Tahun 2021 bakal menjelma tidak lama lagi. Perkembangan ini sudah pasti membuatkan ramai orang yang mahu membuka lembaran baharu dan seterusnya meninggalkan sebarang memori pahit pada tahun ini.
Pada zaman 1990-an dulu rakyat Malaysia mengaitkan tahun 2020 dengan Wawasan 2020 yang serba indah dan hebat, tetapi sebaliknya pula yang berlaku. Tahun ini akan sentiasa dikenang pada masa hadapan sebagai tahun pandemik yang menyebabkan norma baharu dan kemelesetan ekonomi.
Krisis ekonomi yang melanda dunia pada masa kini dianggap sebagai yang terburuk sejak ‘The Great Depression’ pada 1930-an. Kesannya dapat dilihat dengan jelas melalui pasaran saham yang jatuh merudum, kadar pengangguran yang melonjak ke paras tertinggi (yang kali terakhir dilihat pada era 1900-an), dan beribu-ribu lagi perniagaan yang terpaksa menutup operasi mereka.
Buat rakyat biasa pula, kesannya dapat dilihat pada langkah-langkah sekatan pergerakan dan aktiviti yang merubah kehidupan kita. Di Malaysia, sekatan yang dilaksanakan seawal bulan Mac lalu masih belum berakhir walaupun kita sudah berada dalam bulan Disember.
Perkembangan perlahan ekonomi Malaysia
Di Malaysia, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac lalu telah memberi kesan yang besar terhadap ekonomi tempatan. Pada suku pertama tahun 2020, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara mencatatkan pertumbuhan 0.7% sahaja berbanding 4.5% pada suku pertama tahun 2019.
Pada suku kedua tahun 2020 pula, KDNK telah menguncup sehingga 17.1%, iaitu prestasi terburuk sejak krisis kewangan Asia pada tahun 1998. Selain itu, lebih 30,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah ditutup sejak PKP dikuatkuasakan pada bulan Mac yang lalu.
Beli barangan Malaysia akan bantu pulih ekonomi
Usaha memulihkan ekonomi Malaysia perlu dijayakan oleh semua warga Malaysia. Di antara langkah yang berkesan adalah dengan cara membeli barangan buatan tempatan. Menyedari hakikat itu, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang merancakkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).
Langkah ini adalah bertujuan bagi merangsang dan merancakkan pertumbuhan ekonomi domestik, sekaligus meningkatkan kesedaran pengguna mengenai kewujudan produk tempatan dan menggalakkan pembelian.
KBBM ini diharap dapat membantu pengusaha tempatan terutama PKS untuk mengembangkan perniagaan mereka. Berdasarkan data terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, sumbangan PKS kepada keseluruhan KDNK telah meningkat kepada 38.9% pada tahun 2019 berbanding 38.3% yang dicatatkan pada tahun 2018.
Selain itu, pembelian barangan buatan Malaysia boleh menggalakkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Ini penting kerana mengikut statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setakat 28 Oktober lalu, seramai 90,470 orang telah hilang pekerjaan pada tahun ini.
Ayuh, mari kita beli barangan Malaysia!
Menurut KPDNHEP, definisi ‘Barangan Malaysia’ adalah “produk mestilah dikilangkan di Malaysia dan mengandungi sekurang-kurangnya 51% bahan atau kandungan tempatan dan produk-produk yang dikeluarkan hendaklah melibatkan aktiviti proses pengilangan (manufacturing activity)”.
KBBM menghimpunkan pelbagai sektor di negara ini terutama yang dikawal selia KPDNHEP seperti sektor perdagangan dan peruncitan serta perdagangan dalam negeri.
Antara segmen produk dan perkhidmatan buatan tempatan yang diberikan penekanan di sektor peruncitan adalah fesyen dan pakaian; perabot dan kelengkapan rumah serta perkakasan elektrik. Ia termasuk produk berkaitan automotif; kraftangan dan hasil seni; makanan dan minuman; komunikasi dan gajet serta kesihatan dan kecantikan.
Semenjak KBBM dilaksanakan, sebanyak 241,900 unit simpanan stok (SKU) produk tempatan telah dipasarkan di pelbagai platform beli-belah berbanding hanya 160,648 SKU sebelum ini.
Pemasaran produk tempatan itu adalah hasil kerjasama strategik yang dijalinkan dengan pemain sektor peruncitan yang terdiri daripada pasaraya dan kedai serbaneka termasuk di stesen minyak bagi mengenal pasti produk tempatan yang berpotensi.
Pasaraya seperti Mydin, Aeon, Tesco dan Giant serta peruncit telah memasarkan produk buatan tempatan berpotensi dan berkualiti untuk dipromosikan melalui gegantung dan rak khas bagi menempatkan produk buatan tempatan.
Kolaborasi tersebut berjaya menjana nilai jualan berjumlah RM1.621 bilion pada suku ketiga tahun ini yang merupakan peningkatan sebanyak RM28 juta berbanding RM1.593 bilion untuk tempoh yang sama pada tahun lepas.
Selain itu, menjalinkan kolaborasi dengan tiga platform e-dagang iaitu Shopee, Lazada dan PG Mall pada tahun ini sebagai medium mempromosikan barangan buatan Malaysia sekaligus membantu industri kecil dan sederhana.
Hasilnya, nilai jualan produk tempatan melalui ketiga-tiga platform tersebut telah mencecah RM43.5 juta dengan 71,877 SKU pada suku ketiga tahun ini, berbanding hanya RM7.4 juta nilai jualan dengan 15,399 SKU pada suku tahun pertama.
Jadi, sebagai pengguna marilah kita rakyat Malaysia bersatu-padu dalam meningkatkan ekonomi negara yang meleset disebabkan oleh pandemik Covid-19!
Jika anda antara yang terkesan dengan pandemik ini dan memerlukan bantuan kewangan, As-Sidq mungkin penyelesaiannya. As-Sidq membantu anda dengan memadankan anda dengan tawaran kewangan yang patuh syariah berdasarkan kelayakan dan kriteria anda. Jom padankan sekarang!