Dalam keadaan pandemik yang tak menentu ini, mungkin anda sekeluarga berada di rumah sepanjang masa; suatu perkara yang biasanya hanya berlaku pada setiap hari minggu saja sebelum berlakunya pandemik.
Ini merupakan peluang yang baik untuk anda mendidik anak-anak mengenai kewangan agar mereka celik kewangan apabila dewasa nanti. Pandemik yang masih belum reda sekarang ini telahpun membuktikan betapa pentingnya menjadi celik kewangan.
Mereka yang bijak mengatur kewangan dan perbelanjaan mereka mampu bertahan dalam ekonomi yang masih tidak stabil, manakala mereka yang tiada perancangan dan persediaan kewangan langsung menghadapi masalah kewangan.
Majoriti rakyat Malaysia tiada simpanan dan tidak celik kewangan
Menurut sebuah laporan Sinar Harian baru-baru ini, sebanyak 43% rakyat Malaysia membelanjakan semua pendapatan mereka. Laporan yang sama turut mengatakan bahawa sebuah kajian Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati 75% daripada rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan walaupun hanya RM1,000.
Menurut BNM, hanya 6% rakyat Malaysia mempunyai wang mencukupi untuk meneruskan hidup lebih enam bulan pada waktu kecemasan atau tempoh susah manakala 18% lagi boleh hidup lebih tiga bulan.
Ramai di kalangan kita yang tidak memahami konsep simpanan asas. Kebanyakan akan menyimpan apabila mempunyai lebihan wang sahaja. Bila keadaan dah terdesak, terpaksa pula keluarkan wang persaraan yang sepatutnya tidak harus diusik sama sekali.
Oleh itu penting untuk anda mengajar anak-anak seawal yang mungkin. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Berikut adalah tujuh tips untuk mendidik anak-anak anda:
- Bincangkan perbezaan di antara kehendak dan keperluan
Langkah pertama dalam mengajar anak-anak tentang kewangan ialah mengajar mereka tentang perbezaan di antara kehendak dan keperluan.
Jelaskan bahawa perkara-perkara asas seperti makanan, tempat tinggal, dan pakaian merupakan keperluan; manakala perkara-perkara seperti buku komik, menonton wayang, dan sebagainya adalah kehendak.
Senaraikan contoh keperluan dan kehendak agar mereka lebih mudah faham. Anda juga boleh gunakan belanjawan anda sendiri sebagai contoh untuk menggambarkan bagaimana keperluan dari segi perbelanjaan harus diutamakan dahulu berbanding kehendak. - Beri peluang anak-anak menjana pendapatan melalui tugasan rumah
Jika anak-anak anda berumur 7 tahun ke atas, beri mereka peluang menjana pendapatan sendiri melalui tugasan rumah yang dilakukan, seperti membasuh pinggan sendiri, menyapu bilik, dan sebagainya mengikut kesesuaian umur. Kemudian ajar mereka untuk menyimpan pendapatan yang diperolehi. Ini sekaligus mengajar mereka tentang nilai bekerja keras. - Bantu menetapkan matlamat simpanan
Membantu anak-anak menentukan matlamat simpanan boleh menjadi cara yang baik untuk memberi mereka motivasi. Sekiranya mereka tahu apa tujuan bagi menyimpan wang mereka, mereka boleh menentukan berapa jumlah yang harus disimpan bagi mencapai matlamat tersebut. - Sediakan tabung wang atau bukakan akaun simpanan
Setelah anak-anak anda mempunyai matlamat simpanan, buka akaun simpanan untuk mereka, dan ajar mereka tentang perbankan Internet mengikut kesesuaian umur. Bagi anak-anak yang masih kecil, sediakan tabung wang dan simpan di tempat yang selamat. - Ajar anak-anak bagaimana nak jejak perbelanjaan mereka
Setiap orang harus peka ke mana perginya wang mereka dan mencatatkannya. Ajar anak-anak anda untuk mencatat perbelanjaan mereka setiap hari dan kira jumlahnya pada hujung minggu. Ini membantu anak-anak mengetahui corak perbelanjaan mereka, dan sama ada mereka berjaya mencapai matlamat simpanan atau tidak. - Berikan contoh yang baik
Macam mana anak-anak nak amalkan apa yang dipelajari jika ibu bapa mereka sendiri tidak mengamalkan perancangan kewangan dan perbelanjaan serta tiada simpanan untuk persaraan, kecemasan, atau matlamat kewangan lain? Berikan contoh yang baik kepada anak-anak. - Lakukan aktiviti kokurikulum Celik Kewangan BSN dalam talian
BSN dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyediakan aktiviti kokurikulum dalam talian bagi membantu anak-anak menjadi celik kewangan dan mendapatkan markah kokurikulum di sekolah, sama ada di peringkat sekolah rendah atau menengah. Caranya mudah sahaja:
- Tonton video celik kewangan BSN
- Jawab soalan kuiz dalam talian dan pastikan anak-anak memperoleh markah 90% dan ke atas
- Cetak e-sijil
- Kemukakan sijil kepada pihak sekolah untuk mendapatkan markah kokurikulum. Layari laman Celik Kewangan BSN untuk menyertai aktiviti ini.
Lebih awal anda mengajar anak-anak tentang kewangan, lebih mudah untuk mereka mengamalkan apa yang dipelajari sehingga mereka dewasa kelak.