Kredit: Freepik
Di musim cuti sekolah yang panjang ni, pastinya ramai di antara kita yang ingin pergi melancong bersama keluarga. Cuti hujung tahun merupakan salah satu musim kemuncak bagi pelancongan, di mana harga bagi kebanyakan hotel dan tiket kapal terbang semakin meningkat.
Perbelanjaan anda bagi waktu ini akan menjadi lebih banyak berbanding biasa. Jangan biarkan ia menjadi halangan buat anda sekeluarga untuk pergi melancong! Ikuti beberapa tips yang mudah ini bagi mengurangkan kos melancong bersama keluarga:
- Buat perbandingan harga
Gunakan platform-platform pelancongan seperti Traveloka, Agoda, atau Trivago untuk membuat perbandingan harga tiket kapal terbang, tempat penginapan dan juga untuk mencari diskaun dan promosi yang ada. Membuat perbandingan di sebuah platform yang sama lebih memudahkan dan menjimatkan masa daripada anda membuat perbandingan secara satu demi satu. - Sewa satu rumah atau kondo
Menyewa sebuah rumah atau kondo biasanya lebih menjimatkan, lebih-lebih lagi jika anda bercadang untuk menginap lama. Bukan itu saja, anda juga berpeluang untuk memasak sendiri, ini sememangnya lebih menjimatkan berbanding makan di luar. Jika anda tak ingin memasak ketika bercuti, cari rumah atau kondo di mana pemilik rumah turut menawarkan sarapan pagi, tengahari atau makan malam. Di platform seperti Airbnb terdapat banyak rumah atau unit kondo untuk disewa yang turut menyediakan sarapan dan makan tengahari atau malam.
- Bawa stok makanan sendiri
Jika anda bercadang memasak sendiri, bawa stok makanan yang mudah dibawa dan dimasak seperti mi segera atau paket makanan yang sedia dimakan seperti Brahim’s, terutamanya jika anda melancong ke negara bukan Islam di mana makanan halal amat sukar didapati. Jangan lupa kudapan untuk anak-anak anda. - Dapatkan pakej keluarga jika tinggal di hotel
Jika anda bercadang untuk menginap di hotel, dapatkan pakej keluarga atau sebarang promosi khas untuk keluarga. Anda boleh terus hubungi hotel yang berkenaan atau cari promosi ini di platform-platform pelancongan. - Pastikan setiap ahli keluarga bawa bagasi sendiri
Buat anda yang bakal menaiki kapal terbang, pastikan anda tahu had berat bagi bagasi kabin dan berdaftar. Kebanyakan syarikat penerbangan akan memberi had berat bagi setiap individu, jadi sebaiknya setiap ahli keluarga anda membawa bagasi sendiri agar tidak melebihi had yang ditetapkan. Ini kerana mengisi barangan semua orang dalam satu beg besar akan melebihi had berat. - Lawat tempat tumpuan pelancong dengan kemasukan percuma atau murah
Setiap destinasi akan ada tempat tumpuan pelancong dengan kemasukan percuma atau murah, contohnya seperti muzium, planetarium atau galeri kesenian. Buat senarai bagi destinasi anda sebelum anda berangkat. - Bawa barangan dan kelengkapan yang bersesuaian
Sekiranya tukaran mata wang di destinasi anda lebih tinggi, lebih baik anda membeli sebarang barangan dan keperluan khas di sini sebelum anda berangkat. Sebagai contoh, jika anda bercadang ingin melakukan aktiviti seperti menyelam atau menerokai gua, pastikan anda bawa kelengkapan yang sesuai. - Menginap di pinggir bandar atau luar bandar
Penginapan di pinggir bandar atau luar bandar selalunya lebih murah berbanding penginapan di pusat bandar. Pastikan tempat penginapan anda berdekatan dengan pengangkutan awam atau mempunyai perkhidmatan sewa kereta jika anda tidak membawa kenderaan sendiri. - Jalan kaki atau gunakan pengangkutan awam atau aplikasi pengangkutan
Sekiranya tempat yang ingin anda lawati berdekatan dengan tempat penginapan anda, lebih baik anda berjalan kaki, gunakan pengangkutan awam atau aplikasi pengangkutan seperti Grab untuk lebih jimat. - Gunakan kad kredit bagi lebih penjimatan
Kad kredit sering dipandang negatif, namun dengan penggunaan yang bijak dan cermat, ia sebenarnya banyak membantu anda untuk lebih berjimat.
Sebagai contoh, kad kredit untuk melancong (travel credit card) membolehkan anda mengumpul mata (points) dan seterusnya membuat penebusan bagi tiket kapal terbang, hotel, hadiah dan pelbagai tawaran istimewa yang lain.
Sebagai pemegang kad ini, anda juga boleh mengakses airport lounge atau menerima kelebihan seperti priority boarding, di mana anda diberi keutamaan untuk masuk kapal terbang lebih awal berbanding penumpang lain. Cari kad kredit Islamik untuk melancong yang terbaik buat anda di AsSidq.com!