Menurut PERKESO dalam laporan Berita Harian, kehilangan pekerjaan di Malaysia meningkat sebanyak 42% untuk suku pertama tahun ini (Q1 2020) akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara pada awal tahun.
Pandemik tersebut juga telah menjejaskan banyak perniagaan sehingga mengalami penurunan permintaan sebanyak 37% atau tidak dapat beroperasi seperti biasa (42%). Akhbar yang sama turut melaporkan bahawa ekonomi Malaysia dijangka akan mengalami kelembapan ketara.
Mendapatkan pinjaman atau pembiayaan ketika kemelesetan ekonomi lebih sukar berbanding biasa. Bank atau pemberi pinjaman sedar akan risiko kerugian yang mereka akan tanggung kerana pemiutang berkemungkinan akan menangguhkan pembayaran, tidak membayar balik dan memfailkan kebankrapan.
Tahap risiko yang ada pada pemohon pinjaman ketika kemelesetan adalah lebih tinggi kerana pemohon pinjaman berisiko dibuang kerja. Dengan kebanyakan syarikat melaksanakan pembekuan pengambilan pekerja sebagai salah satu langkah untuk mengurangkan kos, ramai orang yang menghadapi kesukaran untuk mendapat kerja baru.
Semua faktor ini menyebabkan pihak bank/pemberi pinjaman memperketatkan kelulusan pinjaman ketika kemelesetan. Jika anda ingin membuat pinjaman atau pembiayaan pada saat ekonomi sedang meleset, penting untuk anda menjaga skor kredit anda dengan baik.
Sewaktu kemelesetan ekonomi, bank/pemberi pinjaman akan meneliti setiap maklumat berkaitan kewangan anda, termasuklah:
- Pendapatan
Pemohon pinjaman yang mempunyai sumber pendapatan bulanan yang stabil dan tidak tergolong dalam sektor ekonomi yang paling terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 (seperti pelancongan, perhotelan, dan pembuatan) akan diberi keutamaan. - Skor dan laporan kredit
Sejarah kredit anda membuktikan kepada bank bagaimana anda menguruskan kewangan dan segala hutang anda.
Ia menunjukkan sama ada anda seorang pembayar yang menepati masa, sama ada anda tidak membayar balik hutang atau telah diisytiharkan muflis. Ia juga menunjukkan berapa jumlah hutang yang anda miliki sekarang agar pihak bank boleh memutuskan berapa banyak hutang tambahan yang anda mampu tanggung. - Nisbah hutang kepada pendapatan
Pemberi pinjaman akan mempertimbangkan seberapa besar kemungkinan anda membayar balik pinjaman dengan melihat berapa banyak pendapatan anda yang digunakan untuk membuat pembayaran hutang bulanan anda. Contohnya, jika pembayaran gadai janji anda sekarang merangkumi 50% dari pendapatan anda, anda barangkali tidak mampu untuk membuat pembayaran balik bagi pinjaman baru ini. - Aset
Sekiranya berlaku kecemasan atau perkara yang tak diduga, adakah anda mempunyai wang simpanan yang mencukupi bagi menanggung keperluan dan juga membayar balik pinjaman? - Wang pendahuluan
Kemungkinan pinjaman/pembiayaan anda diluluskan adalah lebih tinggi jika anda mempunyai wang yang mencukupi bagi membuat bayaran muka.
Pada saat ini, bank atau pemberi pinjaman mungkin akan menetapkan skor kredit yang lebih tinggi berbanding biasanya dalam hal meluluskan permohonan pinjaman. Skor kredit yang ditetapkan juga mungkin berbeza di antara bank.
Cara untuk meningkatkan peluang permohonan pinjaman/pembiayaan anda diluluskan ketika kemelesetan ekonomi
Selain memastikan anda mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan risiko anda dibuang kerja adalah rendah (atau anda mempunyai simpanan kecemasan yang mencukupi), terdapat dua cara yang boleh membantu anda untuk meningkatkan peluang permohonan pinjaman/pembiayaan anda diluluskan, iaitu:
1.Semak skor dan laporan kredit anda
Semak skor dan laporan kredit anda. Adakah ianya memuaskan? Adakah ia memenuhi skor yang ditetapkan oleh bank/pemberi pinjaman? Secara amnya, pemohon yang mempunyai skor baik hingga cemerlang mempunyai peluang yang lebih tinggi dalam mendapatkan kelulusan. Laporan kredit anda juga haruslah meyakinkan pihak bank agar peluang anda lebih cerah.
Selain itu, pastikan segala maklumat yang ada pada laporan kredit anda adalah betul dan telah dikemas kini. Walaupun laporan kredit adalah tepat dalam kebanyakan kes, anda boleh membuat bantahan dengan biro kredit jika terdapat maklumat yang salah pada laporan kredit anda.
Ini penting kerana jika kesalahan tersebut memberi kesan negatif terhadap skor kredit anda, membuat pembetulan bagi kesalahan tersebut boleh meningkatkan skor kredit anda.
Cari bank yang menawarkan pinjaman/pembiayaan yang diingini di mana skor kredit anda memenuhi skor yang ditetapkan. Pastikan juga pinjaman/pembiayaan tersebut menawarkan kadar faedah atau keuntungan dan perjanjian yang terbaik untuk anda.
2. Dapatkan ahli keluarga dengan pendapatan bulanan yang tinggi atau stabil, jumlah aset yang memuaskan, dan/atau skor kredit yang tinggi sebagai penjamin
Jika terdapat ahli keluarga yang bersetuju untuk menjadi penjamin anda, peluang permohonan anda diluluskan adalah lebih tinggi sekiranya penjamin anda itu mempunyai pendapatan yang tinggi atau stabil, jumlah aset yang memuaskan, dan/atau skor kredit yang tinggi.
Namun sebelum anda meminta mereka untuk menjadi penjamin anda, pastikan anda benar-benar mempunyai kemampuan untuk membayar balik pinjaman/pembiayaan. Ini kerana sekiranya anda tidak dapat membayar balik dalam masa yang ditetapkan (membuat pembayaran lewat) atau tidak membuat pembayaran balik, ia akan memberi kesan terhadap skor kredit anda dan juga penjamin anda.