Semua orang inginkan kebahagiaan. Namun begitu, erti kebahagiaan mungkin berbeza bagi setiap orang. Sesetengah orang rasa bahagia jika dia dapat bekerja sepenuh masa di rumah tanpa perlu ke pejabat. Sesetengah orang rasa bahagia apabila melihat anaknya tidur nyenyak. Manakala sebilangan orang pula rasa bahagia apabila mendapat pelukan.
Sebahagia manakah orang Malaysia?
Pada tahun 2019, Indeks Kebahagiaan Dunia melaporkan bahawa Malaysia telah jatuh di tangga ke-80 bagi negara yang paling bahagia di dunia. Di Asia Tenggara, Malaysia berada di tangga ke-empat sebagai negara yang paling bahagia, dengan Singapura, Thailand, dan Filipina mendahului kedudukan.
Laporan 2019 tersebut memberi tumpuan kepada tiga faktor utama yang menyumbang kepada kebahagiaan seseorang, iaitu kaitan antara kebahagiaan dan kerajaan, kuasa tingkah laku prososial, dan perubahan dalam teknologi maklumat.
Bagi faktor yang kedua, iaitu kuasa tingkah laku prososial, laporan itu mendapati bahawa orang yang murah hati dan rajin menderma atau sering membelanjakan wang demi orang lain adalah lebih bahagia berbanding dengan orang yang tidak, tak kira berapa banyak atau sedikit wang yang dimiliki.
Bercakap mengenai wang, ramai di antara kita yang menganggap bahawa mempunyai wang yang banyak boleh membuat kita bahagia. Adakah itu benar? Jawapannya ya dan tidak, bergantung kepada beberapa faktor.
Wang yang banyak disertai dengan kemurahan hati adalah kunci kebahagiaan
Menurut penyelidik Harvard Business School iaitu Grant E. Donnelly dan Michael Norton, yang membuat kajian ke atas 4,000 orang jutawan, semakin banyak wang yang dimiliki responden, semakin tinggi tahap kebahagiaan mereka.
Namun begitu, tahap kebahagiaan itu bergantung kepada beberapa faktor, termasuk sama ada mereka memperoleh kekayaan tersebut atas usaha sendiri (seperti keuntungan atau bonus yang diperoleh melalui perniagaan atau pelaburan yang dibuat) atau mewarisi kekayaan tersebut.
Yang menariknya, kajian menunjukkan bahawa responden yang berusaha sendiri dalam mencapai kekayaan mereka adalah lebih bahagia berbanding dengan responden yang mewarisi kekayaan tanpa sebarang kerja keras.
Tambahan lagi, responden yang lebih bermurah hati dan rajin menderma boleh menjadi semakin bahagia dan puas dengan hidupnya. Ini menunjukkan bahawa wang yang banyak disertai dengan kemurahan hati adalah salah satu kunci kebahagiaan.
6 cara membelanjakan wang yang boleh membahagiakan kita
Ramai di antara kita yang membeli-belah untuk menyenangkan hati, tetapi terdapat beberapa cara lain untuk membelanjakan wang yang boleh membahagiakan kita:
- Beli pengalaman yang bermakna
Memori indah yang anda perolehi melalui pengalaman hidup seperti melancong ke safari, menghadiri kelas melukis dengan pelukis ternama, atau menikmati makan malam di atas pokok adalah lebih bermakna berbanding aktiviti membeli-belah. - Beli barangan yang boleh meningkatkan pengalaman
Jika minat anda ialah bermain muzik, menangkap gambar, mendaki gunung, dan sebagainya, anda boleh membeli barangan yang boleh membantu, seperti peralatan muzik, kamera, atau kelengkapan mendaki. - Menderma
Menurut Elizabeth Dunn, seorang profesor psikologi di University of British Columbia, orang yang menderma kepada pertubuhan amal adalah lebih bahagia tanpa mengira status kewangannya. - Belanja orang lain
Dalam satu lagi kajian yang dijalankan oleh para penyelidik Harvard, mereka mendapati bahawa orang yang membelanjakan $5 untuk orang lain adalah lebih bahagia berbanding dengan orang yang membelanjakan $5 untuk dirinya sendiri. - Nikmati kemewahan yang kecil sekali-sekala
Menikmati kemewahan yang kecil sekali-sekala amat digalakkan, contohnya seperti sesi urut dan spa atau hidangan fine dining di restoran ternama. - Dapatkan perkhidmatan yang boleh menjimatkan masa
Jika anda mempunyai wang yang lebih namun terlalu sibuk dengan pekerjaan sehingga tidak mempunyai waktu yang cukup untuk meluangkan masa dengan orang yang tersayang, anda boleh mendapatkan perkhidmatan yang menjimatkan masa, contohnya seperti perkhidmatan pembersihan.