Bidang kewangan Islam merupakan di antara industri yang paling pesat berkembang di dunia. Pada tahun 2016, industri ini mempunyai nilai aset sebanyak USD2.2 trillion (RM9.2 trillion). Nilai ini dijangka akan terus berkembang dan mencapai angka USD3.8 trillion (RM15.89 trillion) pada tahun 2020.
Malaysia sememangnya terkenal sebagai negara yang mempunyai industri perbankan dan kewangan Islam yang terbaik di dunia. Sejak tertubuhnya Akta Bank Islam pada tahun 1983, industri ini telah melalui pelbagai perkembangan yang pesat.
Malahan, mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Bank Negara pada tahun 2017, pembiayaan kewangan berbentuk Islamik di negara ini sudah menguasai 34.9% daripada pasaran.
Di antara kelebihan yang dimiliki perbankan Islam berbanding perbankan konvensional adalah seperti berikut:
- Lebih adil dan terlindung dari risiko yang keterlaluan
- Lebih terlindung dari krisis
- Amaun bayaran yang jelas dan tetap
- Caj bayaran lewat yang lebih rendah
Laman blog ini menyediakan pelbagai maklumat menarik mengenai perbankan Islam, baik di dalam Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris. Bagaimanapun, bagi anda yang belum biasa dengan industri ini, mungkin terdapat istilah-istilah yang kurang difahami.
Berikut adalah ringkasan penjelasan terma-terma yang lazim dijumpai di dalam perbankan Islam:
- Al-bai’ – Akad jual beli.
- Bai ‘inah — Akad sewa yang disusuli dengan pemilikan barang oleh penyewa melalui akad jual beli.
- Bai’ dayn — Akad jual beli hutang.
- Faraid — Ilmu pengetahuan atau hukum tentang pembahagian harta pusaka mengikut peraturan Islam.
- Fiqh muamalat — Disiplin ilmu yang membahaskan hukum berkenaan dengan urusan kehidupan manusia sesama manusia.
- Gharamah – Denda ataupun penalti.
- Gharar – Sebarang unsur syak, keraguan, ketidaktentuaan, atau ketidakjelasan.
- Hibah – Hadiah.
- Ibra’ – Rebat atau pengguguran sebahagian atau keseluruhan tuntutan terhadap sesuatu hak atau hutang. Kebiasaannya diberikan sekiranya pelanggan melangsaikan keseluruhan pembiayaan dalam tempoh yang lebih awal.
- Ijarah — Akad sewa atau upah yang melibatkan faedah/manfaat daripada sesuatu aset atau tenaga kerja dengan bayaran atau upah tertentu dalam tempoh yang dipersetujui. Kebiasaannya pihak bank menyewakan aset kepada pelanggan.
- Istisna’ — Akad jual beli secara tempahan bagi sesuatu produk dengan spesifikasi tertentu dan dengan kaedah penyerahan dan pembayaran tertentu (sama ada tunai atau bertangguh).
- Maysir – Perjudian atau unsur-unsur yang menyerupai perjudian.
- Mudarabah — Bentuk perkongsian antara pihak yang menyumbangkan modal (rabb al-mal/penyedia modal) dengan pihak lain yang menyumbangkan usaha dalam bentuk kemahiran pengurusan (mudarib/pengurus).
- Murabahah — Kos tambahan atau margin keuntungan yang dimaklumkan kepada pembeli sebagai tambahan kepada harga jualan sesuatu barangan.
- Musawamah — Akad jual beli tanpa pendedahan harga kos aset dan margin keuntungan kepada pembeli.
- Musyarakah — Perkongsian perniagaan secara usaha sama, Keuntungan perniagaan dibahagaikan mengikut nisbah yang dipersetujui.
- Musyarakah mutanaqisah — Perjanjian musyarakah dimana pihak peniaga bersetuju untuk membeli saham rakan kongsi mengikut jadual dan berdasarkan syarat-syarat yang dipersetujui sehingga ia memiliki kesulurahan saham.
- Qard – Akad pinjaman.
- Rahn – Gadaian atau cagaran.
- Riba — Biasanya diterjemahkan sebagai “faedah” iaitu amaun lebihan yang dicajkan ke atas sebarang transaksi urusniaga.
- Sukuk — Sijil nilai yang sama yang membuktikan pemilikan yang tidak berbelah bahagi atau pelaburan dalam aset yang menggunakan prinsip dan konsep Syariah yang disahkan.
- Ta’ widh – Pampasan.
- Tabarru’ – Pemberian atau sumbangan secara sukarela.
- Takaful — Suatu skim yang bercirikan semangat bantu-membantu dan tolong-menolong dengan menyediakan bantuan kewangan kepada peserta-peserta jika diperlukan dan semua peserta sama-sama bersetuju untuk memberikan sumbangan bagi tujuan tersebut.
- Tawarruq/komoditi murabahah — Membeli sesuatu barang dengan harga tangguh sama ada secara musawamah (rujuk no. 21) atau murabahah (rujuk no. 20), kemudian menjualnya kepada pihak ketiga bagi memperoleh wang tunai.
- Ujrah – Upah.
- Wa’d – Janji.
- Wadi’ah — Akad simpanan harta yang diamanahkan oleh satu pihak kepada pihak lain untuk dijaga dan dipulangkan apabila diminta.
- Wakalah – Akad perwakilan.
- Wakaf — Sesuatu pemberian atau sumbangan ikhlas harta yang dimiliki untuk kepentingan dan kesejahteraan umum yang dibenarkan oleh Syarak.