Suatu ketika dahulu, sekiranya kanak-kanak ditanya mengenai cita-cita mereka, jawapan yang sering diberikan adalah seperti cikgu, polis, askar, dan doktor. Namun kini, jangan terkejut apabila anda mengajukan soalan yang sama kepada kanak-kanak generasi kini dan menerima jawapan seperti: “Saya mahu jadi instafamous!”
Pasti ramai yang ketawa mahupun menggelengkan kepala mendengar jawapan tadi. Namun, seandainya anda membuat kajian lanjut, pandangan anda mungkin akan berubah. Inilah realiti masa kini di mana sumber pendapatan yan kukuh mampu dijana secara dalam talian. Inilah perubahan yang dikenali sebagai ekonomi digital.
Influencer dan menjana pendapatan melalui media sosial
Influencer ataupun instafomous adalah istilah yang sering digunakan untuk merujuk kepada seseorang yang mempunyai pengaruh yang kuat di media sosial. Mereka merangkumi selebriti, tokoh, blogger, YouTuber, dan lain-lain lagi.
Umumnya, seorang influencer memiliki pengikut (follower) dalam jumlah yang banyak di media sosial. Lantaran itu, mereka mampu memggunakan pengaruh mereka itu bagi mempromosikan produk dan bisness, baik yang milik sendiri mahupun orang lain.
Golongan ini mempunyai jenama persendirian yang kukuh dan lantaran itu mampu menjana pendapatan yang lumayan. Ini dapat dilihat melaui laporan agensi pemasaran Silver Mouse mengenai hasil yang diperolehi para YouTuber tempatan.
Berikut adalah jumlah pendapatan sebulan bagi beberapa pengguna media sosial tersebut:
- Alieff Irfan: US$22,230 (kira-kira RM92,321)
- Aiman 97: US$15,000 (RM62,295)
- Nur Amira Syahira: US$8,600 (RM35,715)
- Syahmi Sazli: US$4,700 (RM19,519)
Ingin mengetahui secara lebih terperinci bagaimana mereka membuat duit? Pastikan anda melayari artikel kami di sini.
Tidak cukup setakat itu, menurut laporan Metro Ahad, terdapat beberapa selebriti TikTok di Malaysia yang berjaya menjana pendapatan di antara RM4,000 hingga RM10,000 sebulan. Bagaiman mereka boleh menjana pendapatan lumayan sedemikian? Jawapannya ada di artikel kami di sini.
Perniagaan dalam talian dan ekonomi digital
Perkembangan teknologi digital telah melonjakkan ekonomi digital. Selain itu, norma baharu ini bukan sahaja telah meninggalkan kesan mendalam terhadap kehidupan manusia, tetapi juga cara perniagaan dijalankan. Perniagaan dan ekonomi digital bukan sahaja memastikan survival perniagaan tetapi membuka peluang untuk mendapat keuntungan yang lumayan.
Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), ekonomi digital adalah merujuk kepada ekonomi berdasarkan penggunaan teknologi digital.
Sebarang transaksi perdagangan yang dijalankan menerusi teknologi digital, termasuk aktiviti pemberian maklumat promosi dan pengiklanan, pemasaran, pembekalan / penghantaran barangan / perkhidmatan, meskipun pembayaran dan penghantaran berkaitan transaksi ini mungkin dijalankan di luar talian.
Contoh perniagaan dalam talian adalah seperti berikut:
SEKTOR | PENERANGAN PERNIAGAAN | ALIRAN AKTIVITI |
Peruncitan | Dropship, ejen, stokis dan lain-lain. | Mengambil pesanan, pembungkusan, menerima pembayaran, penghantaran. |
Pengangkutan & Logistik | Servis Penghantaran, Sewa Kereta, Tempahan Tiket dalam talian dan lain. | Perkhidmatan, pembayaran, insurans, penghantaran. |
Perkhidmatan Kewangan | Bank, Gerbang Bayaran, Matawang Crypto, kad Kredit, Kad Debit, Kad Loyalty, Kad Keahlian dan lain-lain. | Pengesahan status kewangan, pengeluaran penyata. |
Pembuatan & Pertanian | Cetakan 3D dan lain-lain. | Mengambil pesanan, pembungkusan, penerimaan bayaran, penghantaran. |
Pendidikan | Buku elektronik, tutor dalam talian, tutorial dalam talian dan lain-lain. | Mengambil pesanan, pembungkusan, penerimaan bayaran, penghantaran. |
Penjagaan Kesihatan | Produk penjagaan kesihatan. | Mengambil pesanan, pembungkusan, penerimaan bayaran, penghantaran. |
Media & Penyiaran | YouTube, fotografi (perkhidmatan sebagai jurugambar dan jualan gambar) dan lain-lain. | Rekacipta kandungan, muat naik, penerimaan bayaran. |
Perkongsian Ekonomi | Perkongsian kereta, rumah, bilik, motosikal dan lain-lain. | Perkhidmatan & bayaran. |
Langganan | Langganan Komik & surat khabar dalam talian, video streaming, audio streaming dan lain-lain. | Perkhidmatan & penerimaan bayaran. |
Perkhidmatan | Perkhidmatan perisian, pengurusan cara, perancangan perkahwinan dan lain-lain. | Perkhidmatan & penerimaan bayaran. |
Pengiklanan | Blogger, instafamous, insta review | Rekacipta kandungan, muat naik, penerimaan bayaran. |
Crowd Sourcing | Contoh: kickstarter.com | Rekacipta kandungan, muat naik, penerimaan bayaran. |
Jualan Produk Digital | Data, Buku Elektronik, Aplikasi | Rekacipta kandungan, muat naik, penerimaan bayaran. |
Mata Wang Crypto | Dagangan dalam Mata Wang Crypto | Pedagang, Penjual, Miner. |
Perlukah influencer dan perniagaan dalam talian membayar cukai?
Ya! Sebarang perniagaan dalam talian yang menjana pendapatan sebanyak RM5,000 sebulan tertakluk kepada cukai pendapatan.
Walaupun ia kelihatan seperti satu kerja yang santai dan ada yang melakukannya suka-suka, tetapi ia sebenarnya dikategorikan sebagai profesion, perlu isytihar pendapatan dan boleh menuntut perbelanjaan perniagaan dan bayaran balik cukai.
Bagi perniagaan dalam talian yang dijalankan oleh individu, kadar cukai pendapatan adalah di antara 0% sehingga 28% (mulai Tahun Taksiran 2016).
Bagi perniagaan dalam talian yang dijalankan oleh syarikat kadar cukai pendapatan adalah di antara 19% sehingga 24%.
Perbelanjaan apa yang boleh dituntut semula?
Seperti cukai pendapatan biasa, terdapat perbelanjaan yang boleh dituntut sebagai bayaran balik cukai. Ini termasuklah:
- Kos kemaskini laman sesawang
- Bayaran konsultan laman sesawang
- Bayaran pembaharuan nama domain
- Akses internet
- Peralatan telekomunikasi, modem
- Sewa server
- Pengiklanan
- Utiliti
Perbelanjaan yang tidak boleh dituntut pula adalah:
- Perbelanjaan domestik dan persendirian seperti bil elektrik, bil air rumah kediaman, dan lain-lain.
- Perbelanjaan beli aset peribadi seperti kereta, rumah, perabot, dan lain-lain.