Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) telah dikenalpasti sebagai salah satu penyumbang terbesar kepada Kutipan Dalam Negara Kasar (KDNK) sesebuah negara. Mengikut perangkaan antarabangsa, ia menyumbang sebanyak 43.5 peratus daripada jumlah pekerjaan. Selain itu, 57.8 peratus daripada peluang pekerjaan baru juga terhasil daripada PKS.
Institusi perbankan ialah sumber utama pembiayaan PKS dan menyediakan lebih 90 peratus daripada jumlah pembiayaan. Pembiayaan PKS juga disediakan oleh Institusi Kewangan Pembangunan, Dana Bank Negara Malaysia untuk PKS dan Dana Kerajaan.
Bank Negara Malaysia telah membentangkan Pelan Induk PKS 2012-2020 bagi membantu PKS untuk terus berkembang. Di dalam pelan induk tersebut, ada disebut mengenai kepentingan bagi PKS untuk memahami industri perbankan dan kewangan Islam.
Kenapa perlu pilih pembiayaan kewangan Islam?
Di dalam perbankan Islam, konsep “pinjaman” adalah tidak betul. Ini kerana pihak pembiaya akan “membeli” barangan untuk pelanggan dan kemudian menjualnya kepada mereka pada harga yang telah dipersetujui.
Sesuai dengan peredaran masa, pembiayaan Islam telah mengalami lonjakan dari sudut populariti. Ini seperti yang dinyatakan di dalam laporan tahun 2017 yang dikeluarkan oleh Bank Negara. Pada tahun 2000, pembiayaan Islam hanya menguasai 5.3% dari bahagian pasaran. Tetapi kini, angka tersebut sudah mencecah 34.9%.
Di antara kelebihan yang ada pada pembiayaan kewangan Islam berbanding pinjaman konvensional adalah:
- Bebas dari unsur riba
- Caj bayaran lewat yang lebih rendah
- Amaun bayaran yang jelas dan tetap
- Rebat untuk penyelesaian awal
- Perlindungan insurans Takaful
Faktor-faktor di atas bukan sahaja menjadikan pembiayaan Islamik pilihan dikalangan golongan Muslim sahaja, tetapi dikalangan non-Muslim.
Kemudahan pembiayaan Islam untuk perniagaan
Dari sudut pembiayaan perniagaan, terdapat dua kategori yang ditawarkan oleh perbankan Islam iaitu Berasaskan Aset dan Berasaskan Ekuiti. Di bawah setiap ketegori juga, terdapat tiga jenis pilihan pembiayaan.
- Pembiayaan Berasaskan Aset
- Murabahah – kos tambahan atau margin keuntungan yang dimaklumkan kepada pembeli sebagai tambahan kepada harga jualan sesuatu barangan.
- Ijarah – pihak bank menyewakan aset kepada pelanggan
- Salam – Bayaran pendahuluan dilakukan untuk komodoti yang akan diterima pada masa akan dating.
- Pembiayaan Berasaskan Ekuiti
- Musharakah – perkongsian perniagaan secara usaha sama, Keuntungan perniagaan dibahagaikan mengikut nisbah yang dipersetujui.
- Musharakah mutanaqisah – perjanjian musharakah dimana pihak peniaga bersetuju untuk membeli saham rakan kongsi mengikut jadual sehingga ia memiliki kesulurahan saham
- Mudarabah – bentuk perkongsian antara pihak yang menyumbangkan modal (rabb al-mal/penyedia modal) dengan pihak lain yang menyumbangkan usaha dalam bentuk kemahiran pengurusan (mudarib/pengurus)
Artikel ini akan menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai pembiayaan Mudarabah.
Konsep berkongsi untung di dalam Mudarabah
Seperti yang dinyatakan di atas, pembiayaan Mudarabah, adalah suatu bentuk perkongsian antara pihak yang menyumbangkan modal (rabb al-mal/penyedia modal) dengan pihak lain yang menyumbangkan usaha dalam bentuk kemahiran pengurusan (mudarib/pengurus). Mengikut situasi ini pihak bank bertindak sebagai penyumbang modal manakala pihak peniaga bertindak pengurus.
Keuntungan daripada hasil perniagaan itu dikongsi antara pihak bank dengan peniaga mengikut nisbah perkongsian untung yang dipersetujui bersama. Sebarang kerugian daripada perniagaan tersebut pula akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak bank. Bagaimanapun, kerugian tersebut mestilah bukan disebabkan oleh kecuaian atau pelanggaran syarat tertentu oleh pihak peniaga.
Pihak bank sebagai penyumbang dana tidak boleh masuk campur dengan pengurusan perniagaan. Kelebihan utama bagi pembiayaan Mudarabah bagi pihak peniaga adalah seperti berikut:
- Tidak perlu mengeluarkan modal bagi perniagaan tersebut
- Perniagaan adalah usaha sama dengan bank tetapi pengurusan dikawal sepenuhnya oleh pihak peniaga
- Keuntungan dikongsi manakala kerugiaan ditanggung oleh pihak bank (dengan beberapa syarat)
- Sesuai untuk pembiayaan jangka panjang
Dapatkan tawaran pembiayaan Islam terbaik di Malaysia hari ini
AsSidq.com adalah platform sehenti anda untuk produk kewangan Islami. Kami membantu memadankan anda dengan tawaran kewangan patuh syariah yang terbaik dari rakan perbankan dan kewangan kami, berdasarkan keperluan anda.
Perkhidmatan ini disediakan percuma, mudah digunakan dan anda akan dipadankan serta-merta. Mohon sekarang dan dapatkan kelulusan dalam masa yang singkat!