Tahun 2021 sudah tiba dan kita semua mengharapkan ia akan dipenuhi berita baik buat masyarakat. Umum akan mengenang tahun 2020 sebagai tempoh di mana kita semua terpaksa menyesuaikan diri dengan norma baharu.
2020 juga telah menyaksikan berlakunya kemelesetan ekonomi berskala besar, baik buat masyarakat antarabangsa mahupun penduduk tempatan. Ramai yang telah terjejas dari sudut pendapatan termasuklah terpaksa menutup perniagaan, kehilangan pekerjaan, dan juga dipotong gaji.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah penggangur tempatan setakat bulan Oktober 2020 adalah 741,600 orang. Ini meletakkan kadar pengganguran negara pada tahap 4.7 peratus.
Selain itu, semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan pada pertengahan bulan Mac lalu, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melaporkan banyak syarikat dan perniagaan telah menamatkan operasi atas sebab yang pelbagai. Sehingga September lalu, sebanyak 32,469 syarikat terpaksa gulung tikar.
Peranan majikan membayar gaji semasa norma baharu
Menurut Kementerian Sumber Manusia (KSM), majikan perlu terus membayar gaji pekerja walaupun dalam sebarang fasa PKP. Selain itu, majikan tidak boleh memaksa dan mengarahkan pekerja menggunakan cuti tahunan atau mengambil cuti tanpa gaji. Ini kerana cuti hendaklah diberikan atas kehendak dan permohonan pekerja sendiri.
Bagaimanapun, kerajaan menyedari bahawa isu dan cabaran utama yang dihadapi oleh syarikat dan firma perniagaan tempatan semenjak PKP bermula dalah masalah membayar gaji pekerja.
Malahan, Sebanyak 88.8 peratus daripada syarikat yang ditinjau mengatakan mereka bergelut dengan situasi tersebut. Mereka juga berhadapan dengan masalah ketiadaan pelangan (63.2 peratus) yang juga boleh dikaitkan dengan masalah pembayaran gaji dalam kalangan masyarakat secara umum.
Bagi membantu majikan yang terjejas, Program Subsidi Upah (PSU) telah diwujudkan. PSU mula diperkenalkan pada 1 April yang lalu sebagai bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan setiap perusahaan. Ia meliputi pembayaran gaji bagi setiap pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah. Ia berakhir pada 30 September yang lalu.
Memandangkan masih banyak syarikat yang terjejas, PSU 2.0 diperkenalkan sebagai lanjutan daripada PSU. Sebanyak 1.3 juta pekerja akan menerima manfaat menerusi pelaksanaan Program Subsidi Upah 2.0 membabitkan peruntukan bernilai RM2.4 bilion.
Untuk mengetahui lebih lanjut, layari artikel kami di sini.
Berapa lamakah anda patut menunggu gaji dibayar?
Mengikut Seksyen 19 (1) Akta Kerja 1955, majikan perlu membayar gaji pekerja dalam tempoh 7 hari selepas hari terakhir tempoh gaji.
Sebagai contoh, sekiranya hari terakhir tempoh bergaji bagi bulan Mac adalah 31 Mac, maka gaji perlu dibayar selewat-lewatnya pada 7 April.
Bagi mereka yang berhenti atau dibuang kerja pula, gaji mereka perlu dibayar pada hari penamatan kontrak. Ini bermakna sekiranya tarikh akhir rasmi anda bersama syarikat tersebut adalah pada 18 Mac, maka anda perlu dibayar pada hari tersebut juga. Ini selari dengan Seksyen 20 Akta Kerja 1955.
Bagaimana jika majikan enggan membayar gaji?
Sekiranya anda tidak dibayar gaji melebihi tempoh yang dibenarkan, anda boleh memfailkan aduan dengan salah satu cara berikut:
- Menghantar surat rasmi kepada Jabatan Buruh yang terdekat
- e-mel ke jtksm@mohr.gov.my
- Lawati pejabat Jabatan Tenaga Kerja tempatan terdekat
- Hubungi Pusat Panggilan 1Malaysia (1MOCC) di nombor 03-8000 8000
Terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhati semasa mebuat laporan, termsuklah:
- Jika majikan berhutang gaji bukan sahaja kepada anda tetapi juga kepada rakan sekerja anda, tulis aduan bersama secara bertulis, di mana anda perlu menandatangani semua pekerja yang tidak dibayar gaji mereka.
- Kenyataan besar dari beberapa pekerja sekaligus akan mempercepatkan proses mengkaji semula aduan anda.
- Aduan tidak membayar gaji tidak dibuat secara anonim. Hanya ditandatangani oleh pekerja yang terjejas.
Seterusnya, Jabatan Tenaga Kerja akan melakukan siasatan dan anda dinasihatkan untuk menunggu notis selanjutnya dari mereka.
Pegawai Buruh boleh menghubungi majikan anda mengenai tuntutan yang dibuat. Sekiranya majikan terima tuntutan dan setuju untuk membayar gaji, maka kes tersebut dianggap selesai dan tuntutan yang dibuat perlu ditarik semula.
Tetapi sekiranya majikan mempertikaikan tuntutan anda, Pegawai Buruh akan menetapkan tarikh untuk mendengar kes anda di Mahkamah Buruh. Anda boleh memilih untuk mewakili diri sendiri, atau diwakili oleh kesatuan sekerja, seorang peguam, atau pegawai dari Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).