Pada awal bulan Mei, timbul kekeliruan dan kekecohan di kalangan peminjam tentang moratorium yang diberi akibat pandemik Covid-19.
Dalam laporan Harian Metro, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata bahawa penangguhan bayaran balik pinjaman atau pembiayaan sebenarnya bertujuan membantu aliran tunai peminjam yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Menurut mereka, tujuan itu masih tidak berubah.
“Kekeliruan yang timbul adalah disebabkan oleh salah tanggapan bahawa jumlah bayaran balik sesuatu pinjaman Sewa Beli tidak boleh diubah,” jelas BNM.
“Salah tanggapan ini juga sedikit sebanyak mungkin disebabkan oleh ilustrasi pengiraan yang kami tunjukkan dalam versi awal soalan lazim (FAQ), yang menggunakan beberapa andaian dan kaveat.
“Kami kemudiannya mengeluarkan contoh pengiraan itu daripada FAQ ini apabila institusi kewangan menyediakan contoh pengiraan mereka.
“Ilustrasi yang kami tunjukkan bukan bertujuan untuk ‘menghilangkan’ caj kadar faedah terakru (yang diambil kira) kepada pinjaman yang diberikan penangguhan bayaran balik,” jelas BNM lagi.
Bagi menjawab segala persoalan dan kekeliruan orang ramai, BNM telahpun mengemas kini Portal Maklumat Bantuan COVID-19nya, di mana anda boleh ketahui lebih lanjut mengenai langkah-langkah oleh BNM dan industri kewangan Malaysia untuk membantu Individu, PKS, dan Syarikat Korporat sewaktu pandemik Covid-19.
Berikut merupakan beberapa ringkasan tentang moratorium bayaran balik pinjaman dan perkara yang berkaitan yang perlu diketahui oleh peminjam (Individu):
- Faedah akan terus dikenakan (bagi pinjaman konvensional) dan keuntungan akan terus terakru/diambil kira (bagi pembiayaan Islam)
Buat mereka yang mendapatkan Pakej Penangguhan selama 6 bulan, faedah/keuntungan akan terus dimasukkan (terakru/diambil kira) ke dalam bayaran balik pinjaman/pembiayaan yang ditangguhkan dan peminjam/pelanggan perlu menunaikan pembayaran balik yang tertangguh pada masa akan datang.
Bagi pinjaman konvensional, faedah akan terus dikenakan ke atas baki yang belum dijelaskan yang merangkumi pinjaman pokok dan faedah (iaitu terkompaun) semasa tempoh moratorium. Walau bagaimanapun, beberapa institusi kewangan boleh membuat keputusan untuk tidak mengenakan kadar faedah kompaun semasa tempoh penangguhan. Anda boleh dapatkan maklumat lanjut tentang penangguhan ini di laman sesawang institusi kewangan anda.
Bagi pembiayaan Islam pula, keuntungan akan terus terakru (yakni diambil kira) pada jumlah pokok yang belum dijelaskan. Namun begitu, keuntungan tersebut tidak akan dikompaun selaras dengan prinsip Syariah. Walau bagaimanapun, institusi kewangan tidak dibenarkan mengenakan bayaran penalti lewat atas jumlah tertunda. Dalam erti kata lain, bayaran balik pinjaman/pembiayaan hanya tertangguh selama 6 bulan. - Contoh bayaran bulanan pinjaman/pembiayaan perumahan selepas tempoh moratorium 6 bulan
A) Ansuran bulanan sebelum penangguhan: RM1,438
B) Ansuran bulanan selepas penangguhan: RM1,483
Dalam ilustrasi pinjaman perumahan konvensional ini, terdapat tambahan sebanyak RM45. Ia adalah berdasarkan andaian-andaian yang berikut:
- Tiada tempoh lanjutan selepas tempoh penangguhan
- Jumlah pinjaman – RM300,000
- Kadar faedah – 4.6% setahun (kadar faedah kompaun tidak dikenakan semasa tempoh penangguhan)
- Tempoh asal – 35 tahun, dan peminjam telah membayar balik selama 5 tahun
- Bayaran pokok dan faedah digantung semasa tempoh penangguhan
- Baki belum jelas sebelum tempoh penangguhan – RM280,585
- Jumlah baki belum jelas selepas penangguhan yang perlu dibayar balik dalam tempoh 29.5 tahun = RM287,038
3. Penukaran baki kad kredit kepada pinjaman/pembiayaan bertempoh 3-tahun (Pakej Penukaran)
Semua pemegang kad layak menyertai pakej penukaran tanpa mengira tahap pendapatan mereka. Bagi pemegang kad yang terlepas 3 bulan pembayaran bulanan minimum berturut-turut, institusi kewangan akan menukar baki kad kredit secara automatik kepada pinjaman bertempoh dengan tempoh pinjaman sehingga 3 tahun.
Institusi kewangan juga akan memberikan alternatif kepada pemegang kad lain memilih pada bila-bila masa dari 1 April hingga 31 Disember 2020 untuk menukar baki kad kredit mereka kepada pinjaman bertempoh pada tempoh dan kadar yang sama seperti yang dinyatakan.
Sekiranya anda berjaya menyelesaikan baki pinjaman/pembiayaan ini, tiada penalti dikenakan untuk penyelesaian awal.
4. Pemegang kad kredit yang telah menukar baki kad mereka kepada pinjaman/pembiayaan bertempoh sehingga 3-tahun BOLEH memohon untuk mendapatkan 6 bulan penangguhan
Bayaran pinjaman/pembiayaan bagi pinjaman/pembiayaan bertempoh sehingga 3-tahun tersebut akan diteruskan selepas tempoh penangguhan.
5. Sekiranya baki belum jelas kad kredit peminjam/pelanggan yang belum dijelaskan ditukar kepada pinjaman/pembiayaan bertempoh, rekod CCRIS mereka TIDAK akan terjejas teruk
Rekod CCRIS anda tidak akan terjejas teruk, jika akaun kad kredit anda masih berbayar (tunggakan kurang daripada 90 hari) pada tarikh penukaran. Walau bagaimanapun, jika akaun kad kredit anda tidak berbayar (tunggakan melebihi daripada 90 hari), maklumat ini akan terus terpapar dalam rekod CCRIS anda. Akaun ini akan ditanda sebagai R&R dalam CCRIS.
Dengan portal dan FAQ yang dikemas kini BNM, diharap tiada lagi kekeliruan yang timbul. Anda juga boleh hubungi pihak BNM atau institusi kewangan anda untuk maklumat lanjut.
1 thought on “Apa Yang Perlu Diketahui Tentang Moratorium Sepanjang Covid-19 Untuk Individu”
Comments are closed.