Pada bulan lepas, ramai yang telah mengambil kesempatan untuk membeli-belah dalam talian sempena 11/11. Pada bulan Disember ini pula, anda berpeluang untuk berbuat demikian sekali lagi pada 12/12 nanti.
11/11 atau 11 November turut dikenali sebagai “Singles Day” di mana ia memaparkan pelbagai tawaran dan diskaun menarik bagi pembelian dalam talian. Pada tahun 2017, laman e-dagang Alibaba mencatatkan jualan sebanyak USD25.4 billion (RM106.14 billion) pada Singles Day!
Alibaba kemudiannya terlibat dalam mengadakan ‘sekuel’ kepada perayaan tersebut iaitu 12/12 yang jatuh pada 12 Disember. Juga dikenali dengan nama “Double 12”, ia bertujuan untuk mempromosikan perniagaan dan jenama-jenama kecil dan sederhana. Ini kerana kebanyakan jenama tersebut sukar bersaing dengan syarikat-syarikat yang besar semasa Singles Day.
Mengikut perangkaan yang terkini, terdapat lebih 16.53 juta penduduk Malaysia yang merupakan pembeli dalam talian. Angka tersebut merupakan di antara yang tertinggi di rantau ini, memandangkan ia meliputi 50 peratus daripada jumlah penduduk.
Di sebalik peningkatan populariti aktiviti ini, anda dinasihatkan untuk berhati-hati semasa membeli-belah dalam talian. Di antara yang perlu anda lakukan untuk kekal selamat termasuklah:
- Jangan gunakan Wi-Fi awam
Setiap kali anda memasukkan maklumat peribadi anda melalui rangkaian awam, anda terdedah kepada risiko kecurian identiti.
Kebanyakan hotspot Wi-Fi seperti di kafe atau restoran tidak menggunakan kaedah penyulitan data (data encryption).
Pastikan aktiviti membeli-belah dalam talian anda dilakukan di rumah atau dengan menggunakan perkhidmatan internet peribadi.
- Sentiasa semak penyata kad kredit
Di antara kelebihan pembelian dalam talian adalah setiap transaksi perbankan anda direkodkan.
Bagaimanapun, sekiranya anda lambat bertindak, ia akan menyulitkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.
Malahan, ramai yang tidak ambil peduli dan tidak sedar kad kredit mereka telah digunakan. Pastikan anda menyemak penyata anda dengan kerap.
- Tukar kata laluan dengan kerap
Ini sebenarnya panduan yang biasa kita dengar untuk penggunaan internet secara umum.
Tetapi, sekiranya anda seorang yang kerap membeli-belah dalam talian, penukaran kata laluan semakin meningkat kepentingannya.
Elakkan daripada menggunakan kata laluan yang mudah diteka seperti nama atau tarikh lahir.
- Mendaftar untuk menggunakan kaedah pengesahan yang lebih baik
Daftar untuk menggunakan kaedah pengesahan dua faktor, di mana pengesahan peringkat kedua akan dilakukan untuk melindungi transaksi anda. Contoh termasuklah kod SMS dan pengesahan biometrik pada telefon pintar.
- Pastikan URL yang selamat
Pastikan anda berada di laman sesawang yang selamat dengan menyemak alamat URL (Uniform Resource Locator) yang dimulai dengan “https://” dan bukannya “http://”. Pastikan juga imej ibu kunci tertutup tertera pada bar status pelayar web anda.
- Gunakan e-dompet
Menurut pendapat pakar siber, penggunaan aplikasi e-dompet adalah lebih selamat daripada memasukkan data kad kredit anda secara terus kepada laman di mana anda melakukan aktiviti membeli-belah.
Ini kerana e-dompet bertindak sebagai orang tengah dan laman tersebut tidak mendapat akses kepada maklumat perbankan anda.
- Jangan tekan hiperpautan emel
Elakkan daripada diarah masuk ke laman web bank atau hiperpautan (hyperlink) ke laman web tersebut daripada emel atau laman sesawang yang lain. Sentiasa memasukkan URL laman web secara terus ke pelayar sesawang.
- Berhati-hati apabila memuat turun perisian
Periksa program atau lampiran yang diterima melalui emel dengan program penentang virus yang terkini. Jangan sesekali memuat turun sebarang fail atau perisian daripada laman sesawang atau sumber yang kurang dikenali.
- Lindungi komputer anda
Pastikan komputer peribadi anda dilengkapi dengan dinding keselamatan (firewall) peribadi dan program penentang virus (antivirus) yang bereputasi.
Ini dapat melindungi komputer anda daripada diserang oleh virus, pengintip, dan program perosak seperti “Trojan Horse”.
Pastikan juga sistem kendalian dan pelayar web adalah yang terkini dan dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang terbaru.
- Sentiasa ingat untuk log keluar
Sesudah melakukan aktiviti membeli-belah dalam talian, sentiasa ingat untuk log keluar dari sebarang akaun perbankan internet anda. Sekiranya anda menggunakan komputer peribadi, padamkan peti ingatan dan sejarah transaksi.