Ibadah haji merupakan salah satu amalan ibadah wajib kepada umat Islam yang berkemampuan dan berkeupayaan. Ia perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup. Ia adalah satu acara perhimpunan keagamaan terbesar di dunia.
Dianggarkan bahawa lebih dua juta jemaah haji hadir di Arab Saudi pada setiap tahun. Bagaimanapun, akibat daripada norma baharu, hanya 1,000 penduduk tempatan Mekah sahaja dibenarkan untuk melakukan ibadat haji pada tahun ini.
Bagaimanapun, itu tidak menjejaskan sambutan Aidiladha buat umat Islam di serata dunia. Malahan, mereka digalakkan untuk menggandakan ibadah kerana ganjarannya adalah berlipat kali ganda pada bulan Zulhijjah.
Apa istimewanya bulan Zulhijjah?
Zulhijjah adalah bulan ke-12 dalam kalendar Hijrah Islam dan juga dikenali sebagai bulan Haji kerana ibadat tersebut berlangsung pada bulan ini. Bagi tahun 2020, tarikh 1 Zulhijjah adalah pada 22 Julai yang lalu (hari Rabu).
Pada 10 hari pertama bulan ini, umat Islam digalakkan untuk melakukan ibadat sunat seperti berzikir, membaca Al-Quran, bertakbir, melakukan ibadat korban pada Hari Raya Aidiladha atau hari-hari Tasyrik, bersolat sunat Aidiladha, dan juga berpuasa.
Bagi tarikh 1 hingga 7 Zuhijjah (22 hingga 28 Julai 2020), bacaan niat berpuasa adalah seperti berikut:
نويت صوم شهر ذى الحجة سنة لله تعالى
NAWAITU SHAUMA SYAHRI DZIL HIJJATI SUNNATAN LILLAHI TA’ALA
Maksudnya: Sahaja aku puasa sunat di bulan Zulhijjah kerana Allah Taala
Bagi tarikh 8 Zulhijjah (29 July 2020), iaitu Hari Tarwiyah, bacaan niat berpuasa adalah seperti berikut:
نويت صوم التروية سنة لله تعالى
NAWAITU SHAUMA AL TARWIYATA SUNNATAN LILLAHI TA’ALA
Maksudnya: Sahaja aku puasa sunat Hari Tarwiyah kerana Allah Taala
Bagi tarikh 9 Zulhijjah (30 July 2020), iaitu Hari Arafah, bacaan niat berpuasa adalah seperti berikut:
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ سُنَّةِ يَوْمِ عَرَفَةَ لِلهِ تَعَالَى
NAWAITU SHAUMA GHADIN ‘AN ADA’I SUNNATI ARAFAH LILLAHI TA‘ALA
Maksudnya: Sahaja aku puasa sunat Hari Arafah kerana Allah Taala
Hari Raya Aidiladha iaitu 10 Zulhijjah jatuh pada 31 Julai 2020 manakala hari-hari Tasyrik adalah pada 11, 12, dan 13 Zulhijjah (1,2, dan 3 Ogos). Diharamkan berpuasa pada tarikh-tarikh tersebut.
Kehebatan Hari Arafah
Hari Arafah ialah sebuah perayaan Islam yang berlaku pada 9 Zulhijah dalam kalendar Hijrah Islam. Hari ini merupakan hari kedua dalam ibadah Haji. Pada hari ini, para jemaah pergi ke Gunung Arafah dari Mina serta padang Arafah.
Pada tahun terakhir kehidupannya Nabi Muhammad SAW telah memberikan khutbah-khutbah terakhirnya di gunung ini. Di Arafah inilah, Baginda telah menyampaikan khutbah wada’ atau khutbah perpisahan. Ia digelar ‘perpisahan’ kerana tidak lama setelah menyampaikan khutbah tersebut, Baginda pun wafat.
Dalam kalangan umat Islam, dikatakan bahawa ayat-ayat Al-Qur’an berkenaan kesempurnaan ajaran Islam telah diturunkan di sini.
Selain itu, Hari Arafah turut digelar sebagai hari penyaksian kerana pada hari tersebut, Allah mengambil perjanjian setia daripada zuriat Nabi Adam.
Arafah dikenali sebagai tempat berdoa paling mustajab dan di situlah Nabi Muhammad SAW mengambil masa yang sangat lama untuk berdoa. Telah diriwayatkan bahawa pada Hari Arafah adalah waktu doa yang paling mustajab dan dekat untuk dimakbulkan.
Daripada Abdullah bin ‘Amr, bahawa Nabi SAW bersabda:
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ
Maksudnya: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah”. [Riwayat al-Tirmizi]
Hari Arafah juga adalah hari pelepasan dari api neraka kerana pada hari ini, keampunan dari Allah terbuka luas.
Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ
Maksudnya: “Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada hari Arafah”. [Riwayat Muslim]
Ibadah wukuf di padang Arafah simbolik dengan peristiwa di mana Nabi Adam dan Hawa telah diturunkan ke bumi dari syurga setelah terpedaya dengan tipu daya Iblis. Mereka memohon ampun daripada Allah selama bertahun-tahun dan akhirnya berjumpa semula di Jabar Rahmah selepas 40 tahun terpisah.