Dalam laporan Sinar Harian, kes perceraian di Malaysia merekodkan peningkatan luar biasa sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.
Trend peningkatan itu juga dijangka berterusan apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya ketika ini.
Menurut pakar motivasi dan kaunseling dalam laporan tersebut, Hushim Salleh, masalah kewangan menjadi antara penyebab utama berlakunya perceraian kerana ramai suami diberhentikan kerja dan hilang punca pendapatan akibat Covid-19.
Kebanyakan kes perceraian yang berlaku adalah di kalangan golongan B40, seperti peniaga kecil-kecilan, pembantu kedai makan, atau pekerja kilang. Beliau turut menyatakan kira-kira 70 hingga 80% kes pasangan yang datang menemuinya adalah disebabkan ketiadaan wang simpanan.
Biasanya golongan wanita adalah golongan yang paling terkesan setelah bercerai, terutama bagi mereka yang tidak bekerja dan tiada simpanan sendiri. Jika bekas suami jenis yang tidak bertanggungjawab dalam memberi nafkah anak-anak, ini sememangnya akan menambahkan lagi masalah kewangan si ibu.
Sebab itulah pentingnya bagi wanita, terutamanya jika anda seorang wanita muda yang bakal berkahwin, untuk melakukan lapan perkara ini sebelum berkahwin bagi menjamin kesejahteraan perkahwinan anda:
- Ketahui keadaan kewangan pasangan (dan sikapnya)
Anda dan pasangan harus berbincang tentang kewangan masing-masing. Adakah anda tahu pekerjaan bakal suami, berapa jumlah pendapatan bulanannya, berapa jumlah hutang semasanya, dan sikapnya dalam mengendalikan hal-hal berkaitan kewangan?
Adakah anda rasa si dia seorang yang cermat? Adakah si dia bakal bertanggungjawab dari segi nafkah dan bukan seorang yang kedekut? Ini semua penting bagi menjamin kesejahteraan perkahwinan anda. - Pastikan anda mempunyai pendapatan dan simpanan sendiri
Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada tahun lalu, perceraian boleh menyumbang kepada penderaan kanak-kanak yang membabitkan paling ramai golongan ibu.
Masalah kewangan, kes perceraian dan dera kanak-kanak saling berkaitan, jadi apabila pasangan bercerai disebabkan kewangan, si ibu biasanya akan hilang punca pendapatan dan tertekan maka penderaan boleh berlaku.
Oleh kerana golongan wanita adalah golongan yang paling terkesan setelah bercerai, penting untuk anda bersedia dari segi kewangan kerana kita tak boleh jangka apa yang akan berlaku di masa hadapan.
Sangat digalakkan untuk anda mempunyai punca pendapatan sendiri, walaupun suami bergaji besar (dan suami tak berhak untuk mengambil wang anda tanpa kerelaan anda).
Pastikan anda simpan wang setiap bulan untuk kegunaan ketika kecemasan. Jangan sesekali usik wang itu jika tiada urusan penting. - Belajar tentang pengurusan kewangan dan pelaburan
Tahukah anda, seramai 60% golongan muda yang berusia di antara 25 hingga 44 tahun diisytiharkan muflis di Malaysia? Menurut Laporan kajian Pantauan Ekonomi Malaysia Disember 2019 yang diterbitkan Bank Dunia, ia disebabkan oleh tabiat berbelanja melebihi pendapatan.
Anda sangat digalakkan untuk belajar tentang pengurusan kewangan. Ini boleh dilakukan dengan mudah secara dalam talian dan percuma. Terdapat pelbagai sumber mengenai pengurusan kewangan yang anda boleh dapati dalam talian, seperti Belanjawanku oleh KWSP.
Selain itu, anda juga boleh mendapatkan pendidikan kewangan bersama AKPK secara percuma yang menyediakan bahan pendidikan kewangan meliputi penggunaan kredit dengan bijak dan asas pengurusan wang.
Setelah anda mahir dalam pengurusan kewangan, bolehlah mula membuat pelaburan. Menurut pakar kewangan, robo-advisor mungkin ialah pilihan yang baik buat pelabur muda yang baru menceburi dunia pelaburan dengan modal dan pengalaman yang terhad.
- Uruskan segala hutang yang ada
Anda dan bakal suami harus jujur dengan hutang-hutang yang dimiliki. Ini untuk memudahkan anda berdua dalam menguruskan kewangan dan perbelanjaan setelah berkahwin. Dapatkan khidmat kaunseling kewangan atau sertai Program Pengurusan Kredit secara percuma dengan AKPK. - Fahami prosedur dan kepentingan hibah dan wasiat
Kes rebut harta pusaka di negara kita merupakan hal biasa. Lebih menyedihkan lagi apabila ia meretakkan hubungan kekeluargaan. Sebab itulah anda mesti tahu tentang pengurusan harta pusaka dan kelebihan hibah dalam pengurusan harta pusaka. - Ketahui hak-hak anda sebagai isteri
Menurut Imam an-Nawawi (an-Nawawi: 450-461), terdapat tujuh hak-hak yang wajib terhadap isteri yang melibatkan kewangan (nafkah zahir), iaitu:- Makanan
- Pakaian
- Tempat tinggal (rumah)
- Bahan-bahan memasak seperti rempah-ratus (bawang,minyak masak, garam, asam dan sebagainya)
- Pembantu (bagi isteri yang kebiasaanya mempunyai pembantu)
- Alat-alat pembersih badan & pencuci pakaian
- Perkakas-perkakas rumah seperti perkakas bilik air, perkakas tidur & sebagainya
- Bincang awal-awal dengan bakal suami tentang tempat tinggal
Tempat tinggal merupakan isu yang hangat di kalangan pasangan yang berkahwin di Malaysia, bahkan ada yang menyebabkan perceraian kerana isteri tidak selesa tinggal bersama keluarga mentua.
Jika anda tidak selesa untuk tinggal bersama mentua, bincang awal-awal dengan bakal suami tentang di mana anda akan tinggal setelah berkahwin. Ini penting untuk menjaga keharmonian hubungan. - Buat anggaran kos persiapan perkahwinan
Semasa anda membuat perancangan majlis perkahwinan, sertakan sekali anggaran kasar kos persiapan perkahwinan, termasuklah:- Kos tempahan dewan
- Kos katering
- Kos pelamin
- Kos Mak Andam
- Kos sewa baju pengantin
- Kos kad kahwin
- Kos dulang hantaran
- Kos bilik pengantin
- Kos sewa hotel/homestay untuk tetamu rapat
- Kos jurugambar
- Kos upah/baju pengapit dan dulang girls/boys
- Kos berbulan madu (jika mampu)
Bagaimana? Adakah anda dan pasangan telah bersedia dari segi kewangan? Semoga perkahwinan anda kekal hingga ke Jannah!