Kita baru sahaja meninggalkan tahun 2020, di mana ia bukanlah suatu kenangan manis buat kebanyakan rakyat Malaysia. Ini memandangkan tahun tersebut adalah tempoh berlakunya norma baharu dan kemelesetan ekonomi.
Tahun 2021 kini hadir membuka tirainya dan kita semua mengharapkan suatu lembaran baru yang lebih baik. Namun, pada beberapa hari pertama pada tahun ini, harapan tersebut masih jauh untuk dicapai. Dengan berkuatkuasanya fasa baharu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perlaksanaan perintah Darurat, norma baharu dan kemelesetan ekonomi nampaknya akan berterusan.
Ditambah lagi dengan banjir buruk yang melanda beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor, dan Sabah. Bencana alam ini telah menyebabkan ramai yang kehilangan tempat tinggal, harta benda, dan ada juga yang telah terkoban. Laporan berita pada 7 Januari lalu menyatakan di negeri Pahang sahaja, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan adalah seramai 24,257 orang.
Tips kewangan untuk bangkit semula
Tidak boleh dinafikan bahawa musibah seperti banjir yang melanda ini menyulitkan banyak pihak, lebih-lebih lagi dalam keadaan sedia ada seperti norma baharu dan kemelesetan ekonomi. Dugaan demi dugaan melanda kita semua.
Bagi mereka yang perlu bertahan dalam keadaan musibah seperti ini, diharapkan tips kewangan berikut mampu membantu anda untuk bangkit semula dalam menempuhi kehidupan ini:
1.Tuntutan insurans atau Takaful
Perlindungan insurans dan Takaful sememangnya dikenali sebagai “penyediaan payung sebelum hujan”. Ia adalah perancangan kewangan yang baik kerana memenuhi konsep perlindungan kerugian. Bergantung kepada premium yang diambil, tuntutan insurans dan Takaful boleh dibuat bukan sahaja bagi rumah dan harta benda, tetapi juga kenderaan yang terjejas akibat banjir.
2.Struktur semula pembiayaan anda
Memandangkan wang diperlukan ketika ini untuk membina semula hidup, anda mungkin mempunyai masalah untuk membayar pinjaman dan pembiayaan kewangan anda. Lantaran itu, anda dinasihatkan untuk memohon penangguhan pembayaran atau penstrukturan semula pembiayaan kewangan anda.
Kebanyakan bank tempatan menawarkan bantuan atau moratorium seperti ini khusus buat mangsa banjir. Penstrukturan semula pembayaran ini membolehkan anda menyalurkan kewangan anda kepada pekara-perkara yang lebih mustahak pada ketika ini. Hubungi pihak bank yang terlibat bagi membuat permohonan.
3.i-Sinar, zakat, dan pertolongan NGO
Sekiranya anda memerlukan wang tambahan, salah satu pilihan adalah dengan memohon kemudahan i-Sinar. Program ini membolehkan pencarum KWSP mengeluarkan wang maksimum sebanyak RM500 sebulan dari Akaun 2 mereka. Pengeluaran hanya boleh dibuat bagi tempoh 1 tahun (12 bulan).
Selain itu, anda juga boleh memohon bantuan kewangan daripada agensi seperti Pusat Zakat. Mengikut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha, mangsa banjir boleh menerima bantuan zakat mengikut kriteria tertentu yang diputuskan oleh mufti di setiap negeri.
Terdapat juga beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pihak-pihak lain yang memberikan bantuan bukan sahaja dari sudut kewangan tetapi juga dalam bentuk perkhidmatan seperti pertolongan membersihkan rumah. Pastikan anda menyemak dengan masyarakat dan pihak berkuasa setempat untuk mengetahui bantuan-bantuan tersebut.
4.Pembiayaan kewangan baru mungkin membantu
Satu lagi pilihan yang ada adalah memohon pembiayaan kewangan yang baru. Ia boleh digunakan untuk menjana pendapatan ataupun mengukuhkan situasi ekonomi anda.
Walaupun anda mungkin sudah mempunyai penjaman yang lama, ia mungkin berada pada kadar faedah yang tinggi. Pembiayaan yang baru pada kadar keuntungan yang lebih rendah membolehkan anda membayar balik pinjaman sedia ada tersebut pada kadar yang lebih menguntungkan. Kaedah ini dikenali sebagai penyatuan hutang (debt consolidation).
Selain itu, ia juga boleh membantu anda membayar kos sara hidup seperti bil elektrik, air, sewa rumah, pinjaman sedia ada, dan bil-bil lain sementara anda mendapat pekerjaan baru atau menstabilkan kewangan anda. Pembiayaan kewangan juga membantu sekiranya anda memerlukan jumlah wang yang besar dengan segera.
Sekiranya ini adalah langkah yang anda akan ambil, pastikan ia adalah pembiayaan kewangan Islam dan bukannya pinjaman konvensional. Ini adalah kerana pembiayaan Islam mempunyai banyak kelebihan berbanding pinjaman konvesnional seperti yang kami huraikan di sini.