Ramai yang tahu muflis adalah keadaan di mana seseorang itu tidak mampu membayar hutang. Tetapi, itu hanya sebahagian daripada cerita. Artikel ini membincangkan status muflis di Malaysia dan bagaimana mahu mengelak daripada terjerumus ke dalamnya.
Pasti ramai di antara kita yang pernah bermain permainan berpapan ‘Monopoly’ ataupun versi tempatannya ‘Saidina’. Permainan ini adalah cerminan kepada situasi sebenar kehidupan iaitu aktiviti jual-beli hartanah.
Terdapat suatu keadaan dalam permainan ini di mana ada pemain yang perlu menggadaikan semua harta untuk membayar hutang kepada bank ataupun pemain lain. Keadaan ini dikenali sebagai ‘muflis’. Tetapi, bagaimanakah situasi muflis ini di dalam kehidupan sebenar?
Muflis dari perspektif Malaysia
Muflis merupakan proses dimana penghutang (individu yang berhutang wang kepada pemiutang) diisytiharkan muflis berikutan arahan mahkhamah yang dikenali sebagai Perintah Penghukuman dari Mahkhamah Tinggi terhadap individu tersebut.
Seseorang individu akan diisytiharkan sebagai muflis apabila tiga perkara berikut melanda dirinya:
- Tidak mampu membayar hutang yang berjumlah RM100,000 ke atas (dinaikkan daripada nilai asal RM50,000).
- Hutang tersebut tidak dibayar selama enam bulan berturut-turut.
- Bermastautin di Malaysia untuk tempoh sekurang-kurangnya setahun semasa berhutang.
Seseorang individu boleh diisyitharkan muflis tanpa pengetahuan mereka. Keadaan ini berlaku apabila:
- Dokumen undang-undang dihantar ke alamat lama.
- Pengisytiharan muflis diserahkan melalui prosedur penyampaian ganti.
- Individu tersebut tidak hadir ke mahkhamah.
- Individu tersebut tidak menerima atau tidak membuka dokumen undang-undang yang telah dihantar kepadanya.
Pemeriksaan status muflis boleh dilakukan di ibupejabat Jabatan Insolvensi Malaysia Putrajaya dan akan dikenakan yuran sebanyak RM10.
Punca utama rakyat Malaysia muflis. Awas, jangan turut terperangkap!
Mengikut statistik daripada Jabatan Insolvensi Malaysia, tedapat 300,908 kes kebankrapan bermula 2015 sehingga Ogos 2019. Kaum Melayu mencatat kes muflis tertinggi iaitu 56 peratus atau 45,145 kes daripada keseluruhan 80,620 kes. Ini diikuti kaum Cina pada 26 peratus, India (11.3 peratus) dan lain-lain (6.7 peratus).
Statistik sama mencatat 69.7 peratus atau 56,173 lelaki diisytihar muflis dalam tempoh berkenaan.
Jabatan Insolvensi Malaysia juga mendedahkan punca rakyat tempatan jatuh ke dalam situasi muflis adalah seperti berikut:
- Kegagalan membayar pinjaman kenderaan (36 peratus)
- Kegagalan membayar pinjaman perumahan (26 peratus)
- Kegagalan membayar pinjaman peribadi (24 peratus)
- Kegagalan membayar pinjaman perniagaan (14 peratus)
Apa kesan diisytihar muflis? Ia bukanlah penghujung jalan!
Pelbagai halangan dan kekangan akan dikenakan terhadap individu yang telah diisythiharkan sebagai muflis. Ini termasuklah:
- Kewangan dan aset diletakkan di bawah kuasa Ketua Pengarah Insolvesi (KPI) yang akan mentadbir dan mengendalikan kesemua aset tersebut untuk membayar hutang. Dalam bahasa mudah, semua pendapatan dan perbelanjaan individu tersebut dikawal olh KPI dan digunakan untuk membayar hutang.
- Tidak dibenarkan untuk keluar negara tanpa kebenaran bertulis dari KPI atau sebelum mendapatkan perintah mahkhamah.
- Kesemua akaun bank sedia ada akan dinyahaktifkan.
- Had kredit kad tak boleh lebih RM1,000 dan tidak boleh buat pinjaman lain lebih RM1,000.
- Kesemua aset (termasuk rumah dan kereta berlebihan) dirampas dan diuruskan oleh KPI untk digunakan untuk membayar hutang.
- Peluang pekerjaan yang terhad, terutamanya yang mempunyai persatuan professional atau pihak berkuasa. Contoh perkerjaan seperti ini adalah peguam, akauntan, dan doktor.
Bagaimanapun, status muflis bukanlah penghujung jalan bagi peminjam. Masih terdapat sinar harapan kerana status muflis boleh bertindak sebagai perlindungan apabila seseorang itu tidak mampu membuat bayaran disebabkan pelbagai faktor.
Di negara seperti Australia, England, dan Amerika Syarikat, rakyat mereka menggunakan kemuflisan sebagai perlindungan dengan memfailkan permohonan kemuflisan dan menstruktur semula hutang mereka.
Namun, pengisytiharan kemuflisan tidak bermakna seseorang itu dikecualikan dari membayar semua hutang mereka. Ianya adalah sesuatu yang patut kita elakkan. Individu dengan tahap hutang yang tinggi adalah dinasihatkan untuk menguruskan hutang mereka dengan betul kerana mereka lebih terdedah kepada kemuflisan.
Seorang individu boleh keluar daripada status muflis melalui cara berikut:
- Membayar kesemua hutang yang ada
- Mendapat pelepasan automatik — Keadaan ini berlaku apabila individu mencapai sasaran untuk sumbangan hutang mereka dan mengisytiharkan liabiliti mereka kepada Jabatan Insolvensi Malaysia. Mereka akan mendapat pelepasan ini secara automatik selepas 3 tahun dari tarikh penyerahan kebankrapan.
Bagaiman untuk mengelak status muflis?
Amalkan perkara-perkara berikut bagi menghindarkan diri anda dari status muflis:
- Baca dan fahami laporan kredit anda — Masih ramai di antara rakyat Malaysia yang kurang peka dengan skor kredit mereka meskipun ianya sangat penting. Pastikan skor anda sentiasa tinggi, dan semak sekiranya terdapat kesalahan dalam skor kredit anda.
- Selesaikan hutang sedia ada — Bagi anda yang masih dibebani hutang seperti kad kredit, pinjaman pendidikan, atau apa sahaja hutang lain, cuba dapatkan bantuan secara percuma dari Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) dalam mengurus dan menyelesaikan hutang anda.
- Bincang dengan pihak pemiutang — Sekiranya anda menghadapi masalah dalam melakukan pembayaran pinjaman, berunding bersama pihah bank anda. Kebanyakan bank bersikap terbuka kepada perundingan dan untuk merunding semula syarat pinjaman. Ini kerana pihak bank juga ingin mengurangkan kecenderungan berlakunya kes pinjaman yang tidak berbayar (non-performing loan). AKPK juga boleh menjadi pihak tengah melalui program pengurusan hutang yang dikendalikan.
- Pastikan anda ada bajet bulanan yang betul — Mulakan dengan menetapkan bajet jika anda tidak mempunyai bajet. Bajet amat penting dan ia membantu anda untuk lebih berdisiplin. Ikuti aturan bajet 50/20/30 yang dianjurkan oleh pakar kewangan ini:
- 50% untuk keperluan – 50% daripada gaji bersih anda hendaklah digunakan untuk keperluan utama, seperti bayaran bil elektrik, sewa rumah, pinjaman kereta, barang dapur, insurans, dan hutang kad kredit.
- 30% untuk kehendak – 30% daripada gaji bersih anda boleh digunakan bagi memenuhi kehendak anda, contohnya seperti langganan Astro, makan di luar, menonton wayang dan melancong.
- 20% untuk simpanan – Simpan 10% daripada gaji anda untuk kecemasan, dan 10% lagi untuk persaraan.