Di Malaysia, penggunaan kad kredit masih begitu rendah di kalangan pengguna. Hanya 27% menggunakan kad kredit bagi membayar keperluan perbelanjaan mereka, menurut sebuah laporan yang dikeluarkan oleh Nielsen Malaysia.
Hanya satu daripada empat rakyat Malaysia menggunakan kad kredit untuk membayar perbelanjaan harian, terutamanya yang berumur di antara 35 dan 64 tahun. Kebanyakannya masih memilih untuk membuat pembayaran menggunakan kad debit dan wang tunai.
Tiga sebab utama mengapa penggunaan kad kredit masih rendah di kalangan pengguna Malaysia ialah:
- Rata-ratanya tidak mempunyai kelayakan kredit yang memuaskan
- Tidak mahu dibebani lebih banyak hutang (disebabkan oleh kadar faedah dan caj berlebihan yang dikenakan)
- Tanggapan bahawa penggunaan kad kredit adalah haram di kalangan pelanggan Islam
Disebabkan oleh konsep kad kredit yang secara amnya menggunakan prinsip riba (kadar faedah) dan gharar (seperti kekaburan dalam caj berlebihan yang dikenakan), maka ramai yang berpandangan bahawa penggunaan kad kredit adalah haram kerana tidak mematuhi syariah.
Bagaimana pula dengan kad kredit Islam?
Kad kredit Islam: apakah perbezaan dan kelebihan yang terdapat padanya?
Menurut JAKIM, kad kredit Islam hendaklah bebas sepenuhnya dari unsur riba kerana ianya distruktur dengan menggunakan kontrak-kontrak yang dibenarkan syarak serta mempunyai terma-terma yang juga patuh syariah.
Sebagai contoh, syarat yang telah ditetapkan di dalam kontrak Qard ialah peminjam hanya perlu membayar semula jumlah yang sama seperti jumlah yang dipinjam. Sebarang bayaran tambahan (selain daripada yang telah dinyatakan di awal kontrak Qard) yang dikenakan pada jumlah bayaran balik pinjaman adalah dikira sebagai riba.
Kebiasaannya, kad kredit Islam terdiri daripada tiga struktur kontrak yang dibenarkan yang menjadikannya berbeza daripada kad kredit konvensional, iaitu Kafalah, Wakalah dan Qard.
Di bawah kontrak Kafalah, pengeluar kad memberi jaminan pembayaran kepada peniaga dan pihak ketiga yang lain bagi pihak pemegang kad.
Di bawah kontrak Wakalah, pengeluar kad dianggap sebagai ejen kepada pemegang kad, dimana ia akan membayar peniaga bagi pihak pemegang kad; dengan menyediakan pinjaman untuk pemegang kad bagi membayar jumlah yang terhasil daripada penggunaan kad kredit.
Di bawah kontrak Qard pula, pengeluar kad bertindak sebagai pemberi pinjaman kepada pemegang kad yang mengeluarkan wang dari bank yang terbabit, dan pemegang kad bertanggungjawab untuk segera membayar kembali jumlah yang digunakan.
Tidak seperti kad kredit konvensional, kad kredit Islam tidak mempunyai kadar faedah dan kompaun. Sekiranya anda tidak membuat pembayaran balik pada masa yang ditetapkan atau membuat pembayaran penuh, anda tidak akan dikenakan faedah.
Sebaliknya, anda akan dikenakan yuran yang dikenali sebagai kadar keuntungan (profit rate) bagi baki bayaran yang tinggal. Selain itu, terdapat beberapa kelebihan yang lain, seperti:
- Rebat bagi pembayaran awal.
- Perlindungan takaful bagi pengguna.
- Penapisan bagi transaksi haram, yang bermaksud kad tersebut tidak boleh digunakan bagi membeli arak, berjudi atau sebarang aktiviti pembelian yang tidak mematuhi syariah. Dalam hal ini, pihak bank Islam akan menyekat transaksi.
- Pengguna beragama Islam boleh menggunakan kad kredit Islam untuk membayar zakat.
Selain perlindungan takaful, terdapat sesetengah kad kredit Islam yang turut menawarkan ‘bayaran kebajikan’ di mana sekiranya pemegang kad meninggal dunia, bank Islam yang terlibat akan membayar premium yang ada untuk menampung sebahagian atau keseluruhan baki tertunggak pemegang kad yang telah meninggal.
Bagaimana pula dengan yuran penyertaan, pembaharuan dan penukaran kad?
Menurut Majma’ Fiqh Islami (Kesatuan Ulama Fiqh Islam Sedunia) pada persidangannya yang ketiga pada bulan Oktober tahun 1986, yuran penyertaan, pembaharuan dan penukaran kad yang dikenakan tidak bermasalah dari sudut syarak, dan ia dianggap sebagai upah yang telah ditetapkan oleh pihak pengeluar kad terhadap khidmat yang disediakannya.
Hukum bagi setiap perkhidmatan ini ialah harus, tetapi dengan syarat jumlah yuran yang dikenakan mestilah setara dengan khidmat sebenar yang diberikan. Jika ia melebihi kos khidmat sebenar dan tidak setimpal, maka ia dikira sebagai riba dan hukumnya haram.
Ingin mencari kad kredit islamik yang sesuai untuk anda? Klik sini.