Kita semua telah dikejutkan dengan virus Coovid-19 pada tahun ini. Hampir keseluruhan industri di dunia terjejas dengan pandemik ini, termasuklah Malaysia. Pelbagai inisiatif telah diperkenalkan bagi membantu kita semua pada saat-saat genting ini, baik inisiatif kerajaan mahupun persendirian.
Antara pertolongan bersasar yang dikeluarkan kerajaan adalah perlaksanaan moratorium oleh pihak bank. Ada banyak desas-desus yang mengatakan pihak kerajaan ingin memanjangkan tempoh pembayaran sekali gus mengurangkan ansuran bulanan dan mengubah terma dan syarat serta mengurangkan kadar faedah sehingga peminjam stabil. Tapi tiada kata putus dikeluarkan sehingga ke harini, ini bermaksud tempoh moratorium bayaran balik pinjaman yang diputuskan selama enam bulan sebelum ini akan berakhir September depan.
Dengan berakhirnya moratorium ini, perlu diingatkan kepada semua betapa pentingnya untuk kita semua berbelanja dengan lebih jimat cermat dan lengkapkan diri dengan pengetahuan kewangan asas.
Di antara pengetahuan kewangan asas yang perlu dimiliki oleh setiap individu adalah bagaimana untuk menyediakan belanjawan bulanan. Ini membolehkan pengurusan kewangan anda menjadi lebih tersusun dan mampu mengawal perbelanjaan luar kawal. Terdapat pelbagai kaedah untuk menyediakan belanjawan, tetapi kali ini, kami akan tumpukan kepada yang lebih kerap digunakan iaitu kaedah 50/30/20.
Tentukan jumlah pendapatan bersih
Langkah pertama yang perlu dilakukan adalah menentukan jumlah pendapatan bersih anda. Bagi yang mempunyai majikan, ini adalah jumlah pendapatan yang anda terima setelah ditolak EPF, zakat, atau apa-apa bayaran dipotong setiap bulan oleh pihak syarikat. Bagi yang bekerja sendiri, ia bersamaan dengan pendapatan kasar yang ditolak dengan perbelanjaan perniagaan seperti minyak petrol, bayaran tol, cukai pendapatan, dan lain-lain.
Sebarang pendapatan sampingan juga perlu dijumlahkan bagi mendapatkan jumlah pendapatan yang sebenar. Sekiranya, pengiraan pada langkah ini tersilap, maka ia akan menjejaskan keseluruhan belanjawan.
Peruntukan 50% bagi kerperluan
Sebanyak 50% daripada pendapatan bersih tadi diperuntukan kepada semua keperluan anda. Maksud keperluan di sini adalah segala bil dan yuran yang perlu dibayar. Di samping itu, segala perbelanjaan yang diperlukan untuk terus menjalani kehidupan juga termasuk di dalam kategori ini.
Di sinilah terdapat kepentingan untuk mengenalpasti perbezaan di antara keperluan dan kemahuan. Selain keperluan asas seperti tempat tinggal, makanan, kemudahan elektrik dan air, ada juga menyenaraikan pekara-pekara seperti insuran kesihatan dan kemudah internet di dalam kategori ini.
Senarai keperluan adalah berbeza bagi setiap individu. Maka, anda perlu memastikan perkara apa yang benar-benar mustahak dan diperlukan oleh anda. Sekiranya jumlah keperluan melebihi 50% daripada pendapatan bersih, anda perlu mengenalpasti perkara mana yang tidak mustahak dan perlu dimasukkan kedalam kategori yang lain.
Peruntukan 30% bagi kemahuan
Sebanyak 30% daripada pendapatan bersih diperuntukan buat semua perbelanjaan kemahuan. Seperti yang dinyatakan di atas, anda perlu terlebih dahulu mengenal pasti perbezaan di antara keperluan dan kemahuan anda. Bagi kategori ini, ia melibatkan perkara-perkara yang tidak mustahak. Dalam erti kata lain, ia adalah perkara-perkara di mana anda mempunyai pilihan untuk berbelanja atau tidak.
Di antara contoh bagi kemahuan adalah aktiviti hiburan seperti menonton wayang atau langganan Astro, percutian, makanan mahal atau berlebihan, yuran gym, dan pakaian atau gajet yang tidak mustahak.
Peruntukan 20% bagi matlamat kewangan
Sebanyak 20% daripada pendapatan bersih pula diperuntukan buat matlamat kewangan anda. Ini termasuklah wang simpanan dan pelaburan. Anda dinasihatkan supaya mempunyai wang simpanan sekurang-kurangnya tiga bulan pendapatan bersih. Ini adalah penting bagi menampung sebarang kecemasan yang mungkin menimpa.
Peruntukan juga perlu diberikan kepada perkara-pekara yang mampu mengembangkan pendapatan anda pada masa hadapan. Ini termasuklah pelaburan dan simpanan tetap. Bagi memengetahui pelaburan apa yang menguntungkan, pastikan anda membaca artikel-artikel lain yang terdapat di laman ini.
Aplikasi mudah alih
Menyediakan belanjawan peribadi kini telah menjadi semakin mudah dengan kewujudan aplikasi mudah alih. Memandangkan telefon bimbit kini dibawa ke mana sahaja anda berada, anda boleh terus memasukan setiap perbelanjaan anda ke dalam aplikasi tersebut.
Pembiayaan kewangan Islam adalah yang terbaik
Tidak semua hutang adalah buruk. Malahan, adakalanya ia boleh menguntungkan kita. Selain merupakan kaedah untuk melangsaikan hutang sedia ada, pembiayaan kewangan boleh digunakan untuk membuat pelaburan strategik dan penambahan aset.
Adakalannya juga kita memerlukan bantuan kewangan bagi tujuan perniagaan, perkahwinan, pelancongan, pengubahsuaian rumah, pembelajaran, dan lain-lain lagi. Pembiayaan kewangan adalah cara terbaik untuk membantu anda dalam perbelanjaan. Apabila pembiayaan itu adalah jenis Islamik, ia lebih menjamin anda daripada tertipu dan risiko bebanan kewangan adalah lebih rendah berbanding pinjaman konvensional.