Golongan muda rata-ratanya dah pun tahu tentang TikTok, yang mula popular di negara kita sekitar tahun 2018. TikTok, yang berasal dari China dan dikenali di sana sebagai Douyin, adalah perkhidmatan rangkaian sosial perkongsian video.
Ia berfungsi dalam membuat video-video berbentuk hiburan bahkan motivasi, iklan pendek, dan sebagainya. Walaupun ia kelihatan remeh bagi sebilangan orang, TikTok sebenarnya merupakan sebuah medium yang amat berguna bagi beberapa tujuan tertentu, terutamanya pemasaran produk.
Antara contoh jenis video yang popular adalah video yang memaparkan muzik pendek, lip-sync, tarian, komedi dan pertunjukan pelbagai jenis bakat yang biasanya berdurasi selama tiga hingga 15 saat, manakala bagi video loop pendek pula ialah sekitar tiga hingga 60 saat.
Setakat 2018, terdapat 4 juta pengguna TikTok di Malaysia, menurut laporan Silver Mouse. Selain menghiburkan dan mengeratkan hubungan di antara kawan-kawan apabila digunakan bersama, platform ini adalah lubuk pendapatan yang lumayan.
Peluang jana pendapatan sehingga RM10,000 sebulan
Jika anda kurang tahu tentang TikTok, ia amat mudah digunakan dan terdapat beberapa selebriti TikTok di Malaysia yang berjaya menjana pendapatan di antara RM4,000 hingga RM10,000 sebulan, menurut Metro Ahad.
Kebanyakan selebriti TikTok ini masih di usia remaja dengan ratusan ribu pengikut. Sebagai contoh, personaliti media sosial Muhammad Danish Danieal Shamsaini, atau lebih dikenali sebagai Coki atau “Slowmo King Malaysiaā€¯, telah berjaya meraih pendapatan sebanyak RM4,000 sebulan apabila memuat naik lebih daripada 50 video sejak dia aktif di TikTok.
Selain itu, seorang lagi personaliti Ahmad Akid Zulkiflee, atau Akiddos, mengatakan bahawa dia mampu menjana pendapatan sehingga RM10,000 sebulan di TikTok. Mempunyai hampir 700,000 pengikut di akaunnya yang dibuat tiga tahun lalu, Akiddos juga menerima tawaran dari pelanggan bagi membuat video untuk mereka.
4 langkah permulaan untuk jana pendapatan melalui TikTok
Jika anda berminat untuk menjana pendapatan melalui TikTok, anda boleh memuat turun aplikasi ini dan cuba berlatih menggunakan pelbagai fungsi yang ada sambil melihat contoh video-video yang digemari ramai. Berikut ialah tiga langkah permulaan:
- Cipta jenama anda yang tersendiri
Tak kira apa pun jenis perniagaan, penjenamaan adalah perkara asas yang paling penting sekali. Tanpa jenama anda akan kehilangan arah tujuan. Jenama anda adalah cerminan diri anda. Selain itu, siapa sasaran pasaran anda? Apa jenis kandungan yang anda ingin paparkan? Bagaimana anda ingin memasarkan diri anda? - Paparkan kandungan yang orang nak tonton
Kandungan anda mestilah menarik, unik dan dikemas kini. Ini bermaksud anda harus rajin membuat video baru setiap hari jika anda serius dalam menjana pendapatan. - Dapatkan pengikut yang mencecah sekurang-kurangnya 10,000 orang
Sebelum anda dibenarkan menjana pendapatan melalui akaun TikTok anda, anda harus ada sekurang-kurangnya 10,000 orang pengikut.
Cara terbaik untuk mendapatkan pengikut yang ramai adalah memahami apa yang ingin dilihat oleh pasaran sasaran anda, dan memuat naik kandungan berkualiti kepada mereka beberapa kali setiap hari. - Daftar dengan agensi influencer marketing
Setelah anda berjaya meraih sekurang-kurangnya 10,000 orang pengikut, barulah anda boleh mula menjana pendapatan. Jika anda seorang pemula yang tiada pengalaman, berdaftar dengan agensi influencer marketing mungkin boleh membantu anda melancarkan kerjaya sebagai seorang influencer yang serius.
Antara kelebihan berdaftar dengan sesebuah agensi influencer marketing ialah anda boleh bekerjasama dengan jenama-jenama kesukaan anda. Segala urusan akan dibuat oleh agensi dan anda tidak terikat dengan kontrak yang tersembunyi. SushiVid, Ittify dan Narrators adalah antara agensi yang boleh anda sertai.
5 cara untuk jana pendapatan melalui TikTok
Berikut merupakan lima cara popular di mana influencer menjana pendapatan melalui akaun TikTok mereka:
- Influencer marketing
Cara ini melibatkan syarikat-syarikat di mana mereka akan mengupah influencer yang bersesuaian dengan pengikut yang merupakan sasaran pasaran mereka. Tugas influencer ialah memaparkan produk/servis/jenama syarikat tersebut secara kreatif melalui video TikToknya mengikut tema kempen. - Penajaan kandungan (sponsored content post)
Cara ini melibatkan influencer mereka kandungan yang khusus buat sesebuah jenama. Biasanya influencer akan menguruskan akaun TikTok jenama tersebut dengan memuat naik kandungan secara berkala atau memaparkan kandungan (yang ditaja) yang memaparkan jenama tersebut di akaun influencer sendiri. - Barangan berjenama
Biasanya influencer yang berjaya dan amat popular akan mula melancarkan barangan berjenama mereka sendiri, sama ada pakaian, aksesori, makanan dan sebagainya. Jika anda meraih pendapatan yang mencukupi, anda boleh gunakan pendapatan itu sebagai modal untuk melancarkan produk anda sendiri. Dengan itu anda boleh meraih lebih banyak pendapatan melalui jualan produk anda. - Guna populariti anda untuk melancarkan kerjaya seni/hiburan
Influencer yang tidak berminat dalam melancarkan barangan berjenama mereka sendiri sebaliknya cuba untuk melancarkan kerjaya seni/hiburan dengan populariti mereka. Jika anda turut bercita-cita menjadi pelakon atau penyanyi, populariti anda sebagai personaliti media sosial amat membantu. - Perunding TikTok
Setelah anda berpengalaman dan pakar tentang sebarang perkara yang berkaitan dengan TikTok, anda boleh menjadi seorang perunding kepada jenama-jenama yang memerlukan rundingan bagi kempen pemasaran mereka, sama ada merancang strategi, membina jenama atau meningkatkan pengikut mereka.
Sama seperti perniagaan lain, anda mestilah belajar lebih lanjut mengenai bidang perniagaan yang ingin diceburi, termasuk TikTok.