Dikemas kini 15hb July 2020.
Di Malaysia, pembiayaan perumahan merupakan pembiayaan yang paling sukar untuk diperolehi disebabkan oleh peraturannya yang ketat, sehinggakan kerajaan telah meminta Bank Negara Malaysia untuk memberikan sedikit kelonggaran kepada pembeli yang ingin membeli rumah pertama mereka.
Walaupun pembiayaan yang lain seperti pembiayaan peribadi, perniagaan, atau kereta tidak seketat pembiayaan perumahan, ramai juga pemohon yang ditolak oleh bank atas beberapa perkara. Jika anda pernah membuat permohonan pembiayaan dan ditolak bank, berikut ialah enam sebab utama kenapa anda ditolak:
1. Salah hantar dokumen atau dokumen tak lengkap.
Dokumen yang diperlukan oleh pihak bank adalah berlainan bergantung kepada status pekerjaan pemohon, sama ada pemohon ialah pekerja tetap atau bekerja sendiri. Bagi pekerja tetap, dokumen asas yang diperlukan biasanya ialah:
- Salinan kad pengenalan (depan dan belakang), DAN
- Slip gaji 3 bulan terkini (yang telah disahkan), ATAU
- Penyata bank 3 bulan terkini (yang menunjukkan kemasukan gaji), ATAU
- Salinan Surat Tawaran Bekerja (sekiranya anda bekerja kurang daripada tiga bulan), ATAU
- Salinan penyata KWSP, ATAU
- Salinan Borang EA atau BE yang terkini (disertai dengan resit pembayaran cukai).
Manakala bagi anda yang bekerja sendiri, berikut ialah dokumen asas yang diperlukan:
- Salinan kad pengenalan (depan dan belakang), DAN
- Salinan penyata KWSP yang terkini, ATAU
- Salinan Borang Pendaftaran Perniagaan, ATAU
- Salinan penyata kewangan (yang diaudit), ATAU
- Salinan Borang B terbaru (termasuk resit pembayaran cukai / CPO2).
Jika permohonan anda ditolak, cuba lihat semula sama ada anda telah melakukan sesuatu kesilapan yang anda terlepas pandang. Walau sekecil mana pun kesalahan yang dibuat, contohnya seperti tersalah isi maklumat peribadi atau terlupa melampirkan resit pembayaran cukai, ia boleh memberi kesan terhadap permohonan anda.
2. Tiada pendapatan tetap/stabil
Pemohon yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau stabil biasanya sukar diterima oleh bank kerana mereka dikhuatiri tidak mampu untuk membayar semula pembiayaan secara konsisten.
Terdapat bank yang memerlukan pemohon untuk mempunyai sekurang-kurangnya satu atau dua tahun pengalaman bekerja di syarikat terkini sebagai salah satu syarat utama yang mesti dipenuhi.
Urusan permohonan anda mungkin lebih mencabar jika anda seorang pekerja bebas atau kontrak, tetapi itu tak bermakna anda tidak boleh memohon pembiayaan. Pastikan anda boleh meyakinkan pihak bank dengan melampirkan sebanyak mungkin bukti pendapatan dan keupayaan anda membayar semula pembiayaan tersebut.
3. Rekod pembayaran hutang yang kurang baik
Adakah anda liat dalam membayar semula pinjaman pendidikan atau hutang kad kredit? Mungkin anda sering terlewat dalam membuat pembayaran semula? Jika anda mempunyai rekod pembayaran hutang yang kurang baik, ia boleh mengurangkan keyakinan bank terhadap kemampuan anda dalam membayar semula pembiayaan secara konsisten dan menepati masa.
4. Tiada rekod kredit
Buat anda yang tidak pernah mempunyai kad kredit, ia mungkin boleh memberi kesan terhadap permohonan pembiayaan anda. Ini kerana pihak bank akan melihat rekod kredit yang ada bagi menentukan sama ada anda seorang pembayar yang bertanggungjawab atau tidak.
Jika anda belum bersedia ingin memegang kad kredit, anda juga boleh meyakinkan pihak bank (di mana anda memohon pembiayaan) dengan menggunakan salah satu kemudahan perbankan mereka, seperti akaun simpanan atau akaun deposit tetap, dan buktikan kepada mereka bahawa anda seorang yang bertanggungjawab dalam menguruskan kewangan.
5. Terlalu banyak komitmen kewangan
Jika anda memiliki beberapa hutang ketika membuat permohonan, seperti hutang pendidikan, kad kredit, atau hutang kereta, ia menunjukkan bahawa anda mempunyai terlalu banyak komitmen kewangan yang belum selesai, sekaligus mengurangkan keyakinan pihak bank terhadap keupayaan anda dalam membayar semula pembiayaan yang ingin dipohon.
6. Rekod kewangan yang tidak baik
Agensi laporan kredit seperti RAM Credit Information Sdn Bhd dan CTOS Data Systems Sdn Bhd akan menjejak rekod kewangan anda. Sekiranya anda pernah disaman atau jatuh muflis, ia boleh memberi kesan terhadap permohonan pembiayaan anda. Bukan itu saja, Bank Negara Malaysia juga menyimpan rekod permohonan pembiayaan yang ditolak sebelum ini (jika anda pernah membuat permohonan).
Untuk mengelak daripada ditolak lagi, pastikan anda tidak melakukan kesalahan dalam permohonan yang baru. Buktikan kepada pihak bank bahawa anda seorang yang bijak dalam menguruskan kewangan dan mampu membayar semula pembiayaan tersebut.
Baca: 7 Perkara Yang Anda Boleh Buat Jika Permohonan Pembiayaan Ditolak