Apa itu daya membeli atau kuasa membeli? Dalam bahasa mudahnya, ia merujuk kepada kemampuan pengguna untuk membuat pembelian. Kebiasaannya ekonomi mempengaruhi kuasa beli pengguna.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Arthur Joseph Kurup dalam sebuah laporan Berita Harian baru-baru ini, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang baharu di peringkat nasional adalah RM2,208 sebulan, berdasarkan penemuan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019.
Dengan menggunakan pengelasan kumpulan isi rumah yang baharu, kumpulan isi rumah B40 termasuklah mereka yang berpendapatan:
- Bawah RM2,500 (kategori B1),
- RM2,501 hingga RM3,169 (kategori B2),
- RM3,170 hingga RM3,969 (kategori B3); dan
- RM3,970 hingga RM4,849 (kategori B4).
Di samping manfaat-manfaat untuk golongan B40 yang telah dibentangkan dalam Belanjawan 2021 serta pelbagai inisiatif lain yang khusus buat golongan B40, kerajaan kini juga giat dalam meningkatkan pendapatan dan kuasa beli serta kesejahteraan isi rumah golongan B40 melalui beberapa pendekatan, menurut laporan Berita Harian yang sama.
Beberapa perancangan kerajaan bagi meningkatkan kuasa beli B40
Antaranya ialah menyediakan program peningkatan pendapatan serta peningkatan keupayaan mendapat pekerjaan yang berpendapatan lebih tinggi dengan membina kapasiti dan keupayaan seperti Program Pemerkasaan Ekonomi Bandar.
Selain itu, penambahbaikan akses kepada keperluan asas termasuk pendidikan, kesihatan dan perumahan seperti Program Perumahan Rakyat Termiskin, Program Bantuan Rumah dan Projek Perumahan Mampu Milik akan dilaksanakan.
Kerajaan turut menggalakkan keusahawanan dan akses kepada pembiayaan kewangan untuk menjana pendapatan dengan menceburi bidang perniagaan seperti pembiayaan mikro contohnya TEKUN dan program latihan keusahawanan.
Jika anda tergolong dalam golongan B40, anda juga boleh berusaha meningkatkan kuasa membeli anda selain inisiatif oleh kerajaan. Berikut merupakan tiga cara mudah untuk tingkatkan kuasa beli anda:
1. Stabilkan hutang anda
Melunaskan hutang pinjaman atau membuat pembayaran balik secara konsisten dan tepat pada masanya membantu dalam mengurangkan hutang anda dan seterusnya mengurangkan nisbah hutang kepada pendapatan anda, sekaligus meningkatkan kuasa beli anda. Berikut merupakan formula pengiraan nisbah hutang kepada pendapatan:
Meningkatkan kuasa beli anda mengambil masa dan memerlukan strategi. Rancang dengan sewajarnya agar anda berada dalam golongan dengan kuasa beli yang tinggi. Sekiranya kedudukan hutang anda tidak sihat, hubungi AKPK bagi mendapatkan bantuan secara percuma untuk menstabilkan hutang anda.
2. Tingkatkan skor kredit
Skor kredit yang tinggi meningkatkan kuasa beli anda. Seberapa besar skor kredit anda boleh mempengaruhi kuasa beli anda terutamanya dalam hal membeli aset bernilai besar seperti rumah atau kenderaan.
Skor kredit yang kurang memuaskan akan membebankan serta menghalang anda daripada mendapatkan apa yang anda mahu atau membeli aset yang diperlukan. Ini kerana bank akan melihat laporan kredit anda bagi menentukan sama ada anda layak dan mampu dalam membuat pembayaran balik atau tidak.
Jadi seperti yang dinyatakan sebelum ini, membayar semua hutang anda tepat pada waktunya serta jumlah hutang yang sedikit adalah faktor utama yang boleh meningkatkan skor kredit anda. Selain itu, elakkan daripada menambah hutang baharu sebelum anda mengurangkan hutang-hutang yang sedia ada
3. Tambahkan sumber pendapatan
Di kala musim pandemik yang masih tak kunjung reda ini, sememangnya sukar dan mencabar untuk menambah sumber pendapatan. Tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil. Buat anda yang mempunyai akses kepada internet, anda boleh cuba tingkatkan sumber pendapatan anda secara dalam talian.
Sama ada anda seorang pekerja sepenuh masa, penjaja atau peniaga kecil-kecilan, anda berpeluang meningkatkan sumber pendapatan anda dengan menjual produk atau servis anda melalui beberapa saluran digital, sama ada di platform e-dagang, media sosial, atau bahkan aplikasi mudah alih seperti WhatsApp dan Telegram.
Jika anda tidak tahu bagaimana untuk mula berniaga secara dalam talian, Institut Keusahawan Negara (INSKEN) sedia membimbing anda dengan pelbagai jenis program dalam taliannya dengan yuran yang berpatutan, mulai dari RM50 dan ke atas (mengikut jenis program).
INSKEN merupakan sebuah agensi di bawah naungan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) yang menawarkan inisiatif pembangunan kapasiti usahawan melalui program-program latihan dan bimbingan.
INSKEN memastikan program-program yang dianjurkan adalah berdasarkan keperluan dan permintaan industri semasa dengan kerjasama pengamal industri, profesional dan agensi-agensi kerajaan. Semua program anjuran INSKEN tidak mempunyai syarat kemasukan yang ketat, dan ia terbuka kepada anda yang ingin menjual apa jua servis atau produk.
Mulakan usaha dalam meningkatkan kuasa beli anda dengan melakukan tiga langkah yang disenaraikan ini. Jika anda melakukannya secara konsisten serta penuh dedikasi dan disiplin, peluang anda untuk mempunyai kuasa beli yang besar adalah cerah. Semoga berjaya.