Tahukah anda, menurut kajian yang diperoleh daripada Bank Negara Malaysia dalam sebuah laporan oleh Sinar Harian, didapati bahawa 75 peratus daripada rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan walaupun sebanyak RM1,000?
Daripada empat individu yang ditemui, tiga orang daripada mereka tidak ada simpanan sebanyak itu. Peratus yang tinggi itu sememangnya membimbangkan, dan menunjukkan betapa ramai di antara kita yang menjalani gaya hidup ‘paycheck to paycheck’.
Masih belum terlambat untuk anda menyimpan wang. Jika anda bercadang untuk mula menyimpan wang dalam masa terdekat ini, tahniah diucapkan! Tak kiralah sebanyak mana wang yang anda mampu simpan setiap bulan, sama ada RM20 atau RM200, bak kata peribahasa, “sikit-sikit, lama-lama jadi bukit”.
Lagi awal anda mula menyimpan wang, lebih banyak simpanan yang bakal anda kumpulkan yang semestinya boleh membantu anda di hari tua nanti atau pada bila-bila masa ianya diperlukan. Kalau boleh, asingkan simpanan tersebut menjadi dua kategori: satu untuk kegunaan ketika kecemasan dan satu untuk kegunaan selepas bersara.
Sebelum anda membuka akaun simpanan yang baru, berikut ialah lima perkara paling penting yang harus anda ambil kira:
- Kadar faedah
Akaun simpanan ialah salah satu pilihan terbaik jika anda ingin menyimpan wang anda dengan selamat dengan akses yang mudah dan pantas pada bila-bila masa, terutamanya ketika kecemasan.
Bagi akaun simpanan, selalunya kadar faedah yang ditawarkan oleh kebanyakan bank tidaklah sebanyak mana, jadi kalau anda bercadang untuk melaburkan wang anda dan mendapatkan hasil yang tinggi, akaun simpanan tidak begitu membantu kerana ia bukan platform pelaburan yang sangat menguntungkan.
Namun begitu, jika anda berjaya menjumpai akaun simpanan dengan kadar faedah yang tinggi (di antara 1% – 4% setiap tahun), anda digalakkan untuk membuka akaun tersebut. - Yuran dan caj tambahan/bulanan
Sesetengah bank akan mengenakan yuran dan/atau caj tambahan seperti yuran penjagaan akaun, yuran pengeluaran, dan yuran baki minimum. Niat anda untuk menyimpan wang malah merugikan anda sekiranya akaun simpanan tersebut mempunyai terlalu banyak yuran atau caj tambahan. - Pengeluaran yang mudah
Pastikan bank di mana anda membuka akaun simpanan itu menawarkan pengeluaran wang yang mudah dan pantas pada bila-bila masa dan di mana jua. Jika bank anda mempunyai rangkaian ATM yang meluas, anda boleh mengakses wang anda dengan mudah apabila ia diperlukan. Pastikan anda tidak membuat terlalu banyak pengeluaran pada setiap bulan bagi mengelakkan caj tambahan. - Pemindahan automatik
Disebabkan oleh keperluan hidup, bukan mudah untuk kita semua menyimpan wang dengan banyak dan konsisten, kerana sebahagian besarnya perlu dihabiskan untuk perkara-perkara penting seperti makanan/barangan dapur, bil-bil, dan pengangkutan.
Tetapi, jika anda komited dalam menyimpan wang secara konsisten, anda boleh melakukan pemindahan wang secara automatik pada setiap bulan bagi memudahkan anda dalam mencapai sasaran kewangan yang ditetapkan.
Kebanyakan bank menawarkan pilihan pemindahan automatik bagi akaun simpanan mereka, jadi anda tak akan terlupa untuk menyimpan wang pada setiap bulan. Anda boleh menentukan jumlah wang yang ingin disimpan. Pastikan kemudahan ini tidak mempunyai caj tambahan. - Deposit pembukaan minimum
Sesetengah bank memerlukan anda untuk menyimpan sejumlah wang di dalam akaun simpanan anda apabila anda membukanya. Jumlah yang biasanya dikehendaki bagi membuka sebuah akaun simpanan ialah di antara RM20 sehingga RM250. Bergantung kepada kemampuan anda, pilihlah akaun simpanan dengan deposit pembukaan minimum yang tidak terlalu membebankan anda.
Dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu sekarang ini, ditambah lagi dengan serangan jangkitan Covid-19 yang sedang berleluasa di seluruh dunia dan juga negara kita, ramai yang menghadapi masalah kewangan terutamanya golongan B40 dan sebahagian M40 yang tidak mempunyai simpanan wang yang mencukupi.Dengan pelbagai inisiatif yang ditawarkan oleh kerajaan, seperti pengeluaran KWSP i-Lestari dan Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN, diharap ia dapat mengurangkan beban rakyat. Pandemik Covid-19 ini adalah bukti betapa pentingnya untuk kita mempunyai simpanan bagi kecemasan. Jadi mulai sekarang, simpanlah wang sebanyak yang mungkin.