Walaupun ada golongan yang melihatnya dari sudut yang negatif, bank dan institusi kewangan sebenarnya mempunyai banyak peranan yang penting bagi kita semua. Selain menjadi pemacu pembangunan ekonomi negara, ia juga menawarkan banyak perkhidmatan yang bermanfaat bagi seluruh masyarakat.
Bagaimanapun, di antara kerisauan yang ditimbulkan oleh orang ramai, terutamanya masyarakat beragama Islam, ialah status perkhidmatan ini di sisi agama. Di sinilah peranan perbankan Islamik memainkan peranan yang penting. Ia telah berjaya menangkis pandangan negatif terhadap institusi kewangan sehinggakan menjadi pilihan semakin ramai golongan non-Muslim.
Sepertimana yang telah diperincikan di dalam artikel lain di sini, perbankan Islam mempunyai banyak kelebihan. Di antaranya adalah:
- Lebih adil dan terlindung dari risiko yang keterlaluan
- Lebih terlindung dari krisis
- Amaun bayaran yang jelas dan tetap
- Caj bayaran lewat yang lebih rendah
Di antara produk perbankan yang semakin mendapat perhatian pula adalah kad kredit. Dengan perkembangan pesat industri kewangan Islamik, sudah tentulah terdapat kad kredit yang patuh syariah sebagai pilihan kepada pelanggan.
Apa bezanya kad kredit Islamik?
Perkhidmatan yang juga dikenali di Malaysia sebagai Kad Kredit-I ini mempunyai fungsi asas yang sama dengan kad kredit konvensional. Bagaimanapun, terdapat beberapa perbezaan pada ciri-ciri yang ditawarkan. Di antaranya adalah:
- TIADA RIBA (FAEDAH) – Tiada sebarang unsur riba. Sebaliknya, caj keuntungan akan dikenakan. Ini akan diterangkan dengan lebih lanjut di bawah.
- TIADA FAEDAH KOMPAUN – Caj bayaran lewat yang dikenakan hanyalah kepada baki amaun pembiayaan. Kad kredit konvensional pula mengamalkan konsep faedah kompaun, iaitu faedah ke atas faedah.
- REBAT PEMBAYARAN AWAL – Kebiasaannya, kad kredit konvensional tiada fungsi ini.
- PENAPISAN TRANSAKSI – Fungsi istimewa yang ditawarkan oleh Kad Kredit-i. Ini akan diterangkan dengan lebih lanjut di bawah.
- PERLINDUNGAN TAKAFUL – Fungsi istimewa yang ditawarkan oleh Kad Kredit-i
- BAYARAN ZAKAT – Fungsi istimewa yang ditawarkan oleh Kad Kredit-i
Selain itu, terdapat beberapa elemen penting yang perlu dipatuhi oleh Kad Kredit-i. Konsep inilah yang menjadi perbezaan utama di antara Kad Kredit-I dan kad kredit konvensional. Ciri-ciri patuh syariah yang perlu dipenuhi oleh sesuatu produk Islamik adalah ia mesti bebas dari sebarang unsur riba, gharar, maysir, dan zulm.
Riba biasanya diterjemahkan sebagai “faedah” iaitu amaun lebihan yang dicajkan ke atas sebarang transaksi urusniaga. Sebaliknya, Kad Kredit-I mengenakan “caj keuntungan”, iaitu bayaran untuk perkhidmatan mereka. Caj ini hanya dikenakan sekiranya ada jumlah tertunggak yang tidak dibayar dalam tempoh yang ditentukan.
Gharar bermaksud sebarang unsur syak, keraguan, ketidaktentuaan, atau ketidak jelasan. Maysir bermaksud perjudian manakala zulm pula adalah sebarang bentuk penindasan atau kegiatan yang tidak beretika.
Di sinilah sistem penapisan transaksi yang ada khusus pada Kad Kredit-I memainkan peranannya. Ia akan memastikan bahawa kad kredit tersebut tidak boleh digunakan untuk sebarang jenis transaksi yang tidak dibenarkan Islam seperti pembelian alkohol, perjudian, atau sebarang aktiviti yang menepati hokum syariah. Dengan ini, unsur-unsur gharar, maysir, dan zulm dapat dielakkan.
Tawarruq
Konsep ini merujuk kepada transaksi pembelian barangan (komoditi) secara pembayaran tangguh. Pembelian ini boleh dilakukan sama ada secara Murabahah (harga kos aset ditambah dengan margin keuntungan) ataupun Musawamah (jual beli yang tidak mendedahkan harga kos aset dan margin keuntungan). Barangan tersebut kemudiannya akan dijual secara tunai kepada pihak ketiga (selain daripada penjual asal) bagi mendapatkan tunai.
Secara mudahnya, konsep Tawarruq adalah pemindahan pemilikan sesuatu aset dari penjual kepada pembeli. Ia berlaku apabila pembeli meminjam wang tunai yang diperlukan daripada bank untuk membuat pembelian awal.
Apabila bank memberikan bantuan kepada pelanggan untuk membuat pembelian melalui kemudahan Kad Kredit-I, ia menggunakan konsep Tawarruq untuk menyediakan perkhidmatan tersebut. Seterusnya, bagi melengkapkan transaksi, pelanggan perlu membayar caj keuntungan bagi bantuan yang telah disediakan oleh bank tersebut.
Pembiayaan kewangan yang benar-benar halal
Maka, sekiranya anda memerlukan bantuan kewangan, pembiayaan Islamik adalah pilihan yang terbaik. Kini, proses permohonan juga sudah menjadi lebih mudah dengan kewujudan platform digital pembiayaan peribadi Islamik Malaysia iaitu Assidq.com. Ia diuruskan oleh Sedania As Salam Capital Sdn Bhd, (anak syarikat Sedania Innovator Berhad), yang mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi kewangan (FinTech) di Malaysia sejak 2009. Sedania As Salam telah menghasilkan produk ASSIDQ, produk digital pertama didunia patuh Syariah untuk pembiayaan peribadi Islamik.