Kita telahpun melangkah ke tahun baru 2021. Ini bermakna semakin hampir juga saat untuk kita membayar cukai tahunan. Sekarang ialah waktu yang terbaik bagi anda bersiap sedia dan mengumpul segala resit dan dokumen berkaitan.
Baru-baru ini, LHDN telah melancarkan MyTax yang merupakan pusat gerbang maklumat dan pusat sehenti bagi pembayar cukai untuk lebih kemudahan, menurut laporan Astro Awani.
Melalui MyTax, pembayar cukai boleh mengakses maklumat seperti transaksi lejar, status bayaran balik, potongan cukai bulanan, jadual ansuran CP500 dan status Sijil Penyelesaian Cukai (SPC).
Selain itu, MyTax juga menyediakan capaian ke perkhidmatan yang disediakan oleh LHDN seperti e-Filing, ByrHasil, e-Daftar dan lain-lain.
Penggunaan MyTax ini juga akan memudahkan urusan pembayar cukai untuk mengakses maklumat terkini mereka tanpa perlu datang ke pejabat LHDN terutamanya ketika musim pandemik Covid-19 ini.
Cukai taksiran berasingan dan bersama: Apa yang anda perlu tahu
Jika anda seorang pembayar cukai yang baru dan telah berkahwin, mungkin anda tertanya-tanya yang mana satu lebih jimat dan menguntungkan: adakah cukai taksiran berasingan atau bersama?
Hakikatnya, ia bergantung kepada anda dan pasangan. Adakah pasangan anda atau anda sendiri tidak bekerja? Jika salah seorang tidak bekerja, faedah yang diperolehi melalui Taksiran Bersama ialah potongan cukai sebanyak RM4,000 dengan syarat-syarat tertentu.
Bagi pasangan di mana kedua-dua pihak bekerja, anda disarankan untuk memfailkan cukai secara berasingan. Ini kerana lebih banyak potongan cukai yang boleh anda tuntut, lebih-lebih lagi jika anda mempunyai anak yang ramai.
Dalam kata lain, potongan untuk pelepasan adalah terhad jika anda memilih Taksiran Bersama. Perancangan kewangan anda berdua boleh menentukan sama ada anda memperoleh keuntungan (penjimatan) ataupun kerugian yang besar.
3 tips untuk lebih jimat dan untung bila anda membayar cukai
Berikut merupakan beberapa tips mudah untuk anda mengurangkan bayaran cukai secara halal dan sah di sisi undang-undang:
1)Ketahui jenis-jenis pendapatan yang dikenakan cukai dan tidak
Berikut merupakan beberapa jenis pendapatan yang dikenakan cukai:
- Perniagaan (atau bekerja sendiri)
- Penggajian
- Dividen
- Faedah
- Diskaun
- Sewa
- Royalti
- Premium
- Pencen
- Anuiti
Selain perniagaan atau penggajian, pastikan anda tak terlepas pandang pendapatan yang anda perolehi seperti dividen dan bayaran sewa bagi aset yang anda miliki (contohnya rumah); sebab semuanya kena cukai.
Selain itu juga, anda perlu tahu tentang pendapatan yang dikecualikan cukai, contohnya seperti:
- Manfaat perubatan dan pergigian
- Ganjaran persaraan (bersyarat)
- Pendapatan pampasan (bersyarat)
- Biasiswa
- Pendapatan yang diremit dari luar Malaysia
- Yuran atau hononarium khidmat pakar
- Pendapatan daripada hasil penyelidikan.
Penting untuk anda tahu tentang semua pendapatan bercukai dan tidak. Ini bagi mengelakkan anda daripada terkurang bayar (di mana denda akan dikenakan) atau terlebih bayar (yang membuat anda rugi).
2) Ketahui semua rebat dan pelepasan cukai yang ada
Manfaatkan semua rebat dan pelepasan cukai yang ada bagi mengurangkan lagi kadar cukai yang harus dibayar. Berikut merupakan rebat cukai pendapatan (bagi individu yang mempunyai pendapatan bercukai kurang daripada RM35,000 setahun):
- Taksiran Berasingan
Suami dan isteri masing-masing boleh menikmati rebat cukai sebanyak RM400 setiap seorang. - Taksiran Bersama
Suami dan isteri masing-masing boleh menikmati rebat cukai sebanyak RM400 setiap seorang. - Taksiran di mana salah seorang suami atau isteri tiada jumlah pendapatan
Suami dan isteri masing-masing boleh menikmati rebat cukai sebanyak RM400 setiap seorang. - Zakat/fitrah
Amaun maksimum tertakluk kepada cukai yang dikenakan.
Bagi pelepasan cukai pula, terdapat sekurang-kurangnya 21 pelepasan cukai yang diberikan bagi individu pemastautin, contohnya seperti yuran pengajian (sendiri), perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius, gaya hidup (seperti pembelian buku, komputer peribadi, atau bil langganan Internet) dan banyak lagi.
Maksimumkan kesemua rebat dan pelepasan cukai yang ada bagi mengurangkan kadar cukai yang harus dibayar.
3) Gunakan kalkulator pengiraan Potongan Cukai Bulanan (PCB) oleh LHDN untuk semakan atau rujukan
Sebelum pemfailan cukai pendapatan dibuka, anda boleh gunakan kalkulator PCB (jika bekerja sepenuh masa) untuk menyemak jika cukai yang dikenakan sama atau hampir sama dengan cukai sebenar.
Selain itu ia boleh membantu dalam memastikan tiada cukai terlebih atau terkurang bayar jika semua tuntutan potongan tambahan diambil kira dalam pengiraan.
Biasanya tarikh akhir bagi penghantaran Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) ialah sebelum atau pada 30 April untuk individu yang tidak menjalankan perniagaan, dan sebelum atau pada 30 Jun bagi individu yang menjalankan perniagaan.
Namun disebabkan pandemik Covid-19 masih belum reda, mungkin tarikh akhir boleh bertukar mengikut keadaan semasa. Jadi pastikan anda mengikuti perkembangan mengenai pembayaran cukai pada tahun 2021, dan belajar bagaimana menggunakan e-filing demi kemudahan dan keselamatan anda.