Tahun 2020 yang dinantikan telah pun tiba. Seperti biasa, pasti ramai yang membuat azam dan sasaran sempena dengan tahun baru. Bagaimanapun, terdapat golongan yang memandang sinis terhadap kegiatan membuat azam tahun baru ini.
Bagi mereka, sesuatu perubahan sikap yang positif perlulah dilakukan secepat yang mungkin tanpa perlu menunggu kedatangan tahun baru.
Walaupun terdapat kebenaran pada pandangan tersebut, beberapa kajian sains yang telah dilakukan mendapati terdapat kelebihan psikologi apabila seseorang meletakkan sasaran atau azam tahun baru.
Kunci sesuatu kejayaan adalah melakukan perubahan atau meletakkan sasaran secara berperingkat. Misalnya, sasaran yang hendak dicapai dalam tempoh tiga bulan, enam bulan, dan seterusnya setahun.
Sasaran jangka pendek ini membantu dalam mengekalkan motivasi dan fokus, disamping mengurangkan simptom ‘burnout’. Ia juga memudahkan anda untuk menjejak pencapaian yang anda lakukan. Apabila selesai sesuatu peringkat, anda boleh meletakkan sasaran baru.
Tahun 2020 juga menandakan dekad yang baru yang lebih mencabar dengan kehadiran revolusi industri 4.0. Sekiranya pengurusan kewangan anda masih lagi berada pada tahap yang rendah, anda boleh gunakan permulaan tahun ini untuk mula mengamalkan beberapa tabiat kewangan yang baru, seperti yang berikut:
- Berbelanja mengikut kemampuan
Menurut laporan The Star, Malaysia mempunyai antara kadar hutang isi rumah yang tertinggi di Asia. Oleh sebab itu, anda perlu mengenal pasti perbezaan di antara kemahuan dan keperluan.
Anda juga perlu merekodkan setiap perbelanjaan yang anda lakukan, termasuklah perbelanjaan yang kecil. Anda boleh menggunakan aplikasi belanjawan yang terdapat dalam telefon pintar bagi tujuan ini.
- Mengikuti belanjawan yang tersusun
Selain berbelanja mengikut kemampuan, anda hendaklah mempunyai belanjawanan bulanan yang baik. Di antara kaedah yang seringkali digunakan adalah kaedah 50/30/20 yang sangat mudah diikuti:
- 50% daripada pendapatan bulanan digunakan untuk perbelanjaan ‘keperluan’ seperti bayaran rumah, api dan air, makanan, dan lain-lain.
- 30% daripada pendapatan digunakan untuk perbelanjaan ‘kemahuan’ seperti hiburan, pakaian baru, dan lain-lain.
- 20% daripada pendapatan digunakan untuk simpanan, pelaburan, dan bayaran hutang.
- Mempunyai dana kecemasan dan persaraan
Sekiranya anda tidak mempunyai belanjawan yang baik, besar kemungkinan juga anda tidak akan menyimpan wang dengan kerap.
Terdapat tiga jenis dana simpanan yang perlu anda sediakan iaitu bagi tujuan kecemasan, persaraan, dan perbelanjaan peribadi (dalam kategori ‘kemahuan’) seperti untuk percutian dan sebagainya.
Antara tiga jenis dana ini, dana kecemasan dan persaraan adalah yang paling penting sekali. Sekiranya pendapatan anda adalah terhad, potong sedikit daripada bahagian perbelanjaan peribadi untuk dimasukkan ke dalam dana kecemasan.
Anda dinasihatkan untuk mempunyai jumlah simpanan sekurang-kurangnya sebanyak tiga hingga enam bulan gaji dalam dana kecemasan tersebut.
- Mengurangkan hutang sedia ada
Hutang dengan kadar bunga yang tinggi akan membebankan anda dalam jangka masa panjang. Terdapat tiga kaedah yang seringkali digunakan untuk menyelesaikan hutang:
- Strategi Bebola Salji (Snowball)
Anda perlu menyenaraikan dan menyusun semua akaun hutang anda mengikut jumlah yang paling kecil sehingga yang paling besar. Tumpuan untuk pelangsaian hutang hendaklah diberikan kepada akaun dengan jumlah hutang yang paling kecil. Akaun-akaun yang selebihnya pula hanya akan dibayar jumlah yang minimum sahaja. - Strategi Penyusunan Hutang (Debt Stacking)
Anda perlu menyenaraikan dan menyusun semula hutang mengikut kadar faedah. Hutang yang mempunyai kadar faedah tertinggi perlu diberikan tumpuan untuk dilangsaikan terlebih dahulu. - Strategi Penyatuan Hutang (Debt Consolidation)
Anda menyatukan semua hutang ke dalam satu pinjaman yang baru dengan kadar faedah yang lebih rendah.
- Membuat pelaburan
Pelaburan adalah salah satu bentuk ‘pendapatan pasif’ iaitu wang itu berkerja untuk anda. Ia juga memberi kadar pulangan yang lebih baik dan lebih terlindung daripada ancaman inflasi. Terdapat banyak jenis pelaburan yang boleh anda buat, termasuklah:
- Deposit tetap
- Koperasi
- Unit amanah
- Bursa saham
- Hartanah
- Takaful
- Emas dan perak
Bagaimanapun, pastikan anda mempunyai ilmu serba sedikit mengenai jenis pelaburan yang ingin anda ceburi. Anda boleh dapatkan tip-tip pelaburan dengan melayari artikel-artikel lain yang terdapat di laman blog ini.