Tahun Baru Islam atau Awal Muharram membuka lembaran baru kepada semua umat Islam. Bulan Muharram merupakan bulan yang kedua paling suci.
Turut dikenali sebagai Maal Hijrah, ia mencatatkan detik-detik bersejarah di mana Nabi Muhammad SAW berpindah dari Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.
Hijrah ini merupakan lambang kebebasan umat Islam yang hidup menderita di Mekah disebabkan penganiayaan oleh golongan Quraish.
Setelah penghijrahan ini, Nabi Muhammad SAW telah menyusun semula pentadbiran negeri Madinah. Usaha ini telah menyaksikan umat Islam dan orang Yahudi hidup bersama dengan aman, dan buat pertama kalinya dalam sejarah dunia, setiap orang di bawah pentadbiran baginda mempunyai hak dan taraf kerakyatan yang sama rata.
Di kebanyakan negara Islam, termasuk di Malaysia, sambutan Maal Hijrah dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti ibadah seperti solat sunat, puasa dan amal jariah.
Selain itu, bulan Muharram juga merupakan saat yang baik untuk kita menilai semula gaya hidup kita, dan memperbaiki kekurangan yang ada untuk kehidupan yang lebih baik.
Sempena dengan Tahun Baru Islam, apa kata anda ‘berhijrah’ dari keborosan dan sikap cuai dalam menguruskan kewangan peribadi anda?
Ikuti beberapa tips ini untuk uruskan kewangan peribadi anda dengan lebih baik demi kesenangan anda pada masa hadapan:
1.Tetapkan bajet anda
Mulakan dengan menetapkan bajet jika anda tidak mempunyai bajet. Bajet amat penting dan ia membantu anda untuk lebih berdisiplin. Ikuti aturan bajet 50/20/30 yang dianjurkan oleh pakar kewangan ini:
- 50% untuk keperluan – 50% daripada gaji bersih anda hendaklah digunakan untuk keperluan utama, seperti bayaran bil elektrik, sewa rumah, pinjaman kereta, barang dapur, insurans, dan hutang kad kredit.
- 30% untuk kehendak – 30% daripada gaji bersih anda boleh digunakan bagi memenuhi kehendak anda, contohnya seperti langganan Astro, makan di luar, menonton wayang dan melancong.
- 20% untuk simpanan – Simpan 10% daripada gaji anda untuk kecemasan, dan 10% lagi untuk persaraan.
2.Semak semula perbelanjaan bulanan anda
Lihat kembali semua resit pembayaran, pembelian dan penyata bank anda. Cuba kira dan jumlahkan. Adakah ia melebihi bajet yang ditetapkan? Pastikan anda membuat semakan pada setiap bulan untuk melihat corak perbelanjaan anda.
3.Potong atau batalkan sebarang perbelanjaan yang tidak perlu
Berdasarkan kepada resit pembayaran, pembelian dan penyata bank anda, kenal pasti langkah-langkah yang boleh anda ambil untuk mengurangkan perbelanjaan. Sebagai contoh, mungkin anda boleh mengurangkan bil elektrik dengan tidak memasang penghawa dingin pada waktu malam, atau berhenti meminum kopi yang mahal.
4.Selesaikan hutang-hutang anda
Bagi anda yang masih dibebani hutang seperti kad kredit, pinjaman pendidikan atau apa sahaja hutang lain, cuba dapatkan bantuan secara percuma dari Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) dalam mengurus dan menyelesaikan hutang anda.
5.Mulai menabung bagi kecemasan dan persaraan
Menurut laporan The Star Online, hanya 6% rakyat Malaysia mempunyai simpanan yang cukup selama enam bulan sekiranya mereka diberhentikan kerja. Selain itu, akhbar yang sama turut melaporkan bahawa kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu untuk bersara disebabkan oleh simpanan persaraan yang tidak mencukupi, ditambah lagi dengan kos sara hidup yang semakin tinggi dan jangka hayat yang meningkat. Kita tidak akan tahu bila bencana akan menimpa, jadi buatlah persediaan sebaik yang mungkin selagi boleh sebelum terlambat.
6.Baca dan fahami laporan kredit anda
Masih ramai di antara rakyat Malaysia yang kurang peka dengan skor kredit mereka meskipun ianya sangat penting. Laporan kredit merupakan salah satu perkara yang akan dinilai oleh pihak bank sama ada anda layak membuat pinjaman atau tidak.
Pastikan skor anda sentiasa tinggi, dan semak sekiranya terdapat kesalahan dalam skor kredit anda (sekecil manapun kesalahan, ia boleh memberi kesan yang besar terhadap keseluruhan skor kredit anda).
Tingkatkan skor kredit anda dengan membayar segala hutang yang ada tepat pada masanya (dengan pembayaran penuh) dan pastikan baki hutang kad kredit anda sentiasa rendah.
Anda boleh dapatkan laporan kredit dari CTOS atau RAMCI.
Tak kira apa bentuk penghijrahan yang anda lakukan, ia akan memakan masa yang lama. Ambil inspirasi dari baginda Rasulullah dalam penghijrahan anda, termasuklah dalam pengurusan kewangan peribadi anda.