Menurut data dalam kajian Pantauan Ekonomi Malaysia Disember 2019 yang diterbitkan Bank Dunia, isi rumah dengan pendapatan di bawah wang sara hidup cenderung untuk mengambil pinjaman peribadi untuk tujuan penggunaan.
Laporan tersebut juga menyatakan bahawa pinjaman peribadi sering dipilih untuk mengekalkan gaya hidup yang disifatkan sebagai kehendak yang menyediakan penambahbaikan dalam hidup melangkaui aspek asas yang diperlukan untuk terus hidup.
Bagaimana pula dengan golongan berpendapatan rendah yang tidak layak mengambil pinjaman peribadi dan perlu memenuhi keperluan yang ada?
Salah satu caranya tentulah dengan meminjam wang daripada keluarga atau kawan-kawan, terutamanya apabila terlalu terdesak dan tiada jalan lain yang boleh diambil bagi memenuhi sesuatu keperluan.
Jika anda sedang berada dalam situasi di mana terdapat ahli keluarga yang ingin meminjam wang dari anda, mungkin anda berasa serba-salah sama ada harus menunaikannya atau menolaknya. Kalau tolak takut merajuk. Kalau bagi pinjam takut dia akan minta lagi.
Jika anda dalam situasi ini, berikut merupakan enam perkara yang anda harus pertimbangkan dulu sebelum meminjamkan wang:
- Ketahui tujuannya meminjam wang
Pastikan anda tahu kenapa dia ingin meminjam wang. Adakah ianya suatu keperluan atau kehendak? Jika ia merupakan suatu kehendak, ia barangkali tidak begitu penting. Sekiranya dia ingin meminjam wang bagi membeli barangan dapur atau membayar sewa rumah contohnya, ia barulah keperluan asas yang penting. - Lihat kewangan dan bajet bulanan anda
Adakah anda telah selesai membayar segala bil dan hutang bulanan yang ada? Adakah anda mempunyai wang yang cukup untuk dibelanjakan sehinggalah tiba hari gaji yang seterusnya? Lihat kemampuan kewangan anda dahulu sebelum memberikan kata putus. - Ketahui kesan jangka panjang sekiranya anda meminjamkan wang
Sekiranya anda ingin memberi pinjam wang, anda harus bersedia dengan kemungkinan di mana anda tidak akan mendapatkan kembali wang tersebut, walaupun peminjam telah berjanji untuk memulangkannya.
Ini sedikit sebanyak boleh memberi kesan terhadap kewangan keluarga anda. Jadi, sebelum anda meminjamkan wang, pastikan anda bincang dengan pasangan anda terlebih dahulu. Sekiranya pasangan anda kurang atau tidak bersetuju sama sekali, cuba cari jalan lain bagi memberikan bantuan. - Pastikan anda mempunyai simpanan yang mencukupi
Jika tiada halangan lain bagi meminjamkan wang anda, pastikan juga anda mempunyai simpanan yang mencukupi. Manalah tahu tiba-tiba ada kecemasan yang tidak dijangka yang memerlukan anda menggunakan wang. - Buat checklist sebelum memberi pinjaman
Sediakan senarai checklist dengan soalan-soalan yang penting, contohnya seperti:
- Pernahkah peminjam meminta wang sebelum ini?
- Jika ya, adakah dia menepati janjinya dalam membayar balik wang?
- Adakah dia membayar balik dalam masa yang ditetapkan?
- Apakah kemungkinan yang dia akan membayar balik untuk pinjaman kali ini?
- Bagaimana dia akan membayar balik pinjaman ini?
Semua perkara ini penting untuk dipertimbangkan bagi mengelakkan pergaduhan atau salah faham di kemudian hari yang boleh merosakkan hubungan kekeluargaan.
- Buat pelan ansuran dan tetapkan jangka masa pembayaran balik
Sama seperti meminjam wang dari bank, lebih baik sekiranya anda membuat pelan ansuran dan tetapkan jangka masa bagi pembayaran balik. Ini untuk memudahkan kedua-dua pihak.
Bincangkan dengan peminjam mengenai jumlah bayaran balik yang dia mampu bayar, dan berapa lama masa yang diperlukan bagi menyelesaikan semua hutangnya. Dengan cara ini, peminjam tidak berasa begitu terbeban, dan anda tidak akan berasa sakit hati.
Selain itu, disebabkan ketiadaan kadar faedah seperti pinjaman yang diberikan oleh bank, terdapat kemungkinan yang peminjam akan bersikap sambil lewa dalam memulangkan semula wang anda. Sebelum anda meminjamkan wang, pastikan peminjam ialah seorang yang bertanggungjawab dan benar-benar memerlukan wang tersebut.
Selain daripada memberikan duit belanja untuk ibu bapa anda, penting diingatkan bahawa anda tidak diwajibkan untuk memberi bantuan kewangan kepada orang lain sekiranya anda sendiri cukup-cukup makan.
Jika anda ingin meminjamkan wang sekalipun, berilah setakat yang anda mampu. Elakkan daripada membebankan diri sendiri semata-mata ingin menjaga hati keluarga.