Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, pasti ramai yang sedar mengenai satu trend yang semakin mendapat sambutan di tanahair tercinta ini. Ia muncul di merata kawasan tidak kira sama ada ditengah-tengah kesibukan bandar mahupun di ceruk kampung.
Apakah trend yang kami maksudkan di sini? Tidak lain dan tidak bukan, ia adalah pembinaan premis berasaskan kontena, baik bagi tujuan gerai makan, kedai, mahupun rumah dan hotel.
Pada waktu norma baharu dan kemelesetan ekonomi yang melanda seluruh negara, pemilikan rumah menjadi semakin sukar. Malahan, sektor pelancongan dan perkhidmatan seperti sewa rumah, homestay, dan Airbnb juga terjejas teruk.
Bagaimanapun, kehidupan perlu diteruskan. Lantaran itu, rumah kontena mempunyai potensi untuk menjadi alternatif yang lebih murah!
Apa itu rumah kontena?
Rumah kontena, yang juga dikenali sebagai rumah kabin, adalah rumah yang dibina daripada kontena terpakai. Ia adalah kontena yang sama yang biasa kita lihat digunakan untuk membawa barangan sama ada dibelakang lori mahupun dipindahkan melalui kapal kargo.
Secara kebiasaannya, terdapat dua saiz kontena, iaitu:
- 20 x 8 kaki
- 40 x 8 kaki
Untuk dijadikan rumah atau premis seperti kafe, restoran, mahupun hotel, pemilik boleh menggunakan sebuah kontena yang diubah suai rekaan dalamannya atau pun dengan menggabungkan beberapa buah kontena dengan kaedah menanggalkan dinding dan menyatukankannya.
Apa kelebihan rumah kontena?
Berbanding pembinaan rumah secara konvensional, rumah kontena mempunyai beberapa kelebihan, iaitu:
- Lebih mudah untuk dibina — Memandangkan rangka, dinding, dan bumbung sudah tersedia, pembinaan rumah kontena adalah lebih mudah dan pantas berbanding rumah biasa. Selain itu, ia juga mempunyai nilai estetika dan keunikan tersendiri.
- Mudah alih – Tujuan asal kontena sememangnya adalah untuk memindahkan barangan. Oleh sebab itu, ia mudah untuk diletakkan di tapak lokasi yang anda inginkan.
- Anggaran kos pembinaan yang tidak merumitkan – Kerja-kerja pembinaan kontena sudah dilakukan di kilang. Tetapi, anda masih perlu menganggarkan kos untuk penghantaran, persiapan tapak, asas tapak pembinaan, bahagian penyambung, dan alat-alat asas untuk memasang kontena.
- Mesra alam – Secara realitinya, anda ‘mengkitar semula’ barangan terpakai dari industri perkapalan.
Kekurangan rumah kontena pula macam mana?
Adalah menjadi lumrah, setiap perkara akan mempunyai kelebihan dan kekurangan. Yang penting adalah bagaimana kita menganalisa kedua-dua perkara tersebut. Kekurangan yang terdapat pada rumah kontena termasuklah:
- Tidak semua kontena boleh digunakan – Kontena yang sesuai dijadikan rumah atau premis adalah yang hanya pernah digunakan sebelum ini bagi satu trip penghantaran sahaja. Bagi kontena yang telah digunakan untuk banyak penghantaran, kebiasaannya berada dalam keadaan yang kurang baik atau rosak. Terdapat kemungkinan ia mempunyai masalah struktur dan tidak sesuai dijadikan rumah.
- Risiko bahaya – Kontena mempunyai sudut yang kukuh tapi bumbungnya agak rapuh. Maka, sekiranya anda bercadang untuk membuat tingkap, anda dinasihatkan untuk memperkukuh strukturnya terlebih dahulu. Selain itu, anda perlukan kerja-kerja pembinaan dan kimpalan yang baik sekiranya anda bercadang untuk membuat lebih banyak pengubahsuaian. Anda juga perlu pastikan bahawa cat asal kontena tersebut tidak mengandungi plumbum atau racun perosak.
Berapa kos untuk bina rumah kontena?
Kos pembinaan sebuah rumah kontena bergantung kepada spesifikasi yang anda mahukan. Sebagai contoh, sekiranya anda membeli sebidang tanah berkeluasan 2,000 kaki persegi (kps) di kawasan pinggir bandar dengan harga yang berpatutan dan hanya membuat pengubahsuai yang ringkas sahaja pada kontena tersebut, ia dijangka menelan kos sebanyak RM150,000 hingga RM250,000.
Sekiranya dibandingkan dengan harga kebanyakkan kediaman di sekitar Lembah Klang, kos tersebut adalah agak murah. Tetapi perlu diingat, ini adalah pembinaan rumah dengan rekabentuk yang asas. Anggaran kos tersebut juga akan menjadi lebih rendah sekiranya anda sudah mempunyai tanah sendiri ataupun berjaya membeli pada nilai murah di kawasan luar bandar. Mungkinkah ini adalah alternatif kediaman yang sesuai bagi mereka yang memiliki kediaman sendiri?
Perlukan bantuan kewangan untuk membina rumah kontena?
AsSidq.com adalah platform sehenti anda untuk produk kewangan Islami. Kami membantu memadankan anda dengan tawaran kewangan patuh syariah yang terbaik dari rakan perbankan dan kewangan kami, berdasarkan keperluan anda.
Kami memastikan pembiayaan anda bebas daripada unsur yang tidak beretika termasuk riba, gharar, maysir, haram, dan zulm.
Sama seperti produk perbankan Islam yang lain yang dikawal ketat di Malaysia, pembiayaan yang ditawarkan melalui Assidq.com dikawal oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia. Ini adalah jawatankuasa yang memastikan semua pinjaman peribadi Islam di Malaysia mematuhi prinsip syariah.
Perkhidmatan ini disediakan percuma, mudah digunakan dan anda akan dipadankan serta-merta. Mohon sekarang dan dapatkan kelulusan dalam masa yang singkat!