Pencemaran alam sekitar merupakan isu yang mendapat perhatian masyarakat dunia. Ramai dalam kalangan pemimpin, ahli sains, pemikir, tokoh masyarakat, dan aktivis mengakui kenyataan bahawa alam sekitar semakin tercemar dan kian membahayakan kehidupan manusia.
Di antara ancaman yang dihadapi penduduk bumi termasuklah perubahan iklim, peningkatan suhu bumi, ketidaktentuan cuaca, peningkatan aras laut, lambakan sampah sarap, jerebu merentasi sempadan, pemusnahan hutan, pencemaran sungai, dan sebagainya.
Di antara tindakan yang diambil oleh banyak kerajaan antarabangsa adalah menandatangani Perjanjian Paris 2015. Ini bertujuan untuk melaksanakan pembangunan mampan sebagai usaha mengubah tatacara pembangunan agar lebih mesra alam. Di samping itu, Darurat Perubahan Iklim (Climate Emergency) telah diisythiharkan bagi menggalakkan pengharaman penggunaan bahan api fosil menjelang 2030.
Ramai mula menyedari kepentingan pelaburan hijau
Baru-baru ini, pemeliharaan alam sekitar telah menjadi tumpuan dan mendapat perhatian daripada pelabur-pelabur baru. Mengikut laporan daripada Global Sustainable Investment Alliance (GSIA), dana sebanyak sekurang-kurangnya USD30.7 trilion (RM128.39 trilion) kini telah dipegang bagi pelaburan mampan atau pelaburan hijau.
Situasi yang dikenali sebagai kewangan hijau ini telah menunjukkan kenaikan sebanyak 34% berbanding dengan tahun 2016.
Sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia, Malaysia telah mengeluarkan sukuk hijau yang tersendiri yang sebelum ini tidak pernah diperkenalkan. Tujuannya adalah untuk memudahkan pembangunan kewangan hijau dan penyertaan pelabur dalam sukuk yang berasaskan Social Responsible Invesment (SRI).
Pencapaian ini adalah hasil usaha bersama di antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Kumpulan Bank Dunia.
Kenali sukuk dengan lebih dekat
Mungkin ramai yang biasa mendengar istilah sukuk namun belum begitu pasti mengenai ciri-ciri yang dimiliki. Sukuk adalah nama pada sebuah sijil kewangan dan juga boleh dianggap sebagai surat hutang atau bon bercirikan Islamik.
Sukuk menawarkan sijil dan hasilnya kemudian digunakan untuk membeli aset yang dimiliki oleh penjual dan pembeli secara bersama. Ia boleh menghasilkan pulangan kepada para pelabur tanpa melanggar undang-undang syariah
Perbezaan utama sukuk jika dibandingkan dengan bon konvensional adalah tuntutan seorang pelabur bukan pada aliran tunai semata-mata. Wang yang dijana daripada terbitan sukuk akan digunakan untuk membeli asset.
Kontrak sukuk mesti memerlukan jaminan bahawa wang yang dijana daripada pelabur digunakan untuk membeli asset yang mana keuntungan pelabur datang daripada asset tersebut.
Ini berbeza dengan bon konvensional di mana tuntutan pelabur adalah pada aliran wang di masa hadapan kepada pihak yang menerbitkan bon tersebut. Tiada jaminan asset yang boleh dicagar untuk mendapatkan semula modal pelaburan.
Di antara kelebihan sukuk adalah:
- Akses kepada orang awam — siapa pun boleh membantu membiayai anggaran negara, memperluas portfolio pelaburan, dan menjamin tertib pengurusan & pengelolaan Barang Milik Negara & Persendirian (Awam).
- Mudah & Cepat untuk Dicairkan — Pelabur sukuk dapat menjual sekuriti ke pasaran kedua pada bila-bila masa yang diinginkan
- Risiko yang rendah — pelabur bebas memilih portfolio yang sesuai dengan profil risiko yang diinginkan. Risiko juga tidak boleh untuk dimanipulasi kerana keuntungan dan kerugian dalam sukuk bergantung kepada aset nyata.
Selain itu, unsur-unsur yang dapat dielakkan oleh sukuk adalah seperti riba (faedah), gharar, maisir, dan zulm. Dengan menjauhi unsur-unsur tersebut, sukuk menjadi lebih adil dan menarik kepada pelabur, walaupun dalam kalangan orang bukan Islam.
Secara umumnya, gharar boleh diterjemahkan sebagai ketidakpastian yang boleh mendedahkan seseorang itu kepada bahaya dan ia juga bermaksud penipuan, risiko atau peluang yang tidak sah dan tidak dapat dinilai. Oleh itu, dana yang dikutip melalui sukuk mestilah digunakan untuk pelaburan dalam aset atau usaha yang dikenalpasti.
Apa pula itu sukuk hijau?
Sukuk hijau adalah jenis sukuk di mana hasilnya hanya boleh digunakan untuk pelaburan mesra alam. Ini merupakan satu langkah yang besar bagi merapatkan jurang antara sistem kewangan konvensional dan Islam.
Malaysia telah menerbitkan sukuk hijau pertama di dunia pada 27 Julai 2017 dengan nilai RM250 juta.
Terdapat banyak lagi produk pelaburan yang tertumpu pada alam sekitar di bahagian ekuiti pasaran modal berbanding dengan bahagian pendapatan tetap. Di sinilah kelebihan sukuk dapat dilihat. Mereka adalah mirip seperti sekuriti pendapatan tetap konvensional.
Oleh yang demikian, mereka dapat membantu mengisi jurang bekalan pendapatan tetap bagi para pelabur. Hal ini berlaku sehingga tahap di mana hasil sukuk tersebut dapat diperuntukkan bagi kepentingan alam sekitar.
Kelestarian alam sekitar dan peranan kewangan Islam
Alam semesta dicipta oleh ILAHI dengan segala keindahan dan kesempurnaan yang boleh dikecap nikmatnya.
Namun segala keindahan dan kesempurnaan ciptaan ILAHI itu terdedah kepada kerosakan, akibat perbuatan tangan-tangan manusia berdasarkan peringatan dalam ayat 41 Surah Ar-Rum yang bermaksud:
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, sehingga ALLAH merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”
Kewangan Islam mempunyai prinsip asas yang sama seperti kewangan mampan. Antaranya ialah kestabilan kewangan dan pertumbuhan ekonomi, pengurangan tahap kemiskinan dan agihan kekayaan, lingkungan kewangan dan sosial serta pemeliharaan alam sekitar.
Oleh itu, ia telah membenarkan kewangan Islam memanfaatkan persamaan ini dan menjadi satu kaedah bagi menyebarkan unsur-unsur kewangan hijau.