Tanah air kita yang tercinta, Malaysia, dikenali sebagai negara yang mempunyai industri perbankan dan kewangan Islamik yang terbaik di dunia. Sejak tertubuhnya Akta Bank Islam pada tahun 1983, industri ini telah melalui pelbagai perkembangan yang pesat. Ini seperti yang dinyatakan di dalam laporan tahun 2017 yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Pada tahun 2000, pembiayaan Islamik hanya menguasai 5.3% dari bahagian pasaran. Tetapi kini, angka tersebut sudah mencecah 34.9%. Malahan, pembiayaan Islamik ini turut mendapat sambutan hangat dari golongan bukan Islam di negara ini.
Selain itu, Malaysia menerajui banyak pembangunan inovatif lain dalam kewangan Islam seperti penerbitan Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab pertama dan Sukuk Hijau serta pelancaran Platform Akaun Pelaburan.
Bagaimanapun, di sebalik perkembangan pesat ini, masih ada bidang yang perlu diterokai dengan lebih gigih oleh dunia kewangan Islam. Bidang tersebut merupakan bidang teknologi kewangan atau lebih dikenali sebagai Fintech.
Apa itu Fintech?
Fintech berasal daripada gabungan dua perkataan Inggeris iaitu finance (kewangan) dan technology (teknologi). Ia adalah apa-apa transaksi atau aktiviti berkaitan kewangan yang kini diinovasikan dan diperbaharui. Ini terhasil melalui gabungan teknologi yang menyaksikan pengalaman perbankan berbeza kepada pelanggan institusi kewangan, sama ada konvensional atau perbankan Islam.
Secara mudahnya, Fintech adalah penggunaan teknologi terkini dalam dunia kewangan seperti perbankan internet, big data dan blockchain.
Kewangan Islam dan Fintech
Kewangan Islam juga tidak terlepas menggunakan aplikasi teknologi bagi menambah baik servis mereka. Bagaimanapun, ia dianggap masih lagi berada pada peringkat awal.
Pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur ke-15 2019 pada bulan April yang lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyeru pemain perbankan dan kewangan Islam untuk giat melabur dalam teknologi. Menurutnya, ini penting bagi mengubah cara mereka menjalankan perkhidmatan perbankan serta menyebarkan produk mereka dengan lebih cekap dan berkesan.
Tun Mahathir berkata penggunaan teknologi pintar dalam industri kewangan telah membawa kesan positif kepada industri tersebut serta industri lain seperti dalam pembayaran mudah alih, pindahan wang, pinjaman, pengumpulan dana dan pengurusan aset.
“Teknologi terkini yang diterima pakai oleh fintech memanfaatkan Internet, peranti mudah alih, integrasi media sosial, analisis data raya dan kecerdasan buatan (AI) yang menjadikan urus niaga kewangan lebih berautomasi, mesra pengguna dan selesa, justeru memudahkan lagi pelanggan.
“Fintech juga menembusi industri kewangan Islam walaupun ia dianggap masih lagi di peringkat awal. Bagaimanapun, potensi gangguan kepada kewangan Islam tradisional tidak sepatutnya diambil mudah. Gangguan boleh berlaku dalam kedua-dua cara,” ujarnya lagi.
Potensi Fintech Malaysia
Walaupun Malaysia dianggap sebagai peneraju dalam bidang kewangan Islam, negara ini masih lagi dianggap sedikit ketinggalan dalam bidang Fintech berbanding negara-negara serantau. Mengikut laporan State of Southeast Asian Tech Report 2018, separuh daripada pemain utama di dalam industri teknologi serantau lebih berminat untuk membuka syarikat teknologi di Singapura berbanding Malaysia.
Bagaimanapun, pelbagai usaha sedang dijalankan di Malaysia untuk mengubah keadaan ini. BNM sendiri tampil dengan inisiatif seperti pelancaran program DuitNow, di mana dana boleh dihantar terus kepada nombor telefon, nombor MyKad atau pendaftaran syarikat. Ini diharapkan dapat membawa masyarakat kepada persekitaran tanpa tunai (cashless society).
Lebih terkini, bank maya pertama Malaysia bakal diperkenalkan susulan pengumuman BNM pada Mac lalu, menyasarkan keperluan pengeluaran lesen perbankan maya menjelang penghujung tahun ini.
Landskap perbankan 2019 juga berbeza, di mana bank dilihat menuju era pendigitalan. Laporan syarikat perakaunan Ernst & Young pada 2018 menunjukkan 66 peratus bank di Malaysia mahu mencapai kematangan digital pada 2020.
Inisiatif juga dilakukan oleh Jabatan Perlindungan Data Peribadi, Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi melindungi pengguna dari jenayah siber dengan melancarkan Akta Data Perlindungan Peribadi. Ia diharapkan dapat mengurangkan kegiatan seperti penipuan dalam talian, penipuan kad kredit, kecurian identiti dan pencerobohan data.
Selain itu, pendanaan awam dan pembiayaan antara rakan setara (P2P) daripada fintech menyediakan penyelesaian kepada individu atau perusahaan kecil dan sederhana yang memerlukan pembiayaan tetapi tidak layak memperolehnya daripada institusi kewangan Islam tradisional.
Para pelabur juga layak mendapat potensi pulangan tinggi dengan melabur secara terus ke dalam usaha niaga yang mereka biayai menerusi pasaran pembiayaan dalam talian.