Dengan berakhirnya moratorium pada 30 September yang lalu, bermulalah rutin pembayaran balik pinjaman, seperti pinjaman rumah, pinjaman peribadi, atau pinjaman kereta.
Ramai yang menarik nafas lega baru-baru ini apabila Perdana Menteri Muhyidin Yassin mengumumkan bahawa tiada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan di seluruh negara.
Sebaliknya, kerajaan akan menggunakan kaedah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (PKPD) di kawasan-kawasan dengan kes Covid-19 yang tinggi.
Ini bermakna kebanyakan sektor ekonomi dan perniagaan dapat beroperasi sepenuhnya, dan tiada halangan untuk rakyat Malaysia keluar mencari rezeki seperti biasa yang membolehkan mereka membayar segala hutang yang ada.
Adakah anda termasuk golongan yang mampu meneruskan semula pembayaran balik pinjaman/pembiayaan? Mungkin sebelum ini anda menjangkakan bahawa anda mampu untuk membuat pembayaran balik, tetapi sangkaan anda meleset.
Bantuan tempoh lanjutan moratorium bersasar dan peruntukan fleksibiliti pembayaran balik untuk peminjam yang terjejas
Pada akhir bulan September yang lalu, kempen bantuan pembayaran balik telah giat dijalankan oleh pelbagai institusi, termasuk BNM, AKPK, bank-bank tempatan dan sebagainya bagi membantu peminjam yang terjejas.
Jika anda telah terlepas menghadiri kempen tersebut, masih belum terlambat untuk anda mendapatkan beberapa bantuan yang ditawarkan mengikut situasi anda.
Menurut BNM, industri perbankan akan memberikan tempoh lanjutan moratorium bersasar dan peruntukan fleksibiliti pembayaran balik jika anda merupakan salah seorang individu yang layak, seperti yang berikut:
- Individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan masih lagi belum mendapat pekerjaan lain
Golongan ini akan ditawarkan tempoh lanjutan moratorium pinjaman selama tiga bulan lagi oleh bank mereka. Jika mereka masih berdepan masalah sama selepas tempoh tersebut, moratorium boleh dilanjutkan bergantung kepada situasi peminjam dan budi bicara bank. - Individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas akibat Covid-19
Golongan ini akan ditawarkan pengurangan ansuran pinjaman yang sepadan dengan pengurangan gaji mereka, bergantung pada jenis pinjaman. Sebagai contoh, jika gaji anda dipotong sebanyak 20%, bayaran ansuran bagi pinjaman peribadi atau perumahan juga akan dikurangkan sebanyak 20%.
Institusi perbankan akan menawarkan tempoh fleksibiliti ini selama sekurang-kurangnya enam bulan. Institusi perbankan juga akan mempertimbangkan lanjutan pemberian fleksibiliti pada akhir tempoh tersebut, dengan mengambil kira gaji peminjam pada ketika itu. - Semakan semula jadual ansuran pembayaran bagi pembiayaan sewa beli
Golongan terjejas yang mengambil pembiayaan sewa beli akan ditawarkan jadual ansuran pembayaran yang disemak semula supaya selaras dengan Akta Sewa Beli 1967.
Jika anda tidak termasuk dalam mana-mana golongan seperti yang dinyatakan, anda boleh cuba berunding dengan bank anda bagi mendapatkan fleksibiliti pembayaran balik yang turut ditawarkan kepada individu dan semua peminjam PKS yang terjejas akibat Covid-19.
Fleksibiliti yang ditawarkan oleh sesebuah bank akan mengambil kira keadaan tertentu setiap peminjam. Tawaran ini termasuk:
- Membenarkan peminjam membayar bahagian faedah sahaja bagi sesuatu pinjaman dalam tempoh tertentu;
- Memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan ansuran bulanan; atau
- Memberikan fleksibiliti lain sehingga kedudukan peminjam lebih stabil bagi menyambung pembayaran balik baki pinjaman.
Apa yang anda boleh buat sekarang?
Jika anda bercadang untuk memohon mana-mana fleksibiliti yang ditawarkan, anda tak perlu risau kerana fleksibiliti yang diberikan tidak akan keluar dalam laporan CCRIS anda.
Anda boleh memohon secara terus dengan bank anda untuk mendapatkan fleksibiliti yang ditawarkan. Jika anda mempunyai lebih daripada satu pinjaman, anda boleh kunjungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) atau Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (Small Debt Resolution Scheme, SDRS) bagi PKS untuk mendapatkan pakej bantuan pembayaran balik yang bersesuaian.
Jika anda benar-benar berasa tidak mampu untuk meneruskan pembayaran balik seperti yang dijangka, jangan tangguh lagi. Segera pergi ke bank anda dan tanya sama ada anda masih boleh memohon tawaran yang ada.
Pastikan anda membawa bersama dokumen-dokumen berkaitan seperti penyata bank, laporan akaun, penyata gaji dan sebagainya yang boleh membantu dan mengukuhkan lagi permohonan anda.