Secara harfiah, tawarruq bermaksud perak atau wang perak. Ia ditakrifkan sebagai pembelian komoditi dengan pembayaran yang bertangguh dan penjualan komoditi kepada pihak yang lain pada harga yang lebih rendah dengan pembayaran yang serta-merta.
Dalam kata lain, tawarruq ialah pembelian komoditi secara kredit di mana pembeli kemudiannya menjual komoditi tersebut kepada pihak lain dengan menerima bayaran secara tunai. Perjanjian tawarruq melibatkan dua kontrak berasingan yang lengkap dan mengikat di antara pihak-pihak yang terlibat.
Terdapat lima perkara yang merupakan ‘tiang’ kepada tawarruq, iaitu:
- Komoditi (yang patuh Syariah),
- Pembeli asal,
- Mutawarriq (Pelanggan),
- Wariq (jumlah yang perlu dibayar kepada Pelanggan atas penjualan komoditi kepada mana-mana pihak ketiga oleh Bank sebagai ejen kepada Pelanggan), dan
- Pembeli akhir
Tawarruq boleh dibahagikan kepada dua jenis yang utama, iaitu:
Tawarruq al-fardh (tawarruq klasik)
Tawarruq al-fardh ialah suatu situasi dimana pembeli pertama/asal membeli barangan secara bertangguh/ansuran daripada penjual pertama dan kemudian menjualnya kepada pihak ketiga secara tunai dengan harga yang rendah dengan tujuan untuk mendapatkan tunai dengan segera.
Dalam situasi ini, pihak ketiga tidak mempunyai kaitan langsung dengan penjual pertama. Oleh itu, penjual yang pertama tidak boleh dikaitkan dengan jualan tunai yang dilakukan oleh pihak pembeli barangan selepas itu.
Sebagai contoh, Encik Ahmad memerlukan wang untuk menjalankan perniagaan dengan peluang pulangan sebanyak 40%-50%. Beliau memerlukan RM100,000 bagi menjalankannya.
Untuk tujuan ini, Encik Ahmad meninjau pasaran bagi komoditi cair yang boleh dijual dengan cepat untuk mendapatkan wang tunai. Beliau berjaya mengenalpasti permintaan yang ada bagi bijian kopi dari beberapa pembeli.
Encik Ahmad kemudiannya pergi ke pembekal bijian kopi dan membuat rundingan untuk mendapatkan bijian tersebut. Beliau membuat tawaran untuk membeli bijian (yang bernilai di antara RM95,000 – RM100,000) pada harga RM120,000, di mana bayaran tersebut akan diselesaikan dalam jangka masa 12 bulan.
Pembekal pun bersetuju dengan tawaran ini, dan Encik Ahmad kemudian memperoleh bijian kopi tadi dan menjualnya pula kepada para pembeli yang menginginkan bijian kopi tersebut (pihak ketiga) bagi mendapatkan wang tunai untuk menjalankan perniagaannya.
Tawarruq munazzam (tawarruq terancang)
Tawarruq munazzam melibatkan situasi dimana seseorang pelanggan (mutawarriq) membeli barang yang ada di pasaran dalam atau luar negara secara bertangguh.
Dalam situasi ini, institusi kewangan yang terlibat akan bertanggungjawab dalam mengurus atau mengatur perjanjian melalui ejen atau secara langsung di antara pelanggan dan institusi kewangan tersebut pada harga yang lebih rendah.
Tawarruq munazzam mungkin sesuai buat mereka yang tidak berkemahiran untuk mendapatkan wang tunai dengan memasuki pasaran fizikal, mencari pembeli dan membuat rundingan harga dengan pembekal secara individu.
Seseorang pelanggan yang memerlukan wang tunai boleh mendekati pihak yang berkemahiran untuk melaksanakan tujuan tersebut. Dalam hal ini, bank merupakan pihak yang mampu membantu disebabkan oleh infrastrukturnya yang menyokong proses perjanjian, seperti:
- Kakitangan yang mahir dalam tempahan komoditi dan mampu mengenalpasti komoditi cair dengan permintaan yang tinggi dan mudah dijual (dilupuskan) di pasaran. Minyak sawit mentah dan logam merupakan contoh komoditi yang biasa digunakan kerana permintaannya yang stabil dan berterusan.
- Sistem dalaman yang boleh menjejaki dan memantau bukti, pemilikan dan pergerakan komoditi yang digunakan.
- Hubungan yang kukuh dengan broker komoditi dan bursa komoditi di mana transaksi perdagangan boleh dilaksanakan.
- Proses transaksi yang jelas yang dikawal dan dipantau untuk memastikan urutan dan pemindahan dilaksanakan sewajarnya mengikut undang-undang dan peraturan Syariah.
- Dokumentasi yang diluluskan oleh Syariah untuk mengenalpasti hutang yang terhasil dari jualan komoditi Murabahah.
Dengan semua infrastruktur yang dinyatakan ini, pihak Syariah dapat memantau dan mengatur pelaksanaan transaksi Tawarruq dan memastikan kesahihannya.
Pihak bank juga dapat menguruskan pelbagai risiko yang timbul dengan sewajarnya kerana tawarruq yang dirancang akan mengurangkan risiko seperti risiko penilaian, risiko pemilikan dan risiko pasaran.
Di bawah perjanjian tawarruq, urutan bagi pemindahan komoditi amat penting sekali, kerana jika ia dilaksanakan tanpa mengikut turutan yang betul, ia akan memberi kesan yang besar yang akan merosakkan keseluruhan transaksi.