Setakat 10 September, seramai 79,737 orang Malaysia telah kehilangan kerja bagi tahun 2020 menurut statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang dilaporkan Berita Harian.
Pandemik Covid-19 yang melanda negara pada awal tahun ini telah menyebabkan kadar pengangguran meningkat kepada 3.9% pada bulan Mac lalu berbanding 3.3% pada bulan Februari. Kadar ini terus meningkat pada bulan April (5.0%) dan Mei (5.3%).
Kadar pengangguran menunjukkan penurunan iaitu sebanyak 4.9% pada bulan Jun apabila fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula dengan kebanyakan sektor ekonomi negara dibuka semula.
Menurut data pengangguran oleh Jabatan Perangkaan, berikut ialah beberapa pekerjaan di bawah tiga industri utama yang paling terkesan akibat pandemik Covid-19:
- Pekerja perikanan, pertanian dan perladangan (industri pertanian)
Industri pertanian menunjukkan sebanyak 21.9% pekerja telah kehilangan kerja, dengan pekerja perikanan mengalami kesan yang terbesar pada kadar 33%.
Golongan kedua tertinggi yang kehilangan kerja dalam industri ini ialah pekerja pertanian dan perladangan, iaitu 21.1%. Ini diikuti oleh pekerja kebun (19.8%) dan perhutanan dan pembalakan (11.8%). - Pekerja seni & hiburan, makanan, pengangkutan & penyimpanan, dan penginapan (industri perkhidmatan)
Sebanyak 15% pekerja industri perkhidmatan telah hilang kerja, dengan 38% daripadanya merupakan pekerja seni & hiburan, diikuti dengan pekerja perkhidmatan makanan (35.4%), pekerja pengangkutan & penyimpanan (18.7%) serta pekerja penginapan (14.6%). - Pekerja pembinaan, perlombongan dan penggalian (perindustrian)
Bagi perindustrian pula, sebanyak 6.7% pekerja telah hilang kerja, dengan 11.8% daripadanya merupakan pekerja pembinaan.
Ini diikuti dengan pekerja perlombongan dan penggalian (6.8%); pekerja bekalan air, pembetungan, pengurusan sisa pepejal dan aktiviti pemulihan (5.5%); pekerja bekalan elektrik, gas, wap dan penghawa dingin (5.3%), dan pekerja pembuatan (4.2%).
Data tersebut menunjukkan bahawa apa sahaja aktiviti kerja yang tidak boleh dilakukan dalam talian atau harus dijalankan secara bersemuka dan hadir di lokasi kerja telah mengalami kesan yang besar.
Golongan berpendapatan rendah, wanita dan kanak-kanak adalah individu yang paling terjejas di Malaysia – UNICEF dan UNFPA
Selain daripada pekerja-pekerja dalam tiga industri yang dinyatakan, golongan berpendapatan rendah, wanita dan kanak-kanak adalah individu yang paling terjejas di Malaysia akibat pandemik Covid-19.
Dalam laporan Families on the Edge – Siri Ogos 2020 yang dikeluarkan UNICEF dan UNFPA, yang melibatkan 500 ketua isi rumah serta temu bual dengan 30 responden dengan majoriti wanita sebagai ketua keluarga, didapati bahawa 25% ketua isi rumah menganggur (bagi kategori keluarga berpendapatan rendah di Kuala Lumpur), berbanding 5.3% pada Mei 2020.
Sebanyak 17% daripada mereka hanya mempunyai simpanan selama satu bulan, manakala 52% pula tidak mempunyai perlindungan KWSP atau PERKESO. Bagi ketua isi rumah wanita pula, sebanyak 32% menganggur kerana dibuang kerja, dengan 57% daripada mereka tidak dilindungi KWSP atau PERKESO.
Ini sekaligus mengurangkan pengambilan makanan yang berkualiti oleh kanak-kanak dalam isi keluarga ini, dengan 40% daripada mereka memakan lebih banyak mi segera. Akses kepada pendidikan yang berkualiti turut terjejas, dengan 42% tidak mempunyai peralatan bagi e-pembelajaran.
Apa yang boleh anda lakukan jika anda termasuk dalam golongan-golongan ini?
Jika anda terjejas akibat pandemik Covid-19 dan sedang menghadapi kesukaran, berikut adalah empat tindakan yang boleh dibuat:
1.Dapatkan bantuan khas yang berkenaan
Di laman web rasmi PENJANA, anda boleh dapati senarai lengkap inisiatif kerajaan bagi membantu semua rakyat Malaysia dan perniagaan yang terjejas. Antara bantuan yang berkenaan dengan situasi anda ialah:
- i-9 Bantuan Sosial bagi Golongan Mudah Terjejas – Bantuan Ibu Tunggal
- i-11 Perkhidmatan Internet untuk Pembelajaran dan Peningkatan Produktiviti
- i-8 Subsidi Pengangkutan Awam MY30
- i-10 Skim Kesihatan PEKA B40
- i-5 Perlindungan Sosial dan Latihan bagi Pekerja Ekonomi Gig
2. Dapatkan bantuan profesional dalam mencari kerja
Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama PERKESO menawarkan Program Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya), dan salah satu usahanya ialah mewujudkan portal pekerjaan dan perkhidmatan pekerjaan, iaitu MYFutureJobs. Portal pekerjaan yang mengikut standard OECD ini merangkumi pelbagai perkhidmatan percuma, termasuk:
- Penempatan pekerjaan
- Kaunseling kerjaya
- Kaunseling secara mendalam bagi golongan yang mengalami kesulitan
- Bantuan mobiliti
- Bantuan kewangan untuk kehilangan pekerjaan
- Program pasaran buruh aktif
3. Uruskan segala hutang yang ada
Dengan tempoh moratorium yang semakin hampir dengan tarikh tamatnya, pasti ramai di antara kita yang resah untuk membayar semula hutang yang ada, terutamanya mereka yang masih mengganggur.
Bagi golongan tidak berkemampuan, bank akan menghubungi pelanggan untuk mengesahkan status lanjutan moratorium mereka. Anda juga boleh hadir ke hari terbuka yang dianjurkan bank-bank seperti CIMB, Bank Rakyat, dan RHB Bank untuk berbincang mengenai status lanjutan moratorium anda. Hubungi bank anda untuk maklumat lanjut.
Selain itu, anda juga boleh mendapatkan kaunseling kewangan secara percuma dengan AKPK untuk menguruskan segala hutang anda dengan lebih cekap. Ini membantu dalam meringankan beban kewangan anda.
4. Uruskan kewangan anda dengan bijak
Antara tindakan yang boleh anda lakukan ialah:
- Guna pelan telefon yang murah dan menawarkan insurans hayat percuma, seperti Digi Abadi yang serendah RM20/sebulan. Bukan saja anda boleh jimat bil telefon, tetapi juga mendapatkan perlindungan nyawa yang amat penting secara percuma.
- Membeli barangan keperluan mengikut bajet yang ditetapkan.
- Potong langganan/elakkan pembelian yang tidak perlu.