Dikemas kini 21 July 2020.
Tahap literasi kewangan di kalangan rakyat Malaysia masih berada pada tahap yang amat rendah. Malahan, statistik menunjukan bahawa 75% penduduk tempatan tidak mampu menyediakan RM1,000 sekiranya berlaku kecemasan.
Maka, tidak menghairankan apabila kerajaan bertindak melancarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 tahun lalu. Pelan nasional ini bertujuan untuk melengkapkan rakyat Malaysia dengan pengetahuan untuk membuat keputusan kewangan bermaklumat. Selain itu, ia diharap dapat membantu setiap individu untuk memupuk amalan sihat dalam pengurusan kewangan.
Pengetahuan mengenai pengurusan kewangan ini sememangnya patut dipupuk semenjak usia yang muda lagi. Tetapi bagaimana pula sekiranya anda tergolong dikalangan yang sudah berkerja dan mempunyai beban hutang yang tinggi? Mengikut perangkaan terkini, tahap hutang isi rumah di Malaysia berada pada kadar 83.2% Lebih membimbangkan, setakat bulan Ogos 2019 sahaja, seramai 300,908 rakyat Malaysia telah diishtiharkan sebagai muflis.
Apakah strategi yang boleh diambil bagi menyelesaikan hutang?
Selain perbelanjaan yang lebih berhemah dan penyediaan belanjawan bulanan, terdapat tiga kaedah yang seringkali digunakan untuk menyelesaikan hutang. Kaedah-kaedah tersebut adalah:
- STRATEGI BEBOLA SALJI (SNOWBALL) — anda perlu menyenaraikan dan menyusun semua akaun hutang anda mengikut jumlah yang paling kecil sehingga yang paling besar. Tumpuan untuk pelangsaian hutang hendaklah diberikan kepada akaun dengan jumlah hutang yang paling kecil. Akaun-akaun yang selebihnya pula hanya akan dibayar amaun yang minimum sahaja.
- STRATEGI PENYUSUNAN HUTANG (DEBT STACKING) — anda perlu menyenaraikan dan menyusun semula hutang mengikut kadar faedah. Hutang yang mempunyai kadar faedah tertinggi perlu diberikan tumpuan untuk dilangsaikan terlebih dahulu.
- STRATEGI PENYATUAN HUTANG (DEBT CONSOLIDATION) — anda menyatukan semua hutang ke dalam satu pinjaman yang baru.
Hutang baru untuk selesaikan hutang lama? Biar betul!
Baca juga: Tips Untuk Bertahan Ketika Kemelesetan Ekonomi Berlaku
Mungkin anda rasa pelik dengan kaedah yang ketiga iaitu strategi penyatuan hutang. Anda tertanya, “Mengapa perlu buat hutang baru untuk selesaikan hutang lama? Bukan kah itu menambah hutang dan makin memburukkan keadaan?”
Sebenarnya, tidak semua hutang adalah buruk. Malahan, adakalanya, hutang itu mampu menguntungkan anda. Seperti yang dinyatakan di atas, kaedah penyatuan hutang akan menyatukan kesemua akaun hutang anda ke dalam satu akaun yang baru. Lazimnya, akaun baru ini memerlukan anda membuat pembiayaan kewangan yang baru. Konsep yang sama juga boleh diaplikasikan sekiranaya anda mempunyai lebih dari satu hutang kad kredit.
Akaun hutang anda yang lama mungkin mempunyai kadar faedah (interest) yang berbeza-beza. Malahan, ada kemungkinan kadar tersebut adalah tinggi. Anda boleh memohon pembiayaan kewangan baru dengan kadar faedah yang lebih rendah dan menggunakannya untuk melangsaikan hutang yang sedia ada. Dengan kaedah penyatuaan hutang ini, anda akan membayar balik jumlah yang sama dengan hutang yang terdahulu tetapi dengan satu kadar faedah yang rendah.
Kelebihan berganda sekiranya kesemua akaun hutang anda sebelum ini merupakan pinjaman konvensional. Ini kerana pembiayaan kewangan Islam mempunyai banyak kelebihan berbanding pinjaman konvensional. Di antara kelebihan tersebut adalah:
- Bebas dari unsur riba
- Caj bayaran lewat yang lebih rendah
- Amaun bayaran yang jelas dan tetap
- Rebat untuk penyelesaian awal
- Perlindungan insurans Takaful
Siapakah yang mendapat manfaat daripada melakukan penyatuan hutang ini?
- Individu yang terbeban dengan bayaran bulanan ansuran untuk pinjaman seperti kad kredit, peribadi dan lain-lain.
- Individu yang ingin mengurangkan bayaran ansuran bulanan.
- Individu yang sering terlepas bayaran ansuran bulanan kepada beberapa buah bank yang berbeza.
Kesemua individu seperti diatas boleh melakukan teknik penyatuan hutang ini bagi memastikan mereka berada dalam keadaan pengurusan kewangan yang baik serta boleh mendapat penjimatan.
Bilakah anda patut pertimbangkan penyatuan hutang?
Terdapat beberapa petanda bagi menunjukkan waktu yang wajar untuk anda pertimbangkan penyatuan hutang. Petanda yang paling jelas adalah apabila anda terlepas bayaran balik kad kredit atau pinjaman lain pada tarikh yang ditetapkan. Baki pinjaman anda akan bertambah disebabkan kompaun atau denda yang berpunca daripada kelewatan dalam membuat bayaran.
Tindakan ini akan meningkatkan risiko penggantungan kad kredit dan mencemarkan nilai kredit anda. Selain itu, kuasa beli anda turut terjejas dan anda akan dibebani hutang yang banyak.
Penyatuan hutang adalah cara untuk melindungi dan mengekalkan nilai kredit yang baik. Anda diberi peluang untuk menebus semula nilai kredit jika anda boleh membuat bayaran tepat pada masanya.
Baca juga: Panduan Pengurusan Kewangan Dalam Normal Baharu
Sebelum memohon pembiayaan penyatuan hutang, lakukan usaha wajar ke atas diri sendiri
Tidak dapat dinafikan bahawa anda akan merasa cemas apabila berdepan dengan situasi sebegini. Namun begitu, anda perlu cuba bertenang dan berikan tumpuan sepenuhnya. Sudahkah anda nilai situasi kewangan dengan jelas dan cuba segala cara untuk menyelesaikannya? Ambil masa untuk mengkaji aliran tunai yang betul sebelum membuat keputusan untuk menyatukan hutang.
Ada masanya, apa yang anda perlu lakukan hanyalah baiki perancangan kewangan. Ubah ataupun lakukan pembaharuan perancangan kewangan dengan menyenaraikan kesemua aliran keluar masuk wang anda. Hapus atau kurangkan perbelanjaan anda terhadap beberapa perkara dan peruntukkan lebihan wang tersebut untuk membuat bayaran pinjaman.
Selepas menjalankan penilaian menyeluruh dan anda masih mendapati tiada ruang untuk memperoleh peruntukan untuk membayar pinjaman, barulah anda boleh beralih kepada penyatuan hutang.
Bagaimana anda mahu lakukan penyatuan hutang ini?
Langkah 1: Semak baki hutang dan jumlahkannya
Perkara pertama anda perlu lakukan adalah dengan menyemak semula hutang anda dari segi jumlah baki tertunggak, jumlah ansuran bulanan dan kadar faedah semasa. Jika anda tidak pasti jumlah baki tertunggak, anda boleh dapatkan maklumat tersebut dari pihak bank yang anda buat pinjaman.
Contoh dibawah menunjukkan dua jenis pinjaman iaitu pinjaman peribadi dan kad kredit.
Pinjaman peribadi – RM10,000 : RM300 sebulan @ 12% kadar faedah
Kad kredit – RM15,000 : RM550 sebulan @ 15% kadar faedah
Jumlah baki hutang keseluruhan = RM25,000 : RM850 sebulan
Jumlah baki hutang dan bayaran ansuran tersebut menunjukkan jumlah hutang baru yang bakal anda ambil untuk melakukan penyatuan hutang.
Langkah 2: Pilih produk baru
Langkah seterusnya adalah dengan memilih produk baru seperti pembiayaan peribadi pathu Syariah. Pilih produk yang boleh memberi pinjaman yang sama iaitu RM25,000 dengan bayaran ansuran bulanan lebih rendah dari RM850 sebulan.
Pastikan juga anda memilih pembiayaan baru yang memberikan kadar yang lebih rendah dari pinjaman sedia ada bagi memastikan anda mendapat keuntungan.
Langkah 3: Mohon dengan bank atau institusi kewangan lain
Selepas selesai membuat perbandingan produk, anda boleh terus mohon produk tersebut melalui online sahaja. Jika permohonan anda berjaya diluluskan, anda boleh membayar hanya satu pinjaman sahaja dengan bayaran ansuran bulanan yang lebih rendah.
Selepas ini, anda tidak perlu risau lagi tentang bayaran ansuran bulanan yang tinggi.
Kesimpulannya, pembiayaan peribadi juga mampu menyelesaikan masalah hutang yang berlebihan serta mengurus kewangan anda dengan baik.