Jika anda sering layari platform video YouTube, adakah anda kenal dengan nama-nama ini: Alieff Irfan, Aiman 97, Nur Amira Syahira, atau Syahmi Sazli? Tahukah anda, mereka semua merupakan YouTuber Malaysia yang terkaya dengan pendapatan yang diperoleh melalui AdSense pada tahun 2019?
Menurut Silver Mouse, sebuah agensi pemasaran digital, para YouTuber ini merupakan individu yang memiliki dan menguruskan sendiri saluran YouTube mereka, dan mereka bukan sebuah produksi atau syarikat media yang besar.
Ini bermaksud anda juga berpeluang untuk menjana pendapatan sebagai pencipta kandungan di YouTube dan bebas dalam menghasilkan apa jua kandungan secara kreatif dan menarik walaupun hanya anda seorang sahaja.
Terdapat pelbagai cara untuk anda menjana pendapatan di YouTube, dan bagi para YouTuber yang disenaraikan tadi, AdSense (hasil pendapatan yang diperoleh daripada iklan) merupakan salah satu sumber pendapatan mereka.
Pelbagai cara untuk meraih pendapatan melalui YouTube
Berapa banyak pendapatan yang mereka raih hanya dengan AdSense? Ini merupakan jumlah pendapatan mereka (sebulan), menurut Silver Mouse:
- Alieff Irfan: US$22,230 (kira-kira RM92,321)
- Aiman 97: US$15,000 (RM62,295)
- Nur Amira Syahira: US$8,600 (RM35,715)
- Syahmi Sazli: US$4,700 (RM19,519)
Mengejutkan bukan? Jika anda berminat untuk menjana pendapatan melalui YouTube, ini merupakan empat cara paling popular untuk meraih pendapatan:
- Google AdSense
Perkara pertama sekali yang anda boleh buat untuk menjana wang di YouTube ialah dengan mengikuti program Rakan Kongsi YouTube (YouTube Partner). Dengan perkongsian ini, anda boleh menjana wang dari video anda melalui Google AdSense.
Syarat kelayakan untuk menyertai program ini ialah anda mesti mempunyai sekurang-kurangnya 1,000 pengikut (followers) dan 4,000 jam masa tontonan yang terkumpul dalam tempoh 12 bulan.
YouTube menggunakan pelbagai format pengiklanan bagi meraih wang, dan pengiklan akan membayar berdasarkan jumlah clicks dan impressions. Anda sebagai pencipta kandungan bakal menerima 55% dari pendapatan yang diraih, manakala YouTube akan mengambil sebanyak 45%.
Selain itu, pencipta kandungan mesti mematuhi garis panduan pengiklanan. Kandungan yang mengandungi bahasa tidak sopan, kandungan dewasa, keganasan dan subjek sensitif yang lain tidak akan diletakkan iklan. - Penajaan Jenama (brand sponsorship)
Dalam dunia pemasaran digital, penajaan jenama juga dikenali sebagai “influencer marketing”. Syarikat akan membayar pencipta kandungan untuk mempromosikan jenama atau produk mereka dalam video.Sebagai contoh, YouTuber kecantikan ternama iaitu Michelle Phan berjaya menarik perhatian jenama kosmetik Lancôme dengan tutorial solekannya yang unik dan kreatif. - Pembiayaan dari peminat
Jika anda mempunyai pelanggan saluran (channel subscribers) yang telah mencecah 30,000 dan ke atas, anda boleh mula menjana pendapatan melalui keahlian saluran YouTube anda (channel memberships).
Dengan itu para peminat dan follower anda boleh bayar untuk mendapatkan kandungan bonus seperti video khas, sembang langsung (live chat) dan sebagainya. - Penjualan produk/servis
Sebagai rakan kongsi YouTube, anda juga boleh menjual sehingga 12 produk kepada penonton anda hanya dengan mengaktifkan ciri ini di akaun anda.
Sebagai contoh, YouTuber ternama dunia iaitu Jeffree Starr (jurusolek yang membuat tutorial) berjaya memperoleh pendapatan yang mencecah jutaan dollar dengan memaparkan pelbagai alatan kosmetik seperti gincu, highlighter, dan palet pembayang mata dalam videonya.
Amalkan “YouTube Best Practices” untuk menarik lebih ramai followers
Lebih ramai followers dan pelanggan yang mengikuti saluran anda, lebih tinggi peluang anda untuk meraih pendapatan yang banyak dalam pelbagai cara. Ikuti beberapa contoh amalan terbaik YouTube ini jika anda serius dalam membuat duit melalui YouTube (untuk maklumat lanjut, anda boleh lihat di sini):
- Pastikan anda membuat kandungan secara berkala
Buat jadual video posting dan pastikan anda berdisiplin dalam mengikuti jadual yang telah ditetapkan. Penonton lebih menyukai saluran yang kerap membuat kandungan secara berkala.
Berapa kerap anda membuat posting yang baru bergantung kepada anda. Sama ada satu video setiap minggu pada hari Isnin atau empat video setiap bulan pada hari Jumaat; ia bergantung kepada kemampuan anda.
- Beri solusi terbaik kepada masalah yang ada
Ramai pengguna YouTube yang menggunakan YouTube bagi menyelesaikan masalah yang mereka hadapi, contohnya seperti paip pecah, komputer riba terkena air, atau cara memasak risotto yang betul. Anda boleh membuat video tutorial yang menunjukkan cara-cara bagi menyelesaikan masalah yang tertentu mengikut kepakaran anda.
- Optimumkan video anda untuk carian YouTube
Ini termasuk menggunakan perancang kata kunci Google untuk mencari kata-kata yang dicari oleh sebilangan besar orang dan memasukkan kata kunci tersebut dalam keterangan dan tag halaman video YouTube anda.
- Promosikan video atau saluran YouTube anda di media sosial
Ini merupakan cara yang termudah dan terpantas bagi menarik lebih ramai followers dalam mengikuti saluran YouTube dan menonton video anda tanpa perlu berbelanja banyak.