramid, dan penindasan.
Sebagai contoh, riba berlaku apabila pembayaran yuran penyertaan tanpa sebarang pertukaran barang atau perkhidmatan kecuali dengan sejumlah wang yang munasabah untuk menampung kos permulaan bisnes.
Unsur perjudian pula berlaku apabila ahli yang mendaftar dibawah MLM tidak mahukan barangan yang dibelinya, sebaliknya hanya mahu menyertai rangkaian piramid, dan ingin memperolehi pendapatan menerusi pendaftaran ahli baru.
3. Saham keutamaan (Preference shares)
Saham keutamaan adalah saham yang memberikan keistimewaan ataupun keutamaan kepada pemiliknya berbanding pemilik saham biasa.
Pemegang saham keutamaan akan dibayar dividen terlebih dahulu dan dividennya telah ditetapkan terlebih dahulu kadarnya pada masa ia diterbitkan, tidak kira syarikat untung atau rugi. Ini bermakna risiko keuntungan dan kerugian ditanggung oleh pemilik saham biasa.
Dividen yang dibayar kepada pemegang saham keutamaan dianggap sebagai riba kerana ia bertentangan dengan hukum syariah yang memerlukan risiko ditanggung bersama-sama berdasarkan kadar saham masing-masing.
4. Jual beli emas dimana emasnya tidak diperlihatkan
Secara umumnya, Islam tidak melarang jual beli yang melibatkan emas sebagai komoditi. Bagaimanapun, pelaburan emas di bank mesti melibatkan emas sebenar (fizikal) yang berada dalam simpanan bank bagi pihak pelanggan tadi. Ia TIDAK boleh digunakan untuk kegunaan aktiviti ribawi mereka.
Selain itu, mestilah dipastikan wujud jumlah emas yang mencukupi ketika proses jual beli dibuat pada satu-satu masa. Contohnya, bank mempunyai 100 kg emas sahaja dan digunakan untuk dua atau lebih pelanggan yang berlainan pada masa yang sama. Sekiranya dua pelanggan membuka akaun di bank tersebut dan membeli 100 kg emas pada hari yang sama, hanya transaksi pelanggan pertama yang sah.