Menurut sebuah laporan oleh The Malaysian Reserve, seramai 95,000 individu di Malaysia telah diisytiharkan muflis di antara tahun 2014 hingga 2018, dengan 9.91% daripadanya disebabkan oleh penggunaan kad kredit yang tidak terkawal.
Walaupun had kad kredit anda tinggi, ia tak bermakna anda boleh berbelanja sesuka hati. Tak kira apa jua jenis kad kredit yang anda pegang, terdapat beberapa situasi tertentu di mana anda tidak seharusnya menggunakan kad kredit bagi mengelakkan bebanan hutang yang tidak diingini.
Elakkan daripada menggunakan kad kredit pada waktu-waktu berikut:
- Bila anda sedang kelaparan
Ketika berpuasa, ramai di antara kita yang membeli pelbagai makanan melebihi yang sepatutnya sehingga menyebabkan pembaziran. Ini kerana ketika sedang lapar, kita mudah hilang arah sebab terlalu menurutkan nafsu yang sedang membuak.
Dalam hal penggunaan kad kredit pula, konsepnya juga lebih kurang sama: jangan gunakan kad kredit ketika anda sedang kelaparan kerana ia akan mempengaruhi pertimbangan anda. - Bila anda sedang mengalami tekanan perasaan
Sama seperti ketika anda lapar, tekanan perasaan yang dialami juga boleh mempengaruhi pertimbangan anda dalam membuat pembelian yang cermat. Ramai yang menyalahgunakan kad kredit untuk menggembirakan hati yang sedang berduka sehingga melebihi had kredit yang berakhir dengan penyesalan dan hutang yang menimbun.
Membeli-belah ketika anda sedang tertekan hanya boleh menggembirakan anda untuk sementara, dan ia bukan jalan penyelesaian yang baik. Kalau anda berniat untuk meningkatkan had kredit anda, ia bukanlah tindakan yang wajar pada saat ini.
Jika anda sedang mengalami kemurungan dan tekanan perasaan yang hebat, cuba dapatkan kaunseling atau rawatan kesihatan mental di klinik kesihatan kerajaan yang berdekatan, contohnya di MENTARI, di mana yurannya adalah murah (RM1 bagi pendaftaran dan RM5 bagi setiap sesi konsultasi).
Selain itu, anda juga boleh melakukan aktiviti-aktiviti seperti berkebun, berlari, berbasikal, beriadah, atau apa saja aktiviti yang boleh meningkatkan kesihatan mental anda. - Bila anda mempunyai banyak hutang yang masih belum diselesaikan
Membuat pembelian yang baru dengan kad kredit apabila hutang-hutang yang lama masih belum dibayar hanya akan menambah jumlah hutang anda.
Jika anda tak tahu berapa jumlah hutang yang anda ada, cepat lihat penyata kad kredit anda dan kira hutang tertunggak yang ada. Jangan beli apa-apa dengan kad kredit sehinggalah anda bayar hutang tertunggak tersebut. - Bila anda sedang dalam proses memohon pembiayaan perumahan
Bank selalunya tidak berpihak kepada pemohon pembiayaan perumahan yang mempunyai hutang kad kredit yang banyak, kerana mereka berpandangan bahawa golongan ini tidak mampu dalam membuat pembayaran balik.
Jika anda bercadang ingin membuat pembelian jumlah besar dengan kad kredit, anda disarankan untuk menangguhkan dulu hasrat tersebut sehinggalah proses permohonan selesai.
Anda juga disarankan untuk menunggu beberapa bulan sebelum membuat pembelian besar dengan kad kredit agar anda mempunyai masa untuk menyesuaikan diri dalam menguruskan pelbagai jenis hutang yang ada. - Bila anda tidak tahu jumlah kredit yang tinggal di dalam kad
Anda berisiko mendapatkan kadar faedah yang lebih tinggi jika terlebih had kredit yang ditetapkan. Bukan itu saja, ia juga boleh memberi kesan negatif terhadap skor kredit anda. Jadi, pastikan anda tahu berapa jumlah kredit yang tinggal di dalam kad sebelum anda menggunakannya. - Bila anda tak mampu nak bayar balik
Kalau anda tak mampu nak beli sesuatu barang atau servis dengan wang tunai, ia bermakna anda juga tak mampu membelinya dengan kad kredit. Jika anda meneruskan pembelian yang anda tak mampu nak bayar balik, anda bakal berhadapan dengan risiko seperti jatuh muflis dalam jangka panjang.
Dalam menggunakan kad kredit, elakkan daripada terlalu mengikut emosi dan nafsu. Anggaplah kad kredit sebagai pembantu ketika dalam kecemasan saja. Sekiranya anda telah terjebak dalam bebanan hutang yang tinggi, anda boleh mendapatkan kaunseling dan nasihat kewangan secara percuma di Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK), yang turut menawarkan program pengurusan hutang.