Pada tarikh 27 Februari 2020, Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi 2020. Di antara kandungan pakej tersebut adalah penundaan ansuran bulanan cukai pendapatan bagi perniagaan yang terjejas dalam sektor pelancongan akibat penularan COVID-19.
Beliau turut mengumumkan pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik. Selain itu, rakyat Malaysia diberi baucer digital bagi pelancongan domestik sehingga RM100 seorang untuk penerbangan domestik, kereta api, dan penginapan di hotel berlesen.
Pengumuman berkaitan cukai tersebut hadir tepat pada masanya kerana bulan Mac menandakan bermulanya tempoh taksiran cukai pendapatan.
Siapa perlu bayar cukai pendapatan?
Anda layak dikenakan cukai pendapatan sekiranya anda termasuk dalam kategori berikut:
- Individu bujang dengan pendapatan tahunan melebihi RM34,000 (selepas potongan KWSP)
- Individu berkahwin (dengan pasangan tidak berkerja) dengan pendapatan tahunan melebihi RM46,000 (selepas potongan KWSP)
- Individu yang menjalankan perniagaan (walaupun mengalami kerugian)
- Pekerja baru yang dikenakan PCB (Potongan Cukai Berjadual)
- Individu yang mempunyai pendapatan bercukai
- Individu yang berjual-beli hartanah
Bagi individu yang TIDAK menjalankan perniagaan, tarikh akhir hantar borang cukai pendapatan adalah 30 April. Bagi mereka yang menjalankan perniagaan, tarikh akhir adalah 30 Jun.
Apa itu e-Filing?
e-Filing adalah aplikasi percuma yang disediakan oleh LHDN untuk memudahkan pembayaran cukai untuk melengkap, mengira, dan mengemukakan BNCP secara elektronik melalui internet. Aplikasi ini boleh dicapai terus melalui laman web ezHASiL di pautan https://ez.hasil.gov.my atau melalui portal rasmi LHDN di pautan www.hasil.gov.my.
Cara daftar e-Filing
Bagi pengguna kali pertama, anda boleh ikuti langkah-langkah berikut:
- Layari http://edaftar.hasil.gov.my/ untuk mendaftar kali pertama. Pilih pendaftaran individu dan klik pada borang pendaftaran online. Anda akan diberi satu nombor pendaftaran untuk digunakan ketika menyemak status pendaftaran
- Muat naik salinan dokumen yang berkaitan
- Selepas beberapa hari, anda boleh semak status permohonan anda di sini: http://edaftar.hasil.gov.my/info.php. Anda akan diberikan nombor PIN jika permohonan disahkan. Nombor ini akan digunakan semasa mengisi e-Filing nanti
Cara isi e-Filing
Sesudah selesai pendaftaran (bagi pengguna kali pertama), proses e-Filing boleh dijalankan dengan mengikuti langkah-langkah berikut:
- Layari portal https://ez.hasil.gov.my/CI/ dan pada bahagian ‘Log Masuk’, sila isi segala maklumat yang diperlukan kemudian klik ‘Hantar’. Bagi yang baru pertama kali, perlu klik pada Login Kali Pertama, isikan nombor PIN yang telah diberikan dan ikuti langkah-langkah yang seterusnya untuk mendapatkan sijil digital.
- Sila klik pada ‘e-Borang’, dan anda akan dipaparkan dengan senarai borang-borang cukai pendapatan. Pastikan anda pilih eBorang yang betul. Bagi individu warganegara Malaysia dengan punca pendapatan tanpa perniagaan, pilihlah borang e-BE
- Paparan pertama pada borang adalah ‘Maklumat Diri’. Sila semak semua maklumat yang dinyatakan dan pastikan betul. Jika anda ingin pastikan lebihan bayaran cukai dimasukkan terus ke akaun bank anda, sila isi nama bank dan nombor akaun. Lebihan bayaran akan diberikan secara baucar sekiranya tiada nombor akaun bank.
- Pada ruangan kedua, anda perlu isi jumlah semua pendapatan yang diperoleh bagi tahun taksiran yang berkenaan. Ini termasuklah pendapatan penggajian, dividen, sewa, faedah, diskaun, royalti, premium, pencen, anuiti, bayaran berkala lain dan apa-apa perolehan dan keuntungan lain.
- Jika majikan ada membuat Potongan Cukai Berjadual (PCB) untuk anda, boleh semak di ruangan ini; pastikan betul sepertimana dinyatakan dalam Borang EA yang diberikan majikan.
- Pada ruangan ketiga, anda boleh mengisi perbelanjaan-perbelanjaan yang dibenarkan untuk pelepasan, pengecualian dan rebat cukai. Bagi senarai lengkap pelepasan yang boleh dipohon, anda boleh rujuk kepada artikel khas kami di blog ini. Pastikan semua resit atau bukti pembayaran disimpan dengan baik.
- Selepas semua maklumat diisi, pada ruangan ‘Rumusan’, sistem akan secara automatik mengira jumlah cukai yang dikenakan, jumlah cukai yang telah dibayar (PCB) dan cukai perlu bayar/lebihan cukai untuk bayaran balik.
- Sekiranya jumlah cukai yang dikenakan lebih besar daripada PCB, maka anda perlu buat bayaran untuk jumlah yang masih belum cukup tersebut. Sekiranya jumlah PCB lebih besar daripada jumlah cukai yang dikenakan, maka LHDN akan buat bayaran balik lebihan cukai kepada anda.
- Di halaman ‘Akuan’, anda boleh pilih sama ada untuk mencetak draf borang dalam bentuk PDF, menghantar eBorang atau kembali ke halaman sebelumnya. Sekiranya anda sudah berpuas hati dengan borang yang diisi, sila klik ‘Tandatangan & Hantar’.
- Masukkan No Pengenalan dan Kata Laluan yang tepat untuk menghantar borang yang telah diisi
Selesai pendaftaran dan pengisian e-Filing. Sekiranya perlukan panduan yang lebih lanjut, anda boleh muat turun panduan di sini.
1 thought on “Panduan e-Filing Cukai Pendapatan”