Buat anda yang baru berkahwin, tahniah diucapkan dan selamat melangkah ke alam baharu yang lebih mencabar! Pasangan-pasangan yang melangsungkan perkahwinan pada tahun 2020 pastinya telah melalui beberapa cabaran tersendiri berbanding mereka yang lain.
Ini kerana pandemik Covid-19 telah menyaksikan banyak majlis perkahwinan yang ditunda, dibatalkan atau dilangsungkan dengan SOP yang ketat.
Jika anda dan pasangan anda merupakan salah satu pasangan yang berjaya melangsungkan perkahwinan di saat yang mencabar ini, kami harap anda berdua juga mampu untuk menghadapi cabaran-cabaran yang bakal menanti di alam perkahwinan kelak.
Salah satu cabaran tersebut ialah pengurusan kewangan. Menguruskan kewangan dengan baik dan menyimpan wang yang secukupnya bagi kegunaan ketika kecemasan amat penting.
“Masalah kewangan yang dihadapi pasangan boleh diatasi bersama dengan pengurusan kewangan yang baik dan teliti,” – pakar ekonomi
Menurut beberapa orang pakar ekonomi dalam laporan FMT, tidak mempunyai perancangan kewangan yang kukuh dan tekanan masalah kewangan merupakan antara penyebab utama perceraian dalam kalangan pasangan muda.
“Gaji sekadar cukup makan juga menyebabkan pasangan bergaduh kerana tidak mampu menyara kehidupan seharian. Mereka perlu bekerjasama dan bertoleransi dengan cara berkomunikasi bagi mencapai persefahaman dalam mengatasi masalah kewangan,” kata Penganalisis ekonomi dan muamalat di Universiti Sains Islam, Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali dalam laporan tersebut.
Jika anda dan pasangan tidak pernah berbincang tentang hal kewangan sebelum berkahwin, buatlah secepat yang mungkin agar kehidupan seharian anda berdua lebih selesa dan terjamin. Ikuti beberapa tips yang berikut:
- Bincangkan status kewangan masing-masing
Sedarkah anda, selain curang dari segi emosi dan fizikal, kita juga boleh curang dari segi kewangan?
Curang dari segi kewangan termasuk menipu pasangan mengenai pembelian yang dibuat, menyorok barangan mahal yang dibeli, dan merahsiakan aset-aset atau hutang-piutang yang ada daripada pengetahuan pasangan.
Demi menjaga keharmonian rumah tangga, anda berdua mestilah jujur mengenai status kewangan masing-masing, termasuk memberitahu pasangan mengenai skor kredit dan sejarah kredit. - Tetapkan matlamat kewangan yang ingin dicapai bersama
Menetapkan matlamat kewangan yang ingin dicapai bersama memudahkan anda berdua untuk menentukan perbelanjaan yang perlu dibuat, selain menggalakkan anda berdua untuk berjimat-cermat dan menabung. Ini sekaligus mengelakkan anda berdua daripada bergaduh mengenai wang.
Senaraikan matlamat jangka pendek dan jangka panjang yang ingin dicapai bersama. Antara matlamat yang boleh dibuat adalah membeli rumah sendiri, mengubahsuai rumah, membina perniagaan baharu, membeli kereta baharu, mengumpul wang untuk kecemasan atau kegunaan di hari tua, membuat pelaburan, atau melancong.
Tiga perkara terpenting yang mesti anda berdua utamakan dahulu ialah menyimpan wang untuk persaraan, menyelesaikan hutang-hutang secepat yang mungkin, dan menyimpan wang yang cukup bagi kegunaan semasa kecemasan. - Senaraikan aset dan liabiliti yang ada
Pastikan anda dan pasangan jujur mengenai segala aset dan hutang-piutang yang ada kerana masing-masing berhak untuk tahu. Ini juga akan memudahkan semua pihak dalam urusan pembahagian harta sekiranya salah seorang daripada anda meninggal dunia.
Contoh aset ialah seperti kereta, rumah, akaun simpanan, dan akaun pelaburan, manakala liabiliti pula termasuk pinjaman belajar, gadai janji, bil kad kredit, dan sebagainya. - Bincang jika anda berdua ingin menyatukan kewangan atau tak
Menyatukan kewangan bukanlah perkara yang wajib dibuat oleh semua pasangan berkahwin, jadi pertimbangkan sama ada ia sesuai untuk anda berdua atau tidak.
Antara perkara yang boleh anda berdua lakukan ialah membuka akaun bank bersama atau menentukan sama ada anda ingin membayar cukai taksiran secara bersama atau berasingan. - Tetapkan bajet bulanan dan utamakan keperluan asas dan pembayaran hutang
Kira jumlah pendapatan isi rumah (gaji bersih sahaja). Kemudian tetapkan bajet dengan menggunakan kaedah 50/30/20 seperti berikut:- 50% untuk keperluan asas
Belanja 50% daripada pendapatan anda untuk keperluan asas seperti barangan dapur, sewa rumah, kemudahan asas, dan pengangkutan - 30% untuk kehendak
Kehendak ialah perkara yang kurang penting seperti makan di luar, menonton wayang, melancong, atau membeli baju baru - 20% untuk simpanan dan pembayaran hutang
Simpan 20% untuk kegunaan ketika kecemasan dan membayar balik hutang yang ada, seperti pinjaman belajar, kad kredit, atau ansuran bulanan kereta
Jejak perbelanjaan anda menggunakan aplikasi-aplikasi bajet seperti Money Lover atau Fast Budget. Semak perbelanjaan anda berdua pada setiap minggu dan lihat jika terdapat sebarang pelarasan yang perlu dibuat, seperti menyimpan lebih banyak wang dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak penting.
- 50% untuk keperluan asas
- Pilih pelan insurans yang terbaik buat keluarga anda
Hidup ini sukar dijangka, tapi apa yang boleh kita buat ialah sediakan payung sebelum hujan, dan payung itu adalah wang simpanan anda berdua serta pelan insurans yang dilanggan.
Pilih pelan insurans keluarga yang terbaik dan melindungi keluarga anda sekiranya sesuatu yang tidak dijangka berlaku, seperti perlindungan kemalangan, manfaat kematian atau kurang upaya kekal dan sebagainya.
Jika anda dan pasangan tidak pasti bagaimana nak bermula, agensi seperti AKPK boleh membantu anda berdua dalam memberi nasihat dan panduan tentang pengurusan kewangan yang bijak (seperti menetapkan bajet), penggunaan kredit, dan menghasilkan suatu pelan pembayaran hutang khas untuk menangani masalah kewangan yang dihadapi. Semua perkhidmatan yang ditawarkan adalah percuma.