Kurang dua minggu sahaja lagi sebelum tahun 2020 melabuhkan tirainya bagi memberi laluan kepada tahun baharu 2021.
Hampir 30 tahun yang lalu, Perdana Menteri pada ketika itu Tun Mahathir Mohamad melancarkan Wawasan 2020; suatu matlamat di mana sembilan cabaran mesti diatasi secara strategik menjelang tahun 2020.
Salah satu cabaran yang dihuraikan ialah “Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.” Dengan perubahan zaman, kita kini sangat bergantung kepada teknologi digital dalam hampir semua urusan, termasuklah belajar dan bekerja.
Pandemik Covid-19 yang menyerang dunia pada awal tahun 2020 telah menyedarkan kita semua tentang betapa pentingnya mempunyai kemahiran digital untuk kelangsungan hidup.
Kepentingan celik digital dalam zaman maklumat (Information Age)
Kenapa celik digital sangat penting? Kerana ia memudahkan kehidupan, memperkasakan kerjaya, dan meluaskan perniagaan anda. Dengan serba-serbi digital, mereka yang tidak celik digital akan ketinggalan.
Menurut laporan Berita Harian, lebih 49% individu di Malaysia menggunakan internet untuk mencari peluang pekerjaan. Celik digital akan memudahkan anda untuk mendapat kerja dan bersaing dalam pasaran pekerjaan yang kompetitif.
Setakat tahun 2017 sahaja, sebanyak 30% majikan di Malaysia melihat kemahiran digital sebagai kemahiran penting yang diperlukan dalam meningkatkan prestasi kerja. Peratusan tersebut semestinya telah meningkat pada tahun ini.
Golongan peniaga yang tidak celik digital juga bakal kerugian besar. Ini kerana menurut data oleh Statista, sebuah tinjauan mengenai tingkah laku membeli-belah dalam talian di Malaysia pada tahun 2020 mendapati 82% responden membeli-belah menggunakan telefon pintar mereka di laman web e-dagang. Syarikat yang menawarkan jualan atas talian juga mampu bertahan lama.
Tingkatkan kemahiran digital anda demi kelangsungan hidup
Disebabkan betapa pentingnya kemahiran digital, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) telah melancarkan Gerakan #SayaDigital untuk memperkasakan rakyat Malaysia bagi mempercepatkan pertumbuhan masyarakat digital di negara ini, menurut Berita Harian.
Ini akan membolehkan mereka merebut peluang yang ditawarkan oleh ekonomi digital negara agar mampu berdepan dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan seterusnya mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Terdapat empat program utama dalam Gerakan #SayaDigital, iaitu:
1) Digital Memudahkan Kehidupan
Bagi latihan asas ini, terdapat tiga modul utama, iaitu Komunikasi Digital (Modul 1), Perbankan Atas Talian dan eDompet (Modul 2), dan Aplikasi Perkhidmatan Digital (Modul 3).
Modul 1 mengajar anda tentang bagaimana untuk kekal berhubung, sama ada melalui WhatsApp, E-mel, atau Media Sosial. Modul ini turut mengajar anda menghasilkan video di YouTube serta menggunakan Peta Google.
Modul 2 mengajar anda dalam menggunakan perbankan atas talian dan perkhidmatan eDompet bagi transaksi yang lebih mudah dan pantas.
Modul 3 pula mengajar anda bagaimana untuk membayar bil, menempah makanan, membeli barangan keperluan harian, menempah e-Hailing, dan mencari apa jua perkhidmatan lain secara atas talian.
2) Digital Menambah Pendapatan
Untuk program ini, anda boleh pilih sama ada anda ingin:
- Pelajari teknik asas memasarkan perniagaan secara atas talian melalui platform media sosial (eUsahawan); atau
- Berpeluang menjana pendapatan tambahan dengan melakukan pelbagai tugasan digital melalui platform crowdsourcing secara atas talian (eRezeki).
3) Digital Memperkasakan Kerjaya
Untuk program ini, anda boleh pilih sama ada anda ingin:
- Membina bakat anda untuk kerjaya digital pada masa hadapan (MyDigitalMaker); atau
- Berpeluang membina kerjaya yang fleksibel sebagai pekerja digital bertaraf global (GLOW).
4) Digital Meluaskan Perniagaan
Untuk program ini, anda boleh pilih sama ada anda ingin:
- Mengubah cara anda berniaga di kawasan luar bandar dengan kaedah perniagaan secara digital (Pedas),
- Mengakses capaian mudah setempat kepada perkhidmatan kewangan digital khususnya untuk komuniti B40 dan Usahawan Mikro & SME (eBerkat),
- Mendigitalkan perniagaan konvensional anda, meningkatkan kecekapan dan meningkatkan khidmat pelanggan secara efektif (DX/100 Go Digital); atau
- Belajar mengenai keusahawanan atas talian termasuk teknik dan kaedah bagi memajukan perniagaan anda atas talian (Go-eCommerce).
Selain celik digital, pastikan anda juga celik terhadap privasi dalam talian
Dalam laporan Astro Awani pada tahun 2018, hanya 44% rakyat Malaysia menyedari dan mempunyai sedikit pengetahuan tentang privasi data dalam talian, menurut kaji selidik yang dikeluarkan oleh agensi penyelidikan pasaran global Ipsos.
Tiga kumpulan yang tidak berpengetahuan langsung tentang privasi data dalam talian adalah kumpulan dari Malaysia Timur dan juga kumpulan yang mempunyai pendidikan lebih rendah daripada SPM serta kumpulan yang berumur lebih tua sekitar 45 hingga 74 tahun.
Sebanyak 61% responden dalam kaji selidik tersebut menggunakan kata laluan dan nombor pengenalan peribadi (PIN) yang sama bagi pelbagai akaun. Ini adalah sesuatu yang amat tidak digalakkan bagi melindungi keselamatan anda di atas talian, kerana anda mudah terdedah dengan risiko seperti kecurian identiti.
Oleh itu pastikan anda lindungi privasi anda dalam talian, contohnya seperti tidak menggunakan HotSpot WiFi yang umum, mendedahkan maklumat lokasi anda, sentiasa log keluar (terutamanya laman media sosial), menyembunyikan alamat IP, atau menghidupkan pelayaran peribadi.