Pada 4 Februari yang lalu, seluruh dunia telah bersatu bagi menyambut Hari Kanser Sedunia. Sebut saja tentang kanser, semua orang akan berasa gerun. Kumpulan penyakit yang melibatkan pertumbuhan sel yang tidak normal itu boleh merebak ke bahagian tubuh yang lain, menjadikannya sukar dan semakin mahal untuk dirawat.
Kanser sememangnya ialah antara penyakit kritikal yang bukan saja menyakitkan bagi mereka yang mengalaminya, tetapi juga ahli keluarga yang menyaksikan orang yang tersayang berjuang melawan kanser.
Pasti ramai di antara kita yang mempunyai ahli keluarga yang berjuang melawan kanser atau mengenali seseorang yang mengalami kanser.
Kos rawatan yang tinggi mendorong pesakit meninggalkan rawatan
Menurut laporan MalayMail, Malaysia mempunyai kadar kematian kanser sebanyak 61%. Kurang kesedaran mengenai kanser dan akses kepada rawatan merupakan antara punca utama yang menyumbang kepada kadar kematian yang tinggi itu.
Selain itu, umum mengetahui bahawa kos rawatan kanser tidak murah, lebih-lebih lagi di hospital atau pusat perubatan swasta.
Majlis Kanser Nasional (MAKNA) tidak lama dulu pernah menyatakan bahawa kebanyakan pesakit kanser di Malaysia tidak mampu menanggung kos rawatan kanser, yang mendorong mereka untuk meninggalkan rawatan sebelum waktunya.
Terdapat pelbagai jenis kanser yang ada, dan berikut ialah anggaran bagi kos rawatan kanser di hospital swasta di Malaysia:
- Kanser payudara: dari RM18,000 – RM395,000
- Kanser pangkal hidung (nasofarinks): dari RM22,000 – RM70,000
- Kanser kolon: dari RM25,000 – RM85,000
- Kanser uterus/ ovari/ serviks: dari RM20,000 – RM60,000
- Kanser paru-paru: dari RM45,000 – RM56,000
- Kanser dubur: dari RM36,000 – RM121,000
- Kanser perut: dari RM35,000
- Penyakit Hodgkin (Hodgkin’s Illness): dari RM20,000 – RM95,000
- Leukemia: dari 35,000 – 85,000
- Kanser tiroid: dari RM16,000 – RM22,000
- Kanser pankreas: dari RM35,000
- Kanser lidah: dari RM45,000
- Kanser buah pinggang/ureter: dari RM23,000 – RM98,000
Ini tidak termasuk caj perkhidmatan dan bekalan oleh hospital, seperti:
- Yuran ambulans (RM200 bagi hospital swasta, RM50 bagi hospital kerajaan),
- Yuran perundingan (sehingga RM250 bagi hospital swasta, RM1 bagi hospital kerajaan),
- Ujian darah (RM100 bagi hospital swasta, RM1 bagi hospital kerajaan),
- Imbasan MRI (RM1200 bagi hospital swasta, RM700 bagi hospital kerajaan),
- X-ray (RM80 bagi hospital swasta, RM1 bagi hospital kerajaan), dan
- Anestesia am (RM1000 bagi hospital swasta, percuma bagi hospital kerajaan).
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kos rawatan perubatan di hospital swasta, anda boleh merujuk kepada Perintah Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Pindaan) 2013.
Bagi caj rawatan di hospital atau pusat perubatan kerajaan pula, anda boleh rujuk di portal rasmi KKM (harga adalah berlainan mengikut kelas).
4 perkara yang anda boleh lakukan sekarang
Terdapat beberapa perkara yang anda boleh lakukan sekarang bagi menghadapi kos rawatan perubatan yang mahal, seperti:
- Mohon bantuan kewangan
Menurut Institut Kanser Negara, untuk mendapatkan bantuan kewangan, ia bergantung kepada tahap sosio-ekonomi pesakit atau keluarga. Maklumat lanjut tentang bantuan tertentu boleh diperoleh daripada Unit Kerja Sosial Perubatan di hospital yang merawat pesakit.
Jika pesakit atau waris ialah penjawat awam, rawatan percuma diberikan dan tidak akan dikenakan sebarang bayaran kepada:
- Keluarga Pegawai ( Suami/Isteri);
- Anak-anak dibawah umur 18 tahun;
- atau sekiranya masih bersekolah, di bawah 21 tahun; dan
- Ibu bapa yang sah (legal parents).
2. Daftar untuk skim mySalam
mySalam merupakan sebuah inisiatif skim takaful perlindungan kesihatan percuma oleh kerajaan baru yang memberikan perlindungan takaful kepada individu yang layak. Sebanyak 45 penyakit kritikal dilindungi di bawah skim ini.
Bagi golongan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH), manfaat yang diterima di bawah skim ini ialah RM8,000 (untuk kos rawatan penyakit kritikal) dan RM50 (kos hospitalisasi) untuk maksimum 14 hari.
Bagi golongan bukan penerima BSH pula, manfaat yang diterima di bawah skim ini ialah RM4,000 (untuk kos rawatan penyakit kritikal) dan RM50 (kos hospitalisasi) untuk maksimum 14 hari. Untuk info lanjut, layari mysalam.com.my.
- Dapatkan insurans perubatan
Buat anda yang berkemampuan, anda boleh mendapatkan insurans perubatan mulai sekarang bagi menyediakan payung sebelum hujan. Terdapat banyak pelan insurans perubatan pada harga serendah RM50 sebulan. - Mulakan gaya hidup yang lebih sihat
Gaya hidup yang tidak aktif, sering memakan makanan yang tidak menyihatkan (seperti makanan ringan, makanan tinggi lemak atau gula),dan kerap merokok adalah antara punca yang boleh menyebabkan anda mendapat penyakit kritikal.
Jadi mulai sekarang rajin-rajinlah bersenam atau menjalankan aktiviti yang menyihatkan, makan lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan, dan hentikan segala tabiat buruk anda.