Blockchain, atau rantaian blok, pada dasarnya ialah sistem rekod yang tidak berubah di mana setiap bahagian blok akan merekod dan menyimpan butir-butir penting yang tidak boleh diubah kecuali melalui persetujuan bersama setiap ahli yang ada dalam rantaian tersebut.
Setiap blok terkait menggunakan kriptografi dan mengandungi maklumat penting seperti data cap waktu dan transaksi. Dengan rekod yang tidak boleh diubah ini, ia akan memudahkan pihak yang ingin menjejak rantaian bekalan dan membuat pengesahan bagi sesuatu perkara.
Terdapat tiga peringkat blockchain:
- Simpanan rekod digital
Blockchain membolehkan kawalan maklumat dijalankan melalui rekod yang selamat, boleh diaudit dan tidak berubah bagi setiap transaksi dan aset digital. - Penukaran aset digital
Pengguna boleh mengeluarkan aset baru dan memindahkan pemilikan dalam masa nyata tanpa melalui bank, bursa saham atau pemproses pembayaran. - Perlaksanaan kontrak pintar
Kontrak yang terkawal sendiri meringkaskan dan mengautomasikan proses perniagaan yang panjang dan kurang cekap. Setiap terma dan syarat dicatatkan dalam kod kontrak. Kontrak seterusnya dilaksanakan secara automatik dan pematuhan akan dipantau. Pengesahan dibuat dengan segera tanpa penglibatan pihak ketiga.
Dalam blockchain halal, badan pensijilan halal, pembekal, penyedia perkhidmatan logistik, pengilang, pengedar dan peruncit semua menggunakan kontrak pintar dan lejar yang sama.
Membantu dalam menangani masalah status halal yang meragukan
Terdapat pelbagai kes produk halal palsu dan status halal yang meragukan yang dilaporkan di Malaysia. Ini menyebabkan ramai pengguna Islam semakin berhati-hati dalam membeli sesuatu produk, sehingga meningkatkan keperluan bagi ketelusan dalam segmen ini. Sesetengah pakar berpendapat penyelesaiannya terletak pada teknologi blockchain.
Penipuan status halal boleh merugikan perniagaan. Ini kerana pelanggan boleh menyaman syarikat yang terlibat dalam penipuan tersebut.
Dengan adanya teknologi blockchain dalam industri halal, semua pihak yang terlibat, termasuklah badan pensijilan halal, makmal, penyedia teknologi, rumah penyembelihan, ladang, pengilang dan pengedar boleh bekerjasama dalam perkongsian data bagi membendung gejala produk halal palsu atau status halal yang meragukan.
Blockchain meningkatkan ketelusan dengan menjejaki maklumat yang direkodkan di setiap peringkat secara digital, contohnya dari Penyembelihan, Pembungkusan, Penerimaan dan Penyimpanan di Gudang, Penempatan di Kedai sehinggalah kepada Pembelian. Setiap maklumat yang direkodkan akan tersedia untuk sesiapa sahaja bagi mereka jejaki.
Di samping dapat menjejaki dan mengesan pengeluaran dan bahan-bahan halal, teknologi blockchain juga boleh membantu dalam mengesahkan kesahihan sijil halal pengeluar sebelum pengguna membuat pembelian. Data akan diselidiki dan dijamin menerusi lejar blockchain bagi memerangi penipuan dan pemalsuan status halal.
Terdapat beberapa aplikasi pengesanan halal menggunakan teknologi blockchain (yang masih dalam pembinaan) yang membolehkan pengguna mengenalpasti sama ada sesuatu produk dihasilkan daripada sumber-sumber halal. Bagi pengguna Islam, aplikasi seperti ini sangat diperlukan.
Teknologi blockchain dalam industri halal di Malaysia
Disebabkan oleh betapa pentingnya rantaian bekalan yang dapat dijejaki sepenuhnya, terdapat beberapa syarikat di Malaysia yang mula membuat perjanjian perkongsian untuk menubuhkan dan menyediakan solusi menggunakan teknologi blockchain bagi industri halal.
Sebagai contoh, Islah Venture, Hab Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHH), A-Transglobal Logistics dan TE-FOOD International telah menandatangani perjanjian ketika MIHAS 2019 yang lalu bagi tujuan ini.
Dengan sifatnya yang telus dan mampu membuat pengesanan, teknologi blockchain dijangka akan menjadi suatu jalan penyelesaian yang baik dalam menyediakan data yang boleh dipercayai dan meningkatkan kepercayaan dalam rantaian bekalan halal; meningkatkan proses halal dengan cekap dari awal hingga akhir; meningkatkan kelestarian rantaian bekalan halal; dan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap jenama halal serta pengiktirafan global bagi produk halal Malaysia.
Teknologi blockchain dalam industri halal memberi kelebihan kepada pengeluar, pemilik jenama, peruncit, penyedia perkhidmatan logistik, pengedar, dan badan pensijilan halal dalam hal meningkatkan kepercayaan pengguna Islam.