Sedar tak sedar, kita dah pun menjalani normal baharu sejak beberapa minggu yang lepas setelah bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan yang terbaharu sekali Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bakal menyaksikan semakin banyak sektor yang dibuka sedikit demi sedikit sebelum keadaan pulih seperti biasa.
Sekarang ini, tak sah kalau keluar rumah tanpa memakai topeng. Kita mendidik diri untuk bersabar ketika keluar membeli-belah kerana barisan untuk masuk ke kedai menjadi panjang disebabkan oleh kawalan kesihatan yang dijalankan. Kita tak berbual terlalu rapat dengan orang. Bila balik rumah, kita akan mencuci tangan dengan serta-merta.
Banyak lagi perkara baru yang kita lakukan sejak adanya normal baharu. Tetapi bagaimana pula dengan pengurusan kewangan anda dalam normal baharu ini? Dalam keadaan yang masih lagi tak menentu ini, dengan ramai orang yang diberhentikan kerja akibat pandemik Covid-19, ditambah dengan sebilangan pihak yang menaikkan harga produk atau perkhidmatan, kita mesti lebih bijak dan berjimat-cermat dalam menguruskan kewangan.
Salah satu perkara yang kita boleh ambil iktibar daripada pandemik ini ialah kita mestilah sentiasa bersedia dari segi kewangan bagi menghadapi apa jua kecemasan. Anda boleh mula berjimat-cermat dan menguruskan kewangan dengan bijak dengan beberapa tips ini:
- Semak semula bajet dan perbelanjaan anda
Semak semula bajet dan perbelanjaan anda secara bulanan dan tahunan. Lihat penyata bank, bil, kad kredit, resit perbelanjaan dan apa saja yang berkenaan. Dari situ anda akan tahu sama ada anda berbelanja dengan bijak atau boros. Nak lagi mudah, ikuti aturan bajet yang disyorkan pakar kewangan, iaitu 50/30/20:
– 50% daripada pendapatan anda digunakan untuk keperluan seperti bayaran bil, sewa rumah, barangan dapur, dan pengangkutan.
– 30% digunakan untuk kehendak seperti membeli-belah, makan di luar, melancong atau aktiviti hiburan.
– 20% pula ditabungkan (jika anda ingin lebih banyak menyimpan wang berbanding berbelanja untuk kehendak adalah lebih baik). - Bezakan di antara keperluan dan kehendak
Buat senarai di antara keperluan dan kehendak agar anda tak kerugian banyak wang. Keperluan ialah apa sahaja yang boleh memberi kesan besar terhadap kehidupan anda, di mana jika ia tiada, anda tak mampu nak menjalani hidup dengan selamat dan sempurna.
Ini termasuklah tempat tinggal, barangan dapur atau peribadi, kelengkapan asas rumah, bekalan air, bekalan elektrik, kenderaan untuk pergi bekerja, dan sebagainya. Sekarang ini, barangan seperti topeng dan sanitiser juga termasuk dalam keperluan.
Manakala kehendak pula ialah perkara yang tak begitu penting dan tak akan memberi kesan besar kepada hidup anda, contohnya seperti menonton wayang atau pergi melancong ke luar negara. Dengan senarai ini, ia akan memudahkan anda dalam berbelanja dengan cermat. - Kurangkan kos perbelanjaan
Semak resit-resit perbelanjaan dan senarai kehendak yang anda buat tadi. Lihat sama ada terdapat apa-apa perkara yang anda boleh batalkan atau elakkan bagi mengurangkan kos perbelanjaan.
Selain itu, jika majikan anda masih membenarkan anda bekerja dari rumah, ambil kesempatan ini untuk menyimpan lebih banyak wang untuk kecemasan dan kegunaan di kemudian hari. Ikuti juga 10 tips jimat elektrik ketika berada di rumah. - Semak semula atau uruskan segala komitmen pinjaman/hutang
Pastikan anda selesaikan atau sekurang-kurangnya uruskan segala komitmen pinjaman/hutang yang ada untuk mengurangkan bebanan. Pastikan anda telah pun menyimpan wang secukupnya untuk membayar semula pinjaman/hutang setelah tempoh moratorium tamat nanti. Jangan tunggu di saat-saat akhir. Anda juga boleh mendapatkan kaunseling kewangan secara percuma dengan AKPK. - Cari insentif atau bantuan yang ada
Jika anda tergolong di antara mereka yang telah diberhentikan kerja akibat pandemik, ketahui insentif atau bantuan yang ada bagi membantu anda mencari sumber pendapatan yang baru.
Sebagai contoh, MDEC dengan kerjasama Coursera baru-baru ini telah melancarkan kempen “Mari Belajar Digital” yang menawarkan akses percuma membabitkan 3,800 kursus termasuk sijil profesional sehingga 31 Disember 2020 untuk rakyat Malaysia yang terkesan akibat wabak Covid-19 dan tidak bekerja. Kempen ini dianjurkan supaya tenaga kerja tempatan dapat meningkatkan kemahiran diri dan juga kemahiran digital dan data. - Buat perancangan untuk hal-hal yang tak dijangka
Ekonomi negara kita terjejas akibat pandemik, dan akibatnya banyak syarikat yang terpaksa menamatkan operasi dan memberhentikan pekerja. Hal-hal yang tak dijangka seperti ini akan menjadi semakin sukar untuk dihadapi jika kita tiada tabung kecemasan yang boleh membantu selama 6-12 bulan. Jadi pastikan anda mempunyai simpanan kecemasan yang mencukupi selama 6-12 bulan (lebih banyak lebih baik).