Kehidupan junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW sememangnya dipenuhi dengan cabaran, mulai dari saat baginda lahir lagi sehinggalah baginda wafat.
Sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi nabi dan diberi misi untuk berdakwah, kehidupan baginda sebagai seorang pedagang yang dihormati boleh dikatakan selesa, kerana baginda tidak mempunyai masalah kewangan yang terlalu serius.
Namun setelah baginda diangkat sebagai nabi dan diberi tanggungjawab untuk berdakwah kepada para penduduk Mekah, yang pada ketika itu berpegang kuat kepada ajaran Paganisme, keadaan kewangan Nabi Muhammad berubah menjadi tidak begitu baik.
Ini terbukti melalui beberapa riwayat hadis, yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad dan isterinya Aishah hanya memakan buah kurma dan meminum air, dan sekali-sekala susu unta yang diberi oleh jiran-jiran (dari puak Ansar) yang memiliki unta.
Salah seorang sahabat Rasulullah, iaitu Amr Ibn Al-Hareth, pernah berkata bahawa ketika baginda wafat, Nabi Muhammad tidak meninggalkan sebarang duit atau harta benda kecuali seekor keldai putih, senjata dan sebidang tanah yang disedekahkan.
Walaupun dengan status baginda yang tinggi (sebagai seorang nabi dan pemimpin yang disegani), kehidupan Nabi Muhammad amat sederhana sekali. Ini sesuatu yang amat bertentangan dengan golongan berkuasa yang lazimnya berharta dan kaya-raya.
Banyak yang boleh kita ambil inspirasi dari gaya hidup junjungan besar kita dalam berjimat cermat dan hidup sederhana:
- Jimat barangan dapur dengan bercucuk tanam
Bercucuk tanam dianjurkan oleh Nabi Muhammad. Dari Jabir bin Abdullah RA, dia bercerita bahawa Rasulullah pernah bersabda:
“Tidaklah seorang Muslim menanam suatu tanaman melainkan apa yang dimakan dari tanaman itu sebagai sedekah baginya, dan apa yang dicuri dari tanaman tersebut sebagai sedekah baginya dan tidaklah kepunyaan seorang itu dikurangi melainkan menjadi sedekah baginya.” (HR Imam Muslim)
Daripada hadis ini, kita boleh simpulkan bahawa bercucuk tanam bukan saja boleh memanfaatkan kita (serta orang dan haiwan lain) di dunia, tetapi juga di akhirat. Ini kerana tanaman yang kita tanam itu dikira sebagai sedekah.
Dengan menanam sayur-sayuran dan buah-buahan sendiri, kita juga boleh jimat barangan dapur. Sekiranya anda mempunyai masa, kudrat dan peluang, cubalah menanam sayuran dan buahan yang disukai yang mudah ditanam dan dijaga.
- Cuba baiki semula barangan yang rosak
Sepanjang hayat baginda, Nabi Muhammad rajin menjahit semula pakaian yang koyak atau memperbaiki kasut yang rosak. Memperbaiki semula barangan yang rosak, berbanding membeli barangan yang baru, sememangnya lebih menjimatkan.
Dengan teknologi yang ada, kita boleh belajar pelbagai kemahiran hidup dengan mudah dan pantas melalui internet, contohnya seperti kemahiran menjahit dan kemahiran memasang atau membaik pulih kelengkapan rumah.
Kemahiran hidup yang diasah boleh membantu anda berjimat dalam jangka panjang. Bukan saja ia menjimatkan, malahan anda juga secara tak langsung membantu dalam memelihara alam sekitar (kepenggunaan atau konsumerisme merupakan salah satu faktor yang memusnahkan alam sekitar). - Saling bantu-membantu dalam melakukan kerja rumah
Dengan kos kehidupan yang semakin meningkat, bukan semua orang mampu untuk mengupah pembantu rumah yang memakan belanja sehingga ribuan Ringgit (termasuk risiko pembantu rumah lari yang boleh menyebabkan kerugian besar kepada anda sebagai majikan).
Bagi isi rumah di mana pihak isteri juga bekerja sepenuh masa, sebilangannya mungkin akan mengupah tukang cuci mingguan sekiranya isteri terlalu penat untuk melakukan kerja rumah, manakala sebilangan yang lain pula hanya mengharapkan isteri sepenuhnya dalam menyelesaikan kerja rumah.
Sangat tidak adil untuk mengharapkan satu pihak saja dalam membuat semua kerja rumah. Membantu isteri dalam membuat kerja rumah merupakan sunnah Nabi Muhammad yang sayangnya masih diambil ringan oleh masyarakat kita.
Bagi isi rumah yang tidak mampu mengupah pembantu rumah, saling bantu-membantu dalam membuat tugasan rumah bukan saja boleh mengeratkan kasih sayang, tetapi juga menjimatkan lebih wang kerana anda tidak perlu mengupah tukang cuci mingguan yang boleh mencecah ratusan Ringgit bagi setiap sesi.
- Bersederhana dalam pemakanan
Sekiranya anda rajin meneliti hadis, anda boleh dapati bahawa Nabi Muhammad ialah seorang yang sangat sederhana dalam pemakanannya. Baginda hanya makan demi mengalas perut, dan turut menggalakkan umatnya untuk berhenti makan sebelum kenyang. Bersederhana dalam pemakanan juga boleh menjimatkan, selain menyihatkan tubuh badan.
Apakah sifat Rasulullah SAW yang paling anda kagumi dan ingin contohi?