Terdapat beberapa persamaan utama di antara kad debit dan kad kredit, iaitu ia boleh digunakan bagi perbelanjaan harian, membeli-belah dalam talian, dan juga membayar bil.
Di Malaysia, kebanyakan pengguna masih lebih memilih kad debit berbanding kad kredit. Menurut sebuah kajian oleh Nielsen, sebanyak 67% orang Malaysia menggunakan kad debit atau perbankan dalam talian untuk membayar bil seperti bil telefon dan internet. Hanya 27% orang Malaysia sahaja yang menggunakan kad kredit.
Berikut ialah beberapa kelebihan dan kekurangan yang terdapat pada kad debit dan kad kredit untuk anda pertimbangkan:
Kelebihan dan kekurangan kad debit
- Mudah didapati tetapi memerlukan PIN
Tak kira sama ada anda mempunyai skor kredit yang kurang baik atau tiada sama sekali, anda masih boleh mendapatkan kad debit asalkan anda memenuhi keperluan asas yang dikehendaki bank seperti menyimpan deposit sekurang-kurangnya sebanyak RM250 dalam akaun semasa atau simpanan.
Walaupun kad debit mudah dan cepat didapati, setiap transaksi yang anda ingin buat akan memerlukan PIN atau personal identification number (nombor pengenalan peribadi). Proses ini mungkin boleh mengambil masa beberapa saat bahkan minit.
PIN penting bagi menghalang orang lain daripada menggunakan kad anda sekiranya berlaku kecurian. Di Malaysia sudah terlalu banyak kes kecurian yang melibatkan PIN, jadi pastikan anda tidak berkongsi PIN tersebut dengan mana-mana pihak. - Tiada yuran tahunan, tetapi ada caj lain
Kad debit tidak mempunyai yuran tahunan seperti kebanyakan kad kredit, tetapi terdapat caj yang lain, contohnya apabila anda ingin mengeluarkan wang tunai di mesin ATM dengan kad debit.
Jika anda menggunakan mesin ATM di bank sendiri, tiada sebarang caj dikenakan. Tetapi jika anda menggunakan mesin ATM di bank lain, anda akan dicaj seperti yang berikut (caj mungkin berbeza di antara bank):
- RM1/transaksi (untuk pengeluaran dalam negara di rangkaian ATM MEPS)
- RM4/transaksi (untuk pengeluaran dalam negara di MEPS LIFB)
- RM8/transaksi (untuk pengeluaran luar negara di MEPS)
- Tidak mudah terperangkap dalam hutang, tetapi wang cepat habis
Oleh kerana kad debit akan menolak wang yang ada di dalam akaun dengan serta-merta, anda hanya boleh berbelanja mengikut jumlah wang yang ada sahaja. Selain itu, anda juga tidak akan dikenakan kadar faedah atau kadar keuntungan.
Walaupun kad debit tidak menambah bil dan melindungi anda daripada terperangkap dalam hutang, wang simpanan yang ada akan cepat habis, lebih-lebih lagi jika anda tidak cermat dalam perbelanjaan anda dan tidak menetapkan bajet.
Bukan itu sahaja, risiko untuk anda kehilangan wang juga lebih tinggi dengan kad debit. Jika maklumat kad debit anda jatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab, dia boleh mengakses wang yang ada di dalam akaun anda dan mencuri wang dengan mudah, terutama jika PIN anda telah terdedah.
Kelebihan dan kekurangan kad kredit
- Lebih terjamin kerana terdapat perlindungan
Sekiranya berlaku kejadian di mana barangan yang anda beli tiba dalam keadaan rosak atau dicuri, terdapat kad kredit yang memberikan perlindungan dalam hal ini. Selain itu, terdapat juga kad kredit yang menawarkan jaminan perlindungan yang lebih panjang untuk produk yang dibeli. Walaupun perlindungan yang ditawarkan oleh kad kredit selalunya mempunyai had tertentu, ia masih memberi manfaat buat anda, dan secara tak langsung mengurangkan kerugian yang ditanggung.
- Menawarkan pelbagai jenis ganjaran
Bergantung kepada jenis kad kredit yang dipilih, anda boleh menikmati bonus apabila anda membuat pendaftaran kad, diskaun, pulangan tunai (cashback), atau mata ganjaran yang boleh ditukarkan kepada tiket penerbangan, hadiah, atau tawaran yang lain. - Boleh membantu dalam membina skor kredit, tetapi juga boleh merosakkannya
Memiliki kad kredit boleh membantu anda dalam membina skor kredit, yang seterusnya membantu meningkatkan peluang anda dalam mendapatkan pembiayaan atau produk kewangan yang lain di masa hadapan. Namun ia juga boleh merosakkan skor kredit anda sekiranya anda tidak cermat dalam penggunaan anda. - Ada had kredit yang tinggi, tetapi boleh menggalakkan terlebih belanja
Had kredit yang tinggi boleh menggalakkan pengguna terlebih belanja. Ini memudahkan anda terjebak dalam hutang jika tidak berdisiplin.
Ramai orang beranggapan bahawa kad debit lebih baik berbanding kad kredit, namun anggapan itu kurang tepat. Kad debit dan kad kredit boleh memberi manfaat atau kerugian bergantung kepada pengguna, keadaan, dan cara penggunaan.
Pada dasarnya, kad debit baik digunakan jika anda ingin membuat pengeluaran wang tunai secara kerap. Manakala kad kredit pula baik digunakan bila anda membeli-belah dalam talian bagi mengurangkan risiko penipuan atau kecurian.
Walaupun pencuri masih boleh menggunakan kad kredit bagi membeli sesuatu, dia tidak boleh mengakses wang yang ada di dalam akaun anda.
Dan apabila anda sedar bahawa terdapat transaksi yang anda tak pernah buat, anda boleh mengadu kepada pihak bank dan bank akan serta-merta menyekat kad kredit tersebut dan anda tidak akan dikenakan caj untuk transaksi itu.
Jika anda sedang mencari kad kredit Islamik patuh Syariah yang terbaik , anda boleh memohon di Assidq.com sekarang! Assidq.com merupakan platform padanan terbaik bagi tawaran-tawaran kewangan Islamik.