Hari Nuzul Quran ialah salah satu hari yang paling istimewa bagi kebanyakan umat Islam di Malaysia dan juga dunia. Hari tersebut merupakan peristiwa bersejarah dalam dunia Islam, di mana ayat al-Quran yang pertama telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira.
Lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq ialah ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril. Surah Al-Alaq, yang bermaksud segumpal darah, menerangkan bahawa Allah SWT telah menciptakan manusia dari segumpal darah dan Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahui mereka.
Sejak peristiwa tersebut, ayat al-Quran telah diturunkan secara berperingkat-peringkat sehinggalah ia lengkap, suatu proses yang dipercayai memakan masa selama 23 tahun. Sepanjang tempoh ini, setiap ayat diturunkan secara lisan oleh Malaikat Jibril, yang bermula pada tahun 609 hingga 632 Masihi (tahun kewafatan Nabi Muhammad).
Al-Quran merupakan sumber panduan hidup yang penting untuk umat Islam. Di dalamnya mengandungi pelbagai pengajaran dan pedoman yang boleh diambil bagi membantu umat Islam dalam menjalani kehidupan yang patuh Syariah dan diredhai Allah SWT.
Salah satu pengajaran yang boleh kita ambil dari al-Quran ialah mengenai kekayaan. Di saat pandemik yang sedang melanda dunia, ramai di antara kita yang resah dengan kewangan masing-masing. Ada yang telah dibuang kerja. Ada yang dipotong gaji. Ramai yang risau memikirkan masalah ekonomi yang bakal dihadapi negara akibat PKP.
Jika anda sedang bergelut dengan masalah kewangan yang mencabar, berikut merupakan lima pengajaran mengenai kekayaan dari al-Quran yang mungkin boleh menenangkan jiwa:
1.Kekurangan dan kekayaan harta benda merupakan ujian
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” – Al-Baqarah Ayat 155.
Kekurangan harta benda merupakan ujian sama ada kita mampu bersabar, kekal bersyukur dengan apa yang ada dan mengingati Allah SWT, selain berusaha sebaik mungkin untuk mencari rezeki dan berserah kepada Allah SWT.
“Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi.” – Al-Munafiqun Ayat 9.
Ayat ini mengingatkan kita bahawa kita tidak boleh terlalu leka dengan harta yang banyak, kerana kekayaan juga merupakan ujian.
2.Membelanjakan harta merupakan punca rezeki masuk
“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.” – Al-Baqarah Ayat 261.
Apabila kita membelanjakan harta demi Allah SWT, kekayaan kita tidak akan berkurangan. Sebaliknya, amalan itu akan meningkatkan kekayaan kerana Allah SWT akan menggantinya dengan sesuatu yang lebih baik dan lebih hebat.
3.Jangan takut dengan kemiskinan, kerana Allah SWT Maha Memberi
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka.” – Al-An’aam Ayat 151.
Ketika ayat ini diturunkan, orang pagan rancak membunuh anak-anak mereka kerana takut akan kemiskinan. Setelah Islam diperkenalkan, para sahabat yang biasa mengamalkan tradisi ini mula menjauhinya.
Iktibar daripada ayat ini ialah Allah SWT adalah pemberi segala-galanya, maka orang yang beriman sepenuhnya tidak perlu takut akan kemiskinan. Sebahagian orang Islam beranggapan bahawa takut akan kemiskinan adalah sama dengan tidak mempercayai/meyakini Allah SWT.
4.Amalan bersedekah kepada orang miskin, anak yatim dan mereka yang memerlukan merupakan sebahagian daripada iman
“Kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat.” – Al-Baqarah Ayat 177.
Keimanan umat Islam dibina berdasarkan lima rukun Islam. Salah satu rukun tersebut adalah memberi harta untuk beramal atau zakat. Tak kira seberapa banyak atau sedikit harta yang dimiliki, kita dianjurkan untuk bersedekah.
5.Jangan sekali-kali mencari nafkah di jalan yang haram
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”
– An-Nisaa’ Ayat 29.
Umat Islam mesti memperoleh kekayaan mereka dengan cara yang halal dan sah di sisi undang-undang. Kita dilarang sama sekali untuk terlibat dalam kegiatan perniagaan yang haram dalam Islam, contohnya seperti jual beli alkohol, pornografi, pengklonan, pembuatan senjata pemusnah besar-besaran, atau perjudian.