Dunia kewangan Islam merupakan di antara industri yang paling pesat berkembang di dunia. Pada tahun 2016, industri ini mempunyai nilai aset sebanyak USD2.2 trillion (RM9.2 trillion). Nilai ini dijangka akan terus berkembang dan mencapai angka USD3.8 trillion (RM15.89 trillion) pada tahun 2020.
Bidang kewangan Islam ini bukan sahaja melibatkan industri perbankan tetapi meliputi industri-industri lain seperti hartanah dan pelaburan.
Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Bank Negara pada tahun 2017, pembiayaan kewangan berbentuk Islam di negara ini sudah menguasai 34.9% daripada pasaran. Di antara kelebihan yang dimiliki adalah seperti berikut:
- Lebih adil dan terlindung dari risiko yang keterlaluan
- Lebih terlindung dari krisis
- Nilai bayaran yang jelas dan tetap
- Caj bayaran lewat yang lebih rendah
Bagaimanapun, di sebalik perkembangan pesat yang dialami, masih terdapat banyak mitos yang seringkali dikaitkan dengan dunia kewangan Islam. Berikut adalah di antara salah faham dan fakta tidak tepat yang sering didengari:
- Hanya untuk golongan Muslim
Kewujudan bidang kewangan Islam sememangnya adalah untuk menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan yang patuh shariah. Lantaran itu, golangan Muslim boleh menggunakan perkhidmatan kewangan tanpa menggadaikan prinsip-prinsip dan hukum-hukum agama.
Bagaimanapun, itu tidak bermakna golongan bukan Islam tidak boleh menggunakan perkhidmatan kewangan Islam. Tiada halangan dari sudut hukum shariah untuk perkara ini. Malahan, golongan bukan Islam semakin memberikan sambutan, baik di Malaysia mahupun di luar negara. Kelebihan-kelebihan yang terdapat pada perbankan Islam telah menarik minat mereka.
Walaupun begitu, masih ramai yang tidak tahu mengenai kelebihan-kelebihan ini dan masih mempercayai mitos bahawa kewangan Islam hanya dihadkan kepada golongan Islam. Dipercayai apabila lebih banyak penerangan dan promosi dilakukan, sambutan terhadap perkhidmatan kewangan Islam akan meningkat lebih tinggi lagi.
- Hanya melibatkan kerja-kerja amal
Kerja-kerja amal sememangnya diberikan penekanan di dalam Islam. Walaupun begitu, ia tidak bermakna pelaburan dan perkhidmatan kewangan Islam tidak melibatkan syarikat-syarikat atau perniagaan yang menjana keuntungan. Bagaimanapun, keuntungan tersebut tidak boleh melibatkan sebarang unsur riba, gharar (ketidaktentuan), atau elemen-elemen lain yang bertentangan dengan hukum shariah.
- Pelaburan tidak menguntungkan
Lanjutan daripada mitos nombor 2 di atas, masih ramai mempercayai bahawa kewangan Islam tidak mampu menjana keuntungan. Malahan, ini adalah pandangan yang turut dilemparkan kepada mana-mana pelaburan konvensional yang mementingkan etika.
Ini adalah pandangan yang tidak benar kerana kewangan Islam sebenarnya memberikan perlindungan yang lebih tinggi kepada pelabur dan semua pihak yang terlibat. Sebagai contoh, ketika kebanyakan ekonomi dunia berdepan dengan krisis sekitar tahun 2007 dan 2008, pembiayaan Islamik pula mengalami peningkatan sebanyak 25 peratus.
Oleh kerana perkhidmatan Islam adalah bebas dari sebarang unsur riba dan gharar, penindasan akan berkurangan. Oleh itu, keuntungan dapat dikongsi oleh semua pemegang taruh (stakeholders). Konsep Mudarabah yang diamalkan juga membolehkan sebarang risiko dikongsi bersama oleh semua pemegang taruh.
Selain itu, konsep patuh shariah yang diamalkan akan mengelak daripada melabur di dalam perniagaan bermasalah dan mempunyai hutang yang banyak. Lantaran itu, para pelabur hanya terlibat dengan perniagaan yang kukuh.
Penekanan kepada aspek keadilan yang diberikan terhadap semua pihak juga memastikan mereka tidak terbeban dengan bayaran atau perjanjian berat sebelah.
- Hanya melabur dalam ekuiti
Dari sudut pelaburan, masih ramai yang menganggap kewangan Islam hanya terlibat dengan pelaburan ekuiti. Ini tidak benar kerana ia juga melibatkan pelaburan komoditi, hartanah dan sukuk.
Sukuk merupakan sijil kewangan Islam yang mengambil konsep sama seperti bon dalam sistem kewangan konvensional. Bagaimanapun, seperti perkhidmatan lain dalam kewangan Islam, sukuk perlu mematuhi hukum-hukum shariah.
Kaedah pengiraaan untung adalah serupa dengan bon konvensional, tetapi di dalam kontrak sukuk, tuntutan seorang pelabur bukan pada aliran tunai semata-mata. Wang yang dijana daripada terbitan sukuk akan digunakan untuk membeli aset. Kontrak sukuk juga mesti memerlukan jaminan bahawa wang yang dijana daripada pelabur digunakan untuk membeli aset yang mana keuntungan pelabur datang daripada aset tersebut.
Malaysia merupakan peneraju dan pengeluar sukuk yang terbesar di dunia. Hampir separuh daripada pegangan pasaran adalah milik negara ini.