Umum sudah mengetahui bahawa norma baharu telah menyebabkan kemelesetan ekonomi di serata dunia. Ini termasuklah di Malaysia. Malahan, ramai penduduk yang kehilangan dan terjejas sumber pendapatan.
Menyedari keadaan semasa ini, kerajaan telah bertindak menaikkan nilai ambang hutang minimum bagi mengemukakan petisyen muflis atau kebankrapan. Pada pertengahan Ogos lalu, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi (Pindaan) 2020 bagi tujuan tersebut.
Pindaan itu membolehkan nilai ambang berkenaan dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM100,000. Ia dibuat berikutan data di Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) menunjukkan individu berusia 35 tahun ke bawah adalah golongan paling tinggi terjejas. Mengikut data setakat 2017, seramai 300,958 orang telah diisytiharkan sebagai muflis di Malaysia.
Pindaan itu diharap dapat membantu dan memudahkan orang yang muflis untuk memahami dan mematuhi arahan berdasarkan undang-undang ditetapkan. Kunci utama seorang yang muflis supaya statusnya tidak berkekalan sepanjang hayat ialah memahami, memberi kerjasama penuh dan mematuhi arahan MdI.
Bagaimanakah seseorang itu diisytiharkan sebagai muflis?
Muflis merupakan proses dimana penghutang (individu yang berhutang wang kepada pemiutang) diisytiharkan muflis berikutan arahan mahkhamah yang dikenali sebagai Perintah Penghukuman dari Mahkhamah Tinggi terhadap individu tersebut.
Terdapat tiga syarat untuk diisytiharkan muflis:
- Tidak mampu membayar hutang yang berjumlah RM100,000 ke atas (dinaikkan daripada nilai asal RM50,000).
- Hutang tersebut tidak dibayar selama enam bulan berturut-turut.
- Bermastautin di Malaysia untuk tempoh sekurang-kurangnya setahun semasa berhutang.
Seseorang individu boleh diisyitharkan muflis tanpa pengetahuan mereka. Keadaan ini berlaku apabila:
- Dokumen undang-undang dihantar ke alamat lama.
- Pengisytiharan muflis diserahkan melalui prosedur penyampaian ganti.
- Individu tersebut tidak hadir ke mahkhamah.
- Individu tersebut tidak menerima atau tidak membuka dokumen undang-undang yang telah dihantar kepadanya.
Pemeriksaan status muflis boleh dilakukan di ibu pejabat Jabatan Insolvensi Malaysia Putrajaya dan akan dikenakan yuran sebanyak RM10.
Apa yang berlaku apabila seseorang itu muflis?
Pelbagai halangan dan kekangan akan dikenakan terhadap individu yang telah diisythiharkan sebagai muflis. Ini termasuklah:
- Kewangan dan aset diletakkan di bawah kuasa Ketua Pengarah Insolvesi (KPI) yang akan mentadbir dan mengendalikan kesemua aset tersebut untuk membayar hutang. Dalam bahasa mudah, semua pendapatan dan perbelanjaan individu tersebut dikawal oleh KPI dan digunakan untuk membayar hutang.
- Tidak dibenarkan untuk keluar negara tanpa kebenaran bertulis dari KPI atau sebelum mendapatkan perintah mahkamah.
- Kesemua akaun bank sedia ada akan dinyahaktifkan.
- Had kad kredit tidak boleh lebih RM1,000 dan tidak boleh buat pinjaman lain lebih RM1,000.
- Kesemua aset (termasuk rumah dan kereta berlebihan) dirampas dan diuruskan oleh KPI untk digunakan untuk membayar hutang.
- Peluang pekerjaan yang terhad, terutamanya yang mempunyai persatuan professional atau pihak berkuasa. Contoh perkerjaan seperti ini adalah peguam, akauntan, dan doktor.
Bagaimana untuk keluar daripada status muflis?
Seorang individu boleh keluar daripada status muflis melalui cara berikut:
- Membayar kesemua hutang yang ada
- Mendapat pelepasan automatik — Keadaan ini berlaku apabila individu mencapai sasaran untuk sumbangan hutang mereka dan mengisytiharkan liabiliti mereka kepada Jabatan Insolvensi Malaysia. Mereka akan mendapat pelepasan ini secara automatik selepas 3 tahun dari tarikh penyerahan kebankrapan.
Pengurusan kewangan yang bijak mampu mengelakkan muflis
Pengetahuan dan pengurusan kewangan yang bijak mampu mengurangkan hutang anda yang sedia ada. Ini seterusnya dapat mengelakkan diri daripada ancaman muflis. Pastikan anda membaca rencana-rencana di blog Assidq bagi mendapatkan pengetahuan pengurusan kewangan yang terkini!