Dunia kewangan Islam merupakan kegiatan kewangan dan pembiayaan yang mesti memenuhi kehendak dan peraturan syariah (hukum-hukum Islam). Konsep ini juga boleh merujuk kepada bidang pelaburan yang dibenarkan mengikut peraturan syariah.
Secara umumnya, amalan-amalan yang terdapat di dalam kewangan dan perbankan Islam telah wujud seiring dengan pembentukan agama Islam itu sendiri. Bagaimanapun, pembentukan kewangan Islam sebagai bidang yang formal hanya berlaku pada abad yang ke-20.
Pada masa kini, bidang ini mengalami pertumbuhan tahunan sebanyak 15 ke 25 peratus manakala institusi-institusi kewangan Islam menguruskan lebih USD2 trillion (RM8.31 trillion).
Malaysia dikenali sebagai negara yang mempunyai industri perbankan dan kewangan Islam yang terbaik di dunia. Sejak tertubuhnya Akta Bank Islam pada tahun 1983, industri ini telah melalui pelbagai perkembangan yang pesat.
Malahan, mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Bank Negara pada tahun 2017, pembiayaan kewangan berbentuk Islamik di negara ini sudah menguasai 34.9% daripada pasaran.
Kemudahan perbankan Islam tidak terhad kepada para penganut Islam sahaja. Dewasa ini perbankan Islam juga semakin meningkat pengunaannya di kalangan orang bukan Islam.
Berikut adalah lima ciri-ciri utama kewangan Islam yang tidak terdapat pada kewangan konvensional:
1. Kewangan untuk semua lapisan masyarakat
Di dalam kewangan Islam, konsep “pinjaman” adalah tidak betul. Sebaliknya, istilah dan terma tepat yang digunakan adalah “pembiayaan”. Ini kerana pihak pembiaya akan “membeli” barangan untuk pelanggan dan kemudian menjualnya kepada mereka pada harga yang telah dipersetujui.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kewangan Islam juga perlu mematuhi hukum-hukum syariah. Ini bermakna ia bebas daripada unsur yang tidak beretika termasuk riba (kadar faedah berganda yang membebankan), gharar (penipuan), maysir (perjudian) dan zulm (amalan tidak berakhlak).
Unsur-unsur ini tidak terdapat pada kewangan konvensional, lebih-lebih lagi kebergantungan bidang tersebut dengan riba untuk menjana keuntungan.
Maka, ketiadaan unsur-unsur ini dalam kewangan Islam menjadikannya lebih adil dan mudah untuk digunakan oleh semua lapisan masyarakat, terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah. Inilah konsep yang digelar “financial inclusion”. Menurut World Bank, financial inclusion dapat membantu mengembangkan ekonomi setempat dan global dengan lebih pesat lagi.
2. Mementingkan kestabilan di dalam pelaburan
Di dalam kewangan Islam, pelaburan dilakukan melalui proses yang lebih perlahan dan teliti berbanding kewangan konvensional. Syarikat-syarikat yang mempunyai kegiatan kewangan dan operasi yang berisiko akan dielakkan oleh agensi-agensi kewangan Islam. Ketiadaan sebarang bentuk gharar dan maysir juga menjadikan pelaburan yang dilakukan lebih stabil dan terjamin berbanding kewangan konvensional.
3. Menjunjung prinsip keadilan kewangan
Keadilan kewangan merupakan suatu syarat yang perlu dipenuhi oleh produk-produk kewangan Islam. Ini berbeza dengan kewangan konvensional yang bukan sahaja mendapat keuntungan daripada aktiviti riba tetapi juga mendedahkan pengguna kepada risiko.
Sebaliknya, bidang kewangan Islam mengamalkan konsep perkongsian keuntungan dan kerugian di antara kesemua pemegang taruh (stakeholder) yang terlibat. Ini bagi mengelakkan berlakunya penindasan dan menjadikannya lebih adil, terutamanya kepada pihak pengguna.
4.Ganjaran penyelesaian awal
Kebanyakan pembiayaan Islam juga memberikan rebat sekiranya pelanggan melangsaikan keseluruhan pembiayaan dalam tempoh yang lebih awal. Rebat ini dikenali sebagai “ibra” dan bergantung kepada syarat-syarat tertentu yang telah ditetapkan oleh pihak pembiaya.
Di dalam pinjaman konvensional, bayaran penalti biasanya dikenakan terhadap peminjam sekiranya penyelesaian awal di dalam tempoh terkunci (lock-in period) dilakukan. Pihak bank secara lazimnya akan mengenakan caj penalti antara 2% hingga 3% (dari jumlah pinjaman asal) jika peminjam melangsaikan keseluruhan baki pinjamannya seawal tahun kedua atau ketiga pinjaman.
Sebagai contoh, anda mempunyai pinjaman berjumlah RM500,000 dan caj penalti bagi penyelesaian awal pula adalah pada kadar 3%. Maka, jumlah yang anda perlu bayar adalah: RM500,000 x 3% = RM15,000.
5. Perlindungan insurans Takaful
Majoriti pembiayaan kewangan Islam juga diliputi dengan perlindungan insurans Takaful. Pelan insurans ini memiliki ciri patuh Shariah dan adalah berdasarkan konsep kerjasama dan perkongsian risiko.
Mengikut konsep Takaful, kesemua pemegang taruh (pengguna dan institusi kewangan) bersetuju untuk berkongsi keuntungan dan kerugian. Mereka akan memasukkan sejumlah wang yang dikenali sebagai tabarru. Pihak pengurusan Takaful akan mengendalikan operasi dana ini.