2020 sudah semakin hampir ke penghujung dengan hadirnya bulan November. Namun, seperti suatu kelaziman pada tahun ini, kita disajikan dengan satu lagi berita sedih. Terbaru adalah penutupan sementara kesemua panggung wayang tempatan bermula 2 November.
Hanya beberapa minggu lalu pula, AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd mengesahkan bahawa mereka terpaksa memberhentikan 2,000 tenaga kerjanya. Malahan, masalah yang sama turut dihadapi oleh pelbagai syarikat di serata tanahair. Ini adalah susulan daripada kemelesatan ekonomi yang berpunca daripada norma baharu yang melanda dunia.
Menyedari keadaan semasa ini, kerajaan pada akhir September lalu mengumumkan bantuan Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Kita Prihatin). Ia merangkumi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 berjumlah RM7 bilion, Program Subsidi Upah 2.0 (RM2.4 bilion), dan inisiatif Geran Khas PRIHATIN (GKP) sebanyak RM600 juta.
Masalah membayar gaji pekerja adalah cabaran utama syarikat
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dikuatkuasakan pada pertengahan Mac lalu yang kemudiannya memasuki beberapa fasa yang lain. Terkini, Selangor dan Kuala Lumpur sedang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Mengikut tinjauan yang dilakukan pada pertengahan tahun lalu, isu dan cabaran utama yang dihadapi oleh syarikat dan firma perniagaan tempatan semenjak PKP bermula adalah masalah membayar gaji pekerja.
Sebanyak 88.8 peratus daripada syarikat yang ditinjau mengatakan mereka bergelut dengan situasi tersebut. Mereka juga berhadapan dengan masalah ketiadaan pelangan (63.2 peratus) yang juga boleh dikaitkan dengan masalah pembayaran gaji dalam kalangan masyarakat secara umum.
Sekiranya syarikat anda mempunyai masalah membayar gaji pekerja, anda mungkin boleh memohon Program Subsidi Upah 2.0 (PSU 2.0).
PSU 2.0 untuk membantu majikan yang terjejas
PSU mula diperkenalkan pada 1 April yang lalu sebagai bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan setiap perusahaan. Ia meliputi pembayaran gaji bagi setiap pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah. Ia berakhir pada 30 September yang lalu.
Memandangkan masih banyak syarikat yang terjejas, PSU 2.0 diperkenalkan sebagai lanjutan daripada PSU. Sebanyak 1.3 juta pekerja akan menerima manfaat menerusi pelaksanaan Program Subsidi Upah 2.0 membabitkan peruntukan bernilai RM2.4 bilion.
Bantuan ini diharap dapat membantu majikan untuk meneruskan kelangsungan perniagaan mereka dengan cara menyokong aliran tunai serta mengekalkan pekerja mereka dalam tempoh keadaan luar jangka. Langkah ini secara tidak langsung juga merupakan salah satu perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja.
Syarat untuk menerima bantuan ini adalah syarikat mengalami penurunan hasil sebanyak 30 peratus semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun yang lalu.
Bantuan bayaran gaji RM600 sebulan bagi setiap pekerja yang bergaji di bawah RM4,000 akan diberikan dengan had sebanyak 200 pekerja sahaja. Seandainya syarikat tidak menerima bantuan PSU yang lalu, mereka berhak mendapat bantuan tiga bulan tambahan (enam bulan bantuan secara keseluruhan).
Di antara syarat lain, termasuklah:
- Majikan dan pekerja sudah berdaftar dengan PERKESO sebelum 1 September 2020.
- Majikan sudah berdaftar dengan SSM / ROS / ROB / PBT atau lain-lain pertubuhan dan sudah beroperasi sebelum 1 September 2020.
- Majikan berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri.
- Pekerja asing dan pegawai dagang (expatriate) TIDAK layak menerima bantuan.
- Pekerja yang telah diberhentikan TIDAK layak menerima bantuan.
Bagi majikan yang memilih untuk menerima bantuan ini, mereka disyaratkan untuk mengekalkan semua pekerja mereka yang bergaji RM4,000 dan ke bawah. Majikan dibenarkan untuk mengurangkan waktu bekerja ataupun pengurangan gaji selepas berunding dengan pekerja.
Tarikh akhir permohonan bagi PSU 2.0 adalah 31 Disember 2020 dan boleh dilakukan di capaian laman sesawang prihatin.perkeso.gov.my
Adakah pembiayaan kewangan masih relevan pada waktu norma baharu?
Walaupun kerajaan mengumumkan pelbagai jenis bantuan termasuk moratorium pembiayaan sedia ada, namun buat ramai, kadar tersebut belum mencukupi bagi menampung perbelanjaan.
Maka, memohon pembiayaan kewangan yang baru mungkin dapat membantu menstabilkan keadaan kewangan anda. Ia boleh digunakan menjana pendapatan ataupun mengukuhkan situasi ekonomi anda.
Pembiayaan kewangan juga boleh membantu anda membayar kos sara hidup seperti bil letrik, air, sewa rumah, pinjaman sedia ada, dan bil-bil lain sementara anda mendapat pekerjaan baru atau menstabilkan kewangan anda.
Pembiayaan kewangan juga membantu sekiranya anda memerlukan jumlah wang yang besar dengan segera.
Sekiranaya anda mahu mengetahui sama ada pembiayaan kewangan sesuai buat anda pada masa kini, layari artikel kami di sini.